
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memaklumkan penetapan terkini tempoh kelulusan bagi layanan cukai ke atas Institusi / Organisasi / Tabung (IOT) di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967). Mulai 27 November 2025, had tempoh kelulusan bagi IOT di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 ditetapkan untuk tempoh maksimum sepuluh (10) tahun sahaja. Antara manfaat cukai yang berkaitan dengan kelulusan yang diberikan ialah tolakan cukai ke atas derma atau sumbangan yang diberikan kepada IOT (terhad kepada 10% daripada pendapatan agregat individu atau syarikat) dan pengecualian ke atas semua pendapatan yang diterima oleh IOT sepanjang tempoh kelulusan berkuat kuasa.
Sehubungan dengan itu, bagi mana-mana IOT yang akan tamat tempoh kelulusan pada 31 Disember 2025 sepertimana yang telah dimaklumkan oleh pihak HASIL, surat pemakluman yang baharu akan dikeluarkan kepada IOT yang berkenaan bagi menjelaskan pemakaian tempoh kelulusan 10 tahun ini. Walau bagaimanapun, manamana IOT yang telah diberikan kelulusan baharu atau lanjutan oleh pihak HASIL sebelum 27 November 2025, tempoh yang dinyatakan dalam kelulusan tersebut adalah kekal dan tempoh baharu 10 tahun akan hanya dipertimbangkan selepas tempoh kelulusan tersebut berakhir.
HASiL akan menjalankan semakan pematuhan syarat-syarat kelulusan secara menyeluruh dari semasa ke semasa sepanjang tempoh kelulusan berkuat kuasa dengