Kerajaan Anggar Jana Hasil Tambahan RM3.45 Bilion Daripada Cukai Perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) — Kerajaan dijangka memperoleh tambahan hasil berjumlah RM3.45 bilion daripada peluasan skop cukai perkhidmatan dan perubahan kadar daripada enam peratus kepada lapan peratus, kata Kementerian Kewangan.

Kementerian tersebut berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini, bagi menjawab soalan daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanyakan mengenai pertambahan pendapatan negara daripada kenaikan kadar cukai perkhidmatan yang berkuat kuasa pada 1 Mac, 2024 itu.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan memaklumkan hasil Kerajaan Persekutuan pada 2024 diunjur meningkat kepada RM312.159 bilion selepas mengambil kira langkah cukai Belanjawan 2024, disumbangkan oleh kutipan hasil cukai yang lebih tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama kepada hasil Kerajaan Persekutuan iaitu 79.5 peratus daripada jumlah hasil, bersamaan dengan 12.57 peratus daripada kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Selain itu jumlah tersebut turut meliputi hasil bukan cukai mewakili 20.5 peratus iaitu bersamaan dengan 3.24 peratus daripada KDNK.

“Kerajaan menggubal Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024 untuk mengukuhkan tadbir urus dan disiplin fiskal negara, meningkatkan langkah mobilisasi hasil, meluaskan asas hasil cukai, menambah baik dan menyemak semula struktur dan perundangan cukai, serta pemberian insentif percukaian.

“Langkah ini akan direalisasikan melalui pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana  bagi memastikan perancangan cukai jangka sederhana adalah lebih teratur dan sepadan dengan perbelanjaan,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai strategi yang diambil kerajaan bagi memastikan berlaku peningkatan kadar kutipan hasil cukai kerajaan melebihi kadar 12 peratus daripada KDNK agar lebih banyak program pemulihan ekonomi dapat dirancakkan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama