Ringgit Dibuka Mengukuh Berbanding Dolar AS  Menjelang Pengumuman OPR

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) — Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, didorong oleh sentimen lebih baik menjelang pengumuman Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), petang ini.

Pada 9 pagi, ringgit naik kepada 4.7145/7190 daripada 4.7295/7350 yang dicatat semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan beberapa pergerakan positif bagi ringgit namun kekal berhati-hati berikutan data ekonomi AS yang disifatkan beliau masih memaparkan pasaran tenaga kerja yang berdaya tahan.

“Data Penggajian ADP itu tidak menepati jangkaan awal apabila mencatat 140,000 pada Februari berbanding jangkaan sebanyak 149,000. Jumlah itu menyusuli kenaikan 111,000 yang dicatat pada Januari lepas,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) pula di paras rendah pada 103.36 mata selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) memberi jaminan bahawa bank pusat itu akan mengurangkan kadar utama walaupun masih perlu melihat beberapa bukti meyakinkan bahawa kadar inflasi bergerak ke arah matlamat sebanyak dua peratus.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain iaitu naik pound Britain pada 6.0053/0111 daripada 6.0207/0277 sebelum ini.

Ringgit juga meningkat berbanding euro kepada 5.1397/1447 daripada 5.1438/1498 namun susut berbanding yen Jepun kepada 3.1660/1692 daripada 3.1604/1643 sebelum ini.

Pada masa sama, ringgit turut diniagakan mengukuh berbanding mata wang Asean. 

Ini termasuk meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2337/2519 daripada 13.2479/2704, mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.5241/5277 daripada 3.5268/5312, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 300.1/300.6 daripada 301.1/301.6 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.45/8.46 daripada 8.46/8.48.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

PMKS Boleh Mula Mohon Program PMKS Tahun 2026 Di Bawah SME Corp. Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 Februari 2026 – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kini boleh mula mengemukakan permohonan untuk program tahun 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) oleh SME Corp. Malaysia, agensi Kementerian

Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Sesi perkongsian oleh YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia bersama PMKS serta wakil persatuan dan dewan perniagaan berkenaan program tersebut telah berlangsung semasa Hari Terbuka@Hab PMKS pada 29 Januari 2026 di SME Corp. Malaysia, Platinum Sentral, Kuala Lumpur.                                                                                                                                             

RMK13 (2026 – 2030) telah menggariskan agenda penskalaan (scale up) PMKS dengan matlamat untuk menaik taraf saiz PMKS daripada mikro kepada kecil dan seterusnya sederhana. Menurut YBrs. Encik Rizal, “Sebanyak RM117 juta telah diperuntukkan bagi SME Corp. Malaysia melaksanakan lapan (8) program untuk PMKS yang merangkumi aspek pertumbuhan tinggi dan keterangkuman. Penskalaan PMKS merupakan agenda utama Kerajaan dalam usaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi serta membentuk ekosistem PMKS yang lebih berdaya tahan serta berdaya saing. Sasarannya adalah untuk meningkatkan jumlah firma sederhana daripada 1.6% kepada 5% menjelang tahun 2030, yang dijangka berupaya melonjakkan sumbangan KDNK PMKS sehingga RM1 trilion.”

Hari Terbuka@Hab PMKS ini merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan bagi meningkatkan fungsi SME Corp. Malaysia sebagai pusat rujukan utama untuk maklumat serta khidmat nasihat perniagaan PMKS. Sejak dilaksanakan pada Januari 2024, inisiatif ini telah memberi manfaat kepada lebih 100 PMKS setiap bulan melalui kerjasama strategik melibatkan pelbagai Kementerian dan Agensi Kerajaan berkaitan serta pihak swasta.

Hadir sama ke Hari Terbuka@Hab PMKS bagi bulan Januari 2026 adalah YBhg. Tan Sri

Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok, Pengerusi SME Corp. Malaysia, YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, YBhg. Datuk William

Ng, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Encik Mohd Azamanizam Baharon, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) serta wakil daripada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM), Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil, Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Peniagawati) dan pelbagai persatuan dan dewan perniagaan. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini, PMKS boleh melayari laman sesawang di pautan www.smecorp.gov.my dan saluran media sosial rasmi SME Corp. Malaysia atau berkunjung ke Hab PMKS di Ibu Pejabat dan 12 Pejabat Negeri di seluruh negara.