Brexit: Tiga Undian Yang Menentukan Masa Depan United Kingdom Dalam Kesatuan Eropah

Brexit sekali lagi menjadi tumpuan utama pasaran dalam masa terdekat, di mana tiga undian telah dijalankan di Parlimen UK dalam mencari kepastian isu keluarnya United Kingdom dari Kesatuan Eropah (EU).

Selepas mendebatkan tiga usul dalam masa seminggu, akhirnya Parlimen UK memilih untuk melanjutkan tarikh keluar Brexit dari tarikh asal 29 Mac 2019. Terdapat juga kebarangkalian di mana rundingan tergendala selama beberapa bulan bagi memberi laluan kepada referendum baru seperti yang pernah berlaku pada Jun 2016.

Perjanjian Saat Akhir UK-EU Sekali Lagi Ditolak Parlimen Britain

Perdana Menteri Theresa May sekali lagi mencuba nasib di Parlimen UK pada awal pagi Rabu (13 Mac 2019) untuk memujuk ahli parlimen menerima perancangan Brexit beliau (Withdrawal Agreement). Sebelum ini May dimalukan pada Januari yang lalu apabila perancangan Brexit ketika itu ditolak dengan majoriti undian terbesar dalam sejarah kerajaan UK walaupun telah mengambil masa yang begitu panjang berunding dengan pihak Eropah. Sejak daripada itu, May telah berusaha merundingkan semula perjanjian tersebut atas arahan parlimen Britain.

Dengan hanya tinggal dua minggu sebelum Britain meninggalkan EU mengikut tarikh asal, undian kedua perancangan Brexit Theresa May telah ditolak oleh Parlimen UK. Hasil undian tersebut menyaksikan Perdana Menteri kalah teruk di mana 391 wakil rakyat menolak usul tersebut berbanding 242 yang menyokong. Kali terakhir usul perancangan Brexit dibentang adalah pada Januari 2019 yang menyaksikan kerajaan kalah dengan jumlah undian terbesar dalam sejarah Parlimen UK dengan margin perbezaan sebanyak 230 undi.

Pemerhati pasaran telah menjangka kekalahan teruk itu sebulan sebelum undian dijalankan, kerana kelemahan perjanjian UK-EU yang dilihat mampu memerangkap Britain dalam isu sempadan Ireland. Oleh sebab itu, Theresa May pada Isnin (11 Mac 2019) melakukan lawatan saat akhir untuk merundingkan perjanjian bersama Presiden Suruhanjaya Eropah Jean Claude Juncker bagi mengubah undang-undang perjanjian ‘Withdrawal Agreement‘ seperti yang diminta Parlimen UK.

Walaubagaimanapun, peguam negara UK Geoffrey Cox yang membentangkan pendapatnya terhadap perjanjian terbaru itu, menunjukkan ia masih belum cukup melindungi UK daripada tindakan undang-undang di masa hadapan. Sebahagian penentang daripada pihak kerajaan sendiri menyatakan kebimbangan di mana UK berkemungkinan jatuh ke dalam perangkap peraturan perdagangan EU. Selain daripada itu, mereka juga berpendapat Ireland Utara (sebahagian daripada UK) juga mungkin terikat dengan perundangan Kesatuan Eropah walaupun telah keluar secara rasmi.

Oleh sebab usul terbaru itu telah ditolak, dua lagi undian dijalankan bagi mencari penyelesaian untuk memuaskan hati semua pihak di Parlimen UK dalam isu Brexit.

Undian Kedua: Meninggalkan EU Tanpa Perjanjian

Selepas penolakan ‘Withdrawal Agreement‘ yang telah dikaji semula pada hari Rabu, ahli parlimen sekali lagi diminta untuk mengundi sama ada menyokong atau menolak usul keluar (Brexit) tanpa sebarang perjanjian. Mengikut laporan, sebilangan kecil ahli politik menyokong usul ini walaupun penganalisis ekonomi telah memberi amaran tentang kesan buruk terhadap ekonomi UK.

