Carlos Ghosn: Seorang Wira Bertukar Menjadi Pelarian

Baru-baru ini dunia korporat digegarkan oleh berita bagaimana bekas CEO Nissan iaitu Carlos Ghosn, berjaya menyelinap keluar dari Jepun tanpa ditangkap oleh pihak berkuasa. Bagaimana pada zaman ini seseorang yang dipantau dengan ketat selama 24 jam, boleh keluar dari sesebuah negara dan masuk ke negara lain tanpa sebarang jejak.

Sebijik macam filem Hollywood!

Menurut para penyiasat, Carlos telah meloloskan dari dari cengkaman pihak berkuasa dengan masuk ke dalam sebuah kotak alat muzik yang ditebuk di bahagian bawah dan kemudiannya diseludup ke dalam sebuah jet peribadi di lapangan terbang. Dengan begitu mudah, jet tersebut berlepas ke Beirut, Lubnan di mana Carlos sedang bersembunyi sekarang.

Tapi tahukah anda bahawa Carlos pernah menjadi seorang wira kepada rakyat Jepun satu ketika dahulu?

Titik Permulaan

Carlos Ghosn, kini 66 tahun, dilahirkan di Brazil oleh ibu bapanya yang berasal dari Lubnan. Selain memegang kerakyatan Brazil, beliau juga memegang kerakyatan Perancis dan Lubnan.

Awalnya dibesarkan di Beirut, dia kemudiannya melanjutkan pelajaran di Perancis dan kemudiannya bekerja di Michelin, sebuah syarikat pembuat tayar yang terkemuka untuk tempoh selama 18 tahun. Di Michelin, beliautelah berjaya menaiki tangga korporat sehingga memegang jawatan CEO Michelin Amerika Utara.

Renault telah menyedari bakat Carlos dan memujuknya untuk menyertai syarikat tersebut pada tahun 1996. Sepanjang di Renault, Carlos yang merupakan Timbalan Presiden dan CEO telah merangka pelan penstrukturan semula yang sangat agresif sehingga dia diberikan jolokan “Le Cost Killer” iaitu ‘Pembunuh Kos’.

Menyelesaikan Krisis Nissan

Renault kemudiannya membeli 43% saham Nissan pada tahun 1999, di mana Carlos kemudiannya berjaya menukarkan status Nissan dari syarikat yang rugi kepada syarikat yang menjana keuntungan dalam masa hanya setahun. Kejayaan ini telah dicapai dengan menutup sebuah kilang di Tokyo dan memecat seramai 20,000 pekerja.

Kemudiannya, beliau telah menubuhkan sebuah kerjasama yang terdiri dari Renault, Nissan, dan Mitsubishi; dengan tujuan saling berkongsi kos dan komponen. Bagi Carlos, ini adalah visi yang ingin dicapai untuk meningkatkan economies of scale.

Sepanjang di Nissan, beliau pernah menjawat jawatan COO, Presiden, CEO, dan Pengerusi. Pada tahun 2017 dia telah meletakkan jawatan sebagai CEO Nissan namun kekal sebagai pengerusi bagi lembaga pengarah Nissan.

Sepanjang kariernya yang cemerlang, Carlos begitu dipuja-puja sehingga sebuah komik diterbitkan khas untuknya yang menceritakan kehebatan dirinya. Dalam komik tersebut yang berjudul The True Life of Carlos Ghosn, Carlos dikatakan mampu mengetahui model sesebuah kereta hanya dengan mendengar bunyi kereta tersebut.

Titik Kejatuhan

Pada 19 November 2018, Carlos telah ditangkap oleh pihak berkuasa di lapangan terbang Haneda. Ini merupakan peristiwa yang mengejutkan bagi seluruh rakyat Jepun kerana dia adalah seorang lagenda bagi kebanyakan orang.

Namun, penangkapan ini sebenarnya merupakan sebuah plot yang telah dirancang selama setahun oleh Nissan bersama pihak berkuasa. Bagi Carlos, ia bagaikan sebuah “serangan hendap” kerana dia langsung tidak menyangka perkara tersebut akan berlaku.

Carlos telah didakwa melakukan beberapa kesalahan:

1. Memalsukan pendapatan

Kesalahan ini melibatkan Carlos dan juga orang kanannya di Nissan iaitu Greg Kelly. Carlos didakwa tidak menyatakan pendapatannya secara jujur selama 8 tahun, dan pendapatan sebenarnya dikatakan USD85 juta lebih tinggi dari yang dilaporkan olehnya.

Carlos membela diri dengan mendakwa bahawa angka tersebut rendah kerana pendapatannya telah “ditunda” ke selepas persaraannya, dan pelan pembayaran jumlah pendapatan tersebut masih di tahap draf dan masih sedang disemak oleh peguam syarikat dan juga peguam bebas.

2. Memindahkan kerugian ke Nissan

Nissan mendakwa Carlos cuba membuatkan Nissan membayar gantirugi kepadanya apabila dia mengalami kerugian sebanyak USD17 juta dalam kontrak tukaran matawang miliknya. Apabila gagal, beliau meminta rakannya dari Arab Saudi meletakkan kolateral tambahan yang diminta oleh pihak bank yang menyediakan kemudahan kontrak tukaran matawang tersebut.

Carlos didakwa memindahkan USD15 juta wang Nissan dari dana “CEO reserve” kepada rakan Saudinya untuk menggantikan wang kolateral tersebut. Namun, Carlos mengatakan wang tersebut adalah upah untuk kerja yang dilakukan untuk Nissan, dan rakan Saudinya juga mengatakan bahawa wang tersebut adalah untuk urusan bisnes yang sah.

3. Mengambil wang Nissan secara haram

Dakwaan ini melibatkan pemindahan jutaan wang Nissan ke sebuah pengedar di Oman, dan dari wang itu Carlos telah mengambil USD5 juta untuk kegunaan dirinya.

Menurut satu sumber, sebahagian wang tersebut telah digunakan untuk pelaburan oleh sebuah syarikat milik anaknya dan sebahagian lain diberikan kepada sebuah syarikat yang diuruskan oleh isterinya. Wang ini kemudiannya digunakan untuk membeli sebuah kapal layar untuk dirinya.

Tidak cukup dengan masalah di Nissan, Renault juga telah tampil dan memberikan beberapa dokumen kepada pihak berkuasa yang menunjukkan kesalahan yang sama telah dilakukan oleh Carlos di Renault.

Melarikan Diri

Carlos telah melarikan diri ke Beirut, Lubnan pada penghujung 2019 melalui sebuah jet peribadi. Beliau juga telah memainkan watak mangsa dalam kes ini dan mendakwa bahawa pegawai-pegawai Nissan bersama kerajaan Jepun telah merangka plot untuk membuangnya dari Nissan dan juga mengkritik sistem penghakiman Jepun yang tidak adil.

Interpol telah mengeluarkan Notis Merah terhadap Carlos di atas permintaan Jepun. Namun, Lubnan tidak mempunyai persetujuan bersama Jepun yang membolehkan Jepun memaksa Lubnan menghantar Carlos pulang ke Jepun.

Layanan yang diterima oleh Carlos di Jepun sejak dia didakwa sebenarnya penuh dengan kontroversi, dengan seorang profesor undang-undang mengatakan bahawa Carlos telah dilayan bagaikan beliau telah disabitkan kesalahan walaupun perbicaraan belum bermula.

Contohnya, Carlos telah diletakkan dalam solitary confinement lebih dari 100 hari dan tidak dibenarkan menghubungi ahli keluarganya.

Selain daripada itu, statistik sistem kehakiman di Jepun agak “menarik”, di mana 99% orang yang didakwa di mahkamah telah disabitkan kesalahan. Sekiranya dibicarakan, besar kemungkinan Carlos akan disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman.

Kesimpulan

Kes Carlos Ghosn masih berada di peringkat awal, pemerhati industri automotif sedang menantikan perkembangan seterusnya. Kita masih belum mengetahui butiran kes secara terperinci dan sama ada bukti-bukti terhadap Carlos mampu mensabitkan kesalahannya adalah beyond reasonable doubt.

Walaubagaimanapun, isu ini adalah isu yang sangat menarik untuk diikuti.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.theguardian.com/business/2019/dec/31/who-is-carlos-ghosn
  2. https://www.bbc.com/news/business-46321097
  3. https://www.japantimes.co.jp/news/2018/11/20/business/corporate-business/carlos-ghosn-arrest-key-events-nissan-since-1999-restructuring/#.Xhv8TkczbD5
  4. https://www.autoblog.com/2020/01/07/carlos-ghosn-background-timeline/
  5. https://www.marketscreener.com/NISSAN-MOTOR-CO-LTD-6492477/news/Chronology-of-key-events-surrounding-Carlos-Ghosn-28349535/
  6. https://www.businessinsider.my/former-nissan-ceo-carlos-ghosn-hollywood-interested-japan-escape-2020-1/?r=US&IR=T
  7. https://www.cbsnews.com/news/carlos-ghosn-calls-himself-a-fugitive-of-injustice/
  8. https://www.france24.com/en/20200108-carlos-ghosn-the-charges-against-him
  9. https://www.businessinsider.my/carlos-ghosn-news-former-nissan-chairman-bail-career-net-worth-2019-3/?_ga=2.245267782.237295959.1578892373-1804683926.1572328713&r=US&IR=T
  10. https://www.businessinsider.my/carlos-ghosn-fled-japan-in-box-on-private-jet-reports-2019-12/?_ga=2.245267782.237295959.1578892373-1804683926.1572328713&r=US&IR=T
  11. https://www.theguardian.com/business/2020/jan/04/carlos-ghosn-arrest-escape-new-questions-justice-japan
  12. https://www.ft.com/content/8df15cc2-002a-11ea-b7bc-f3fa4e77dd47
  13. https://asia.nikkei.com/Business/Nissan-s-Ghosn-crisis/Ghosn-requests-bail-after-being-hit-with-fresh-charges
  14. https://observer.com/2019/01/jailed-ex-nissan-ceo-carlos-ghosn-japanese-manga-superhero/
  15. https://www.bloomberg.com/news/features/2020-01-14/how-nissan-s-carlos-ghosn-was-smuggled-out-of-japan?sref=LIIhCnqA

Ditulis oleh Azam, seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana individu/organisasi. Penulis tidak menerima sebarang bayaran pengiklanan dari mana-mana individu/organisasi yang disebutkan di dalam artikel ini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari