Pulau Pinang Tubuh Akademi Untuk Perkukuh Reka Bentuk Litar Bersepadu – InvestPenang

GEORGE TOWN, 23 Mei (Bernama) — Pulau Pinang telah menubuhkan Akademi Reka Bentuk Cip Pulau Pinang, satu inisiatif untuk memperkukuh reka bentuk Litar Bersepadu (IC) dan sektor digital bagi menyokong rancangan negeri itu membangunkan Reka Bentuk IC dan Taman Digital.

Akademi itu merupakan komponen utama Pelan Tindakan Bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Pulau Pinang yang akan dilancarkan pada Jun 2024, kata agensi pelaburan negeri Pulau Pinang, InvestPenang dalam satu kenyataan hari ini.

Ia akan mengukuhkan hasrat negeri itu untuk menjadi destinasi pelaburan pilihan untuk reka bentuk dan perniagaan digital dan usahawan,” kata InvestPenang.

Diketuai oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) dengan kerjasama penggiat industri utama, pembekal alat Automasi Reka Bentuk Elektronik (EDA), akademia dan investPenang, akademi itu memfokuskan kepada pembangunan reka bentuk secara keseluruhan (proses dari mula hingga akhir).

Selain itu, akademi itu berperanan membangunkan bakat (pekerja berkemahiran) untuk ekosistem Reka Bentuk IC melalui peningkatan kemahiran dengan latihan akademik dan pengalaman ditimba ketika bekerja.

“Rancangan sedang dimuktamadkan untuk peluang bagi mekanisme pembiayaan swasta-awam,” katanya.

Menurut Verified Market Reports, pasaran perkhidmatan reka bentuk IC global bernilai US$48.97 bilion pada 2023 dan dijangka mencecah US$84.16 bilion menjelang 2030 dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 3.92 peratus.

Pulau Pinang memperoleh hampir RM20 bilion pelaburan perkhidmatan yang diluluskan antara 2019 dan 2023, mewakili sembilan peratus daripada jumlah pelaburan negeri yang diluluskan dalam tempoh ini, kata InvestPenang.

Pulau Pinang kini menempatkan 18 daripada 20 syarikat reka bentuk IC semikonduktor di Malaysia termasuk tiga syarikat reka bentuk IC terkemuka tempatan SkyeChip, Teknologi Oppstar dan Sistem Infinecs.

“Menerusi kemasukan pelaburan yang besar ke Pulau Pinang, ditambah dengan permintaan yang semakin meningkat dalam reka bentuk IC dan sektor digital, bakat semakin diiktiraf sebagai salah satu perbezaan utama dalam menarik pelaburan kerana perniagaan mengutamakan rantau/negara yang mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi dan pekerja yang boleh menyesuaikan diri.

“Sehubungan itu, objektif utama akademi berkenaan adalah untuk menyediakan individu menjadi jurutera reka bentuk IC untuk pasaran industri, menekankan dedikasi Pulau Pinang untuk meningkatkan rantaian nilai dan membuka peluang bagi pertumbuhan dan kemakmuran dalam era digital ini,” katanya.

–BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Khazanah Guna Perkongsian Dana Strategik Pacu Industri Semikonduktor

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd menggunakan pendekatan perkongsian dana strategik bagi mengukuhkan industri semikonduktor Malaysia terutama dalam pembungkusan yang lebih canggih dan maju.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, pendekatan sayap pelaburan kerajaan Malaysia itu sebelum ini adalah membangunkan projek atau syarikatnya sendiri yang dianggap tidak lagi relevan pada masa ini.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman, pihaknya mendapati hasil terbaik dicapai apabila sesuatu perniagaan diterajui oleh usahawan dan sektor swasta.

Justeru, jelasnya, Khazanah memilih perkongsian strategik yang memberi impak dengan menyediakan dana permulaan, manakala rakan pelabur akan mengumpulkan dana tambahan dan membawa masuk pelaburan baharu ke Malaysia atau memulakan operasi tempatan.

“Kami melabur dalam Cambrian Fund, dengan kerjasama pengasas ViTrox Corp serta Chengwei Capital dan NRL Capital.

“Pada masa sama, pelaburan Dana Impak dalam Syntiant Corp, syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Pulau Pinang,” katanya dalam satu temu bual eksklusif.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai peranan Khazanah dalam memajukan industri semikonduktor di Malaysia dan mengangkat industri itu ke peringkat yang lebih tinggi.

Mengulas lanjut, Amirul Feisal berkata, kehadiran Khazanah sebagai rakan strategik membolehkan pelaburan yang dibawa masuk diselaraskan agar saling melengkapi dan memberi impak maksimum kepada ekonomi negara.

Beliau berkata, strategi itu turut mengambil peluang ‘China Plus One’, di mana syarikat antarabangsa mencari lokasi alternatif selain China untuk mengembangkan operasi mereka.

Katanya, beberapa dana pemula yang disemai sejak beberapa tahun lalu juga menunjukkan perkembangan memberangsangkan, dengan sebahagiannya dijangka mencapai kematangan dan berpotensi untuk disenaraikan dalam pasaran saham.

Selain itu, Amirul Feisal juga berkata, pembangunan modal insan turut menjadi fokus penting bagi memenuhi keperluan bakat untuk industri semikonduktor tempatan.

Beliau berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi program K-Youth, inisiatif kebolehpasaran belia yang dilaksanakan Khazanah untuk membangunkan bakat masa depan Malaysia.

Katanya, program itu mempersiapkan belia tempatan dengan kemahiran dan pengalaman bernilai komersial bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Menurut Khazanah, program K-Youth telah melatih 9,934 belia, termasuk 76 peratus daripada keluarga B40 dan 79 peratus Bumiputera dengan kerjasama 18 rakan program.

Sejak penubuhannya pada 2023, lebih 34,000 belia telah dilatih dalam bidang pertumbuhan utama seperti inovasi digital dan teknologi, semikonduktor serta penerbangan.

— Berita Harian