Penyokong-penyokong ‘Hard-Brexit‘ mahukan kebebasan bagi menentukan peraturan dan syarat dalam perdagangan. Walaubagaimanapun, pakar ekonomi memberi amaran ia mampu menghancurkan ekonomi di mana situasi yang mungkin berlaku adalah peningkatan harga barangan import secara mendadak sekaligus mengurangkan perbelanjaan pengguna.

Dalam undian kedua ini, jika wakil rakyat UK menolak usul ‘keluar daripada EU tanpa sebarang perjanjian’, kerajaan akan menjalankan satu lagi undian pada Jumaat untuk meminta perlanjutan ‘Artikel 50’ (klausa keluar perlembagaan EU) bagi mendapatkan lebih banyak masa merundingkan perjanjian yang baru bersama Kesatuan Eropah. Sebaliknya, jika Parlimen menyokong untuk keluar daripada EU tanpa sebarang perjanjian, UK secara rasmi akan keluar daripada blok tersebut pada 29 Mac 2019 seperti yang termaktub di dalam Artikel 50.

Hasilnya, undian pada awal pagi Khamis (14 Mac 2019) memberikan natijah seperti yang dijangka apabila Parlimen UK menolak usul ‘keluar daripada EU tanpa perjanjian’. Ini bermakna, majoriti pembuat dasar mahu UK keluar dengan kepastian terhadap perlindungan ekonomi yang mana mendapat perjanjian sewajarnya bersama pasaran tunggal Kesatuan Eropah.

Undian Ketiga: Penangguhan Terhadap Brexit

Majoriti pembuat dasar sudah dijangka menyokong usul dalam undian ketiga. Selepas usul pada Khamis ditolak, ahli parlimen telah membuang undi sekali lagi pada pada awal pagi Jumaat (15 Mac 2019) untuk melanjutkan tempoh keluar (Brexit) UK dari EU dengan 412 menyokong berbanding 202 yang menolak usul tersebut.

Tempoh rundingan bersama Kesatuan Eropah seperti yang termaktub dalam Artikel 50 akan berakhir secara rasmi pada 29 Mac dan EU harus membenarkan tempoh itu dilanjutkan bagi mengelak kesan buruk terhadap ekonomi UK. Walaubagaimanapun, ia memerlukan persetujuan daripada 27 negara ahli EU yang lain. Oleh itu, pihak Eropah mahukan penjelasan yang munasabah mengapa Britain mahukan perlanjutan tempoh Brexit.

Pelanjutan mungkin hanya dalam tempoh kurang daripada tiga bulan kerana Theresa May sudah tentu mahu mengelak daripada menyertai pilihanraya Parlimen Eropah pada 23 Mei 2019.

Laporan menyatakan pihak kerajaan mahu ahli parlimen menyokong usul perlanjutan tersebut tidak melebihi daripada tarikh 30 Jun 2019. Usul ini menunjukkan sebarang perlanjutan lebih daripada tempoh tersebut memerlukan UK mengadakan pilihanraya Parlimen Eropah pada bulan Mei.

May dilaporkan akan cuba membawa sekali lagi usul perjanjian ‘Withdrawal Agreement’ ke parlimen dan jika gagal mendapat kelulusan sehingga 20 Mac, berkemungkinan pelanjutan tempoh Brexit akan melebihi tempoh tiga bulan. Untuk pengetahuan anda, Parlimen UK telah menolak usul ini sebanyak dua kali.

Satu lagi undian penting pada hari sama adalah usul pembangkang bagi mengadakan referendum Brexit yang baru. Namun, ia telah ditolak dengan majoriti yang begitu besar menyebabkan kebarangkalian untuk referendum kedua Brexit semakin rendah. Usul tersebut ditolak dengan 334 undi berbanding 84 yang menyokong.

Selepas usul pada awal pagi Jumaat disokong, parlimen perlu mencari alternatif lain kepada perancangan Brexit secepat mungkin sebelum 20 Mac 2019. Jika tidak berjaya, penyelesaian terakhir mungkin dengan mengadakan referendum baru Brexit atau keluar daripada EU tanpa sebarang perjanjian.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.