Cara Isytihar Pendapatan Dekat LHDN (Untuk Yang Pertama Kali)

LHDN cukai

Pertama kali hendak bayar cukai pendapatan tapi tak tahu cara nak isytihar?

Atau, anda tak pasti sama ada layak untuk bayar ke tidak?

Ambil perhatian semua, terutamanya adik-adik yang baru mula kerja ataupun yang dah naik gaji. Kalau gaji dalam setahun adalah RM34,000, ataupun dalam RM2833.33 sebulan (lepas tolak KWSP), anda MESTI isytiharkan pendapatan dan bayar cukai pendapatan kepada kerajaan.

Tapi admin nak bagitahu awal-awal, prosesnya agak leceh tapi berbaloi supaya tidak timbul masalah kemudian hari. Jangan risau, sekali sahaja kena daftar, kemudian dah senang untuk kemas kini setiap tahun.

Memang Kena Isytihar Ke? Kalau Tak Buat Macam Mana?

Jawapan pendek admin: kalau tidak bernasib baik, memang kena kaw-kaw.

Jawapan panjang pula: Katakan anda sengaja elak daripada bayar cukai dan kalau kena ‘tangkap’ dengan pegawai audit Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), penalti yang akan dikenakan adalah antara RM1,000 hingga RM20,000 (jika melibatkan kes yang serius) ataupun penjara. Kedua-dua sekali pun boleh!

Jika anda terkurang lapor jumlah pendapatan pula, boleh didenda sehingga 300%. Banyak tu! Contohnya, lepas dikira, jumlah anda kena bayar cukai ialah RM500, tapi sebab kurang isytihar, sampai RM1,500 kena bayar jika kena penalti 300%!

Semua ini termaktub dalam Akta Cukai Pendapatan 1967, “Failure (without reasonable excuse) to furnish an Income Tax Return Form”. Duit denda itu lagi bagus kalau kita simpan, buat pelaburan atau belanja pergi bercuti ke kan..

Oh, Kalau Lambat Bayar, Ada Dapat Penalti Tak?

Anda masih akan dikenakan penalti sebab bayar lambat dari sepatutnya.
Contohnya, kalau anda memang patut bayar cukai mulai tahun 2018, seharusnya bayar pada awal bulan 2019 dan bukannya sekarang baru nak sedar.

Kalau anda lambat bayar selepas tarikh-tarikh tertentu pun, kena tambah ekstra 10% nanti (mulai dari 1 Januari 2020). Ini tarikh deadline, bergantung kepada sumber pendapatan itu dari mana:

  • Selain bisnes (makan gaji & komisen!): 30 April 2023 | e-Filing: 15 Mei 2023
  • Buat bisnes sendiri: 30 Jun | e-Filing: 15 Julai 2023

Sekiranya masih gagal bayar cukai dan penalti yang dikenakan dalam tempoh 60 hari, akan dapat penalti tambahan sebanyak 5% ke atas amaun yang masih terhutang.


Kalau anda rasa boleh mengelak atau terlepas, admin nasihatkan fikir masak-masak, sebab LHDN boleh jejak pembayar cukai menggunakan analisis data dan dengan bantuan agensi-agensi tempatan dan luar negara. Jangan cari pasal, takut menyesal!
 

Kalau Tak Cukup Duit, Macam Mana Pula? LHDN Terima Bayaran Ansuran Ke?

Berita baik, BOLEH. 

Objektif LHDN ialah untuk kembalikan pendapatan negara daripada rakyat dan perniagaan yang berhak membayar cukai pendapatan, bukan untuk kenakan denda sebab tidak dapat nak bayar semua sekali harung. Tapi ada syaratnya.

Contohnya jika anda isytihar antara 3 November 2020 – 31 Mac 2021, kena bayar habis baki jumlah yang perlu dicukai selewat-lewatnya 1 April 2021. Kalau isytihar antara 1 April – 30 Jun 2021, kena habis bayar selewat-lewatnya 1 Julai. Kiranya, ada masa untuk rancang sebaik-baiknya.

Saya Layak Dicukai, Apa Nak Kena Buat?

1. Mula-mula kena dapatkan nombor Pin e-Filing

Untuk mula buat taksiran cukai, sebenarnya anda kena ada nombor PIN untuk login. Nombor pin boleh didapati dengan cara pergi ke kaunter LHDN atau secara atas talian.

Tapi yang bagusnya, proses tidak sampai 3 minit. Pergi ke mana-mana cawangan LHDN terdekat dan maklumkan pada pegawai bertugas.
Bawa sekali IC original! Anda akan dapat nombor PIN untuk e-Filing. Macam gambar dibawah ini

Penting! Kena simpan sebab perlu key-in untuk login setiap tahun.

2. Daftar online sebagai pembayar cukai

Setelah dapatkan nombor PIN, anda perlu daftar di website LHDN di e-Daftar dan klik pada link ‘borang pendaftaran online’. Pastikan anda upload gambar atau scan IC yang jelas, untuk LHDN buat pengesahan. Bila dah sah, anda akan dapat nombor permohonan. 

3. Daftar untuk e-Filing

4. Pilih borang yang betul

Bila anda dah berjaya login, pastikan pilih borang yang betul.

Pergi pada e-Form dan jika anda termasuk dalam ‘individu yang tidak menjalankan perniagaan’ (senang cakap makan gaji), pilih borang e-BE.

Yang ini admin anggap anda dah tahu: Contoh untuk tahun 2021, korang akan failkan cukai pendapatan untuk tahun 2020 dan seterusnya. 

5. Pastikan semua info betul

Maklumat anda akan diisi dengan automatik sebab dah daftar pada mula-mula dulu. Semak semua maklumat yang dinyatakan pada borang. Masukkan juga maklumat akaun bank, jadi kalau anda tergolong dalam cukai terlebih bayar, LHDN akan pulangkan baki duit tersebut.

6. Kurangkan jumlah yang perlu dicukai!

Ini part yang paling best sekali. Anda perlu disiplin setiap tahun kalau nak maksimumkan jumlah cukai yang kena dibayar. Ada dua perkara yang boleh kurangkan jumlah yang kena cukai: 

  • Pengecualian cukai: ada sesetengah hasil pendapatan tidak perlu dicukai di Malaysia, contohnya sesetengah interest dan dividen. Semak portal LHDN untuk tahu lebih lanjut.
  • Pelepasan cukai: yang ini boleh kurangkan jumlah cukai, contoh pelepasan cukai seperti takaful nyawa, iPhone, pembayaran EPF/SOCSO, barangan sukan dan banyak lagi. Pastikan rajin simpan resit (selama 7 tahun!) untuk benda-benda ini ya.

7. Semak jumlah yang korang kena cukai

Seterusnya, pergi pada bahagian ‘Summary’. Bagusnya dalam online ini, sistem akan kira semuanya. Dan anda boleh tahu terus kalau anda ada terlebih bayar cukai (daripada potongan gaji bulanan tu) atau terkurang.

8. Dah settle dah!

Akhir sekali, anda kena isytiharkan semua maklumat itu betul dengan ‘sign’ secara elektronik tapi dengan cara simbolik, iaitu masukkan IC dan password, pastu klik ‘Sign’.

Jangan risau kalau ada tersilap ke apa, anda masih boleh edit walaupun dah hantar borang dan tanda tangan ya.

Okey, siap isytihar! Jangan isi lewat-lewat ya. Kalau anda tiada komputer atau internet, jangan risau. Boleh juga buat di cawangan LHDN (ada komputer & internet!).

Jadi jangan segan-segan pula tanya pegawai LHDN yang bertugas atau telefon sahaja kalau ada yang tidak faham. Jom jadi warganegara Malaysia yang bertanggungjawab dan sama-sama tolong dalam pembangunan dan ekonomi negara.

Selamat failkan cukai pendapatan!

Artikel ini adalah sumbangan loanstreet.com.my

Baca juga: Cara Buat E-Filing Cukai Pendapatan 2023

Terima kasih kepada anda yang menyokong kami selama ini. Hari-hari kami bersemangat nak sebarkan ilmu tentang kewangan dan pelaburan.

Kami sedar yang majoriti pembaca kami adalah anak-anak muda yang tercari-cari panduan bagaimana untuk mula melabur. Jadi buku ini sangat sesuai bagi newbie yang nak mulakan langkah pertama.

Anda ada soalan-soalan berikut yang memerlukan jawapan?

  • Ada duit tapi tak tahu nak melabur di mana?
  • Nak melabur tapi takut kena tipu dengan scammer?
  • Bagaimana nak tahu sesuatu pelaburan itu adalah patuh Syariah atau tidak?
  • Ada banyak sangat jenis pelaburan dekat luar sana, apa yang paling sesuai dengan jiwa?
  • Dalam suasana ekonomi yang tak menentu, apakah pelaburan ‘safe haven’ yang menjadi pilihan?
  • Pelaburan tanpa tunai tu macam mana?
  • Soalan-soalan lazim berkenaan pelaburan

Jika ya, maka anda perlu miliki buku Buku Malaysia Melabur : 10 Benda Kita Kena Tahu.

Buku Malaysia Melabur juga telah berada dalam senarai MPH Best 2020 dalam kategori MPH Best Malay Non-Fiction 2020.

Sesungguhnya kami bersyukur diberi peluang oleh Allah untuk berubah menjadi lebih baik dan mendapat rezeki seperti yang diidamkan. Kami doakan semoga tuan puan juga dilimpahi rezeki yang penuh keberkatan.

Boleh miliki buku ini secara online di Shopee

Previous ArticleNext Article

10 Kesilapan Isi e-Filing Yang Ramai Orang Selalu Buat

Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.

Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?

Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.

Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.

Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.

1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE

Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.

Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.

Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.

Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.

Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.

Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.

Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.

2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian

Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:

  • Gaji tahunan: RM72,000
  • Bonus: RM8,000

Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.

Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.

Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM8,000 × 19% = RM1,520

Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.

Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.

Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.

3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan

Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.

Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.

Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.

Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.

4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan

Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.

Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.

Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.

Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.

Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.

Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE

5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari

Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.

Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.

Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM3,000 × 19% = RM570

Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.

Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.

HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.

6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank

Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.

Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.

7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak

Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.

Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.

Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM2,000 × 19% = RM380

Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.

Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.

Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.

8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah

Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.

Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.

Pendapatan sewa setahun:

RM1,200 × 12 bulan = RM14,400

Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.

Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM11,400 × 19% = RM2,166

Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.

Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.

9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen

Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.

Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.

Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.

Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.

Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM18,000 × 19% = RM3,420

Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.

Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.

10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai

Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.

Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?

Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.

Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.

Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.

Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?

Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.

Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:

  • Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
  • Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
  • Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
  • Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.

Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.

Rujuk panduan rasmi: https://www.hasil.gov.my/individu/pindaan-taksiran/

Kesimpulannya

Mengisi e-Filing bukan sekadar memasukkan angka daripada Borang EA dan menekan butang “Hantar”.

Kita perlu memastikan semua pendapatan yang perlu dilaporkan telah dimasukkan, pelepasan memenuhi syarat dan maklumat peribadi adalah tepat.

Lebih baik semak dua kali sebelum hantar daripada terpaksa membetulkan kesilapan kemudian.

Simpan artikel ini untuk rujukan musim e-Filing dan kongsikan kepada kawan-kawan yang sedang mengisi borang cukai mereka.