Pengeluaran, Jualan Bulanan Dan Tahunan Perodua Setakat Ini Capai Jumlah Tertinggi

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) — Perodua setakat ini mencatatkan prestasi pengeluaran, jualan bulanan dan tahunan yang mencecah paras tertinggi pada November apabila syarikat kereta kompak nasional itu bergerak pantas dalam memenuhi setiap permintaan.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Perodua menjelaskan pihaknya menjual 250,795 unit bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, mengatasi sasaran tahunan keseluruhan sebanyak 247,800 unit yang diumumkan pada awal tahun dan menjadi jualan tertinggi setakat ini.

Bagi perbandingan tahun ke tahun, jualan Perodua meningkat sebanyak 50 peratus kepada 250,795 daripada 167,250 unit yang dijual dalam tempoh yang sama pada 2021.

Peningkatan itu disebabkan oleh Perintah Sekatan Pergerakan akibat COVID-19 yang dilaksanakan kerajaan pada Jun hingga pertengahan Ogos 2021, tambahnya.

Menurut Perodua, jualan bulanan juga mencatatkan rekod baharu dengan 28,592 unit pada November 2022, iaitu peningkatan 40.9 peratus jika dibandingkan dengan 20,299 unit yang dijual pada November 2021, dan peningkatan 10.6 peratus jika dibandingkan dengan 25,849 unit yang dijual pada Oktober tahun ini.

Tiga model Perodua yang mencatatkan jualan tertinggi pada November ialah Bezza dengan 8,089 unit, diikuti Myvi dengan 6,624 unit dan Axia pada 5,812 unit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata pencapaian jualan ini adalah seiring dengan pencapaian pengeluaran Perodua setakat tahun ini, yang berjumlah 258,960 unit.

Beliau berkata pihaknya juga berjaya mencapai pengeluaran bulanan tertinggi sejak penubuhan Perodua iaitu sebanyak 29,149 unit.

“Pencapaian ini memberi makna pada semua peringkat, yang pertama ia menunjukkan keupayaan kami dalam memaksimumkan sumber semasa, baik di Perodua mahupun para pembekal dalam ekosistem kami.

“Yang kedua, melalui pencapaian ini, kami menyedari bahawa kami boleh meningkatkan lagi operasi — jualan dan pengeluaran — tanpa perlu melabur untuk kilang baharu atau mendapatkan kawasan tanah yang luas bagi operasi pembuatan kami,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Zainal Abidin berkata justeru, Perodua akan terus melabur untuk menaik taraf operasi sebagai satu kumpulan dengan memberi penekanan kepada pembangunan ilmu pengetahuan dan kemahiran warganya.

Pihaknya juga akan bekerjasama secara rapat dengan pembekal dan pengedar  Perodua untuk memastikan operasi mereka mampu memenuhi permintaan dan cabaran yang mendatang, katanya.

Beliau berkata syarikat kereta kompak nasional itu akan mengumumkan jumlah sebenar tahunan keseluruhan pada Januari 2023.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/pengeluaran-jualan-bulanan-dan-tahunan-perodua-setakat-ini-capai-jumlah-tertinggi/

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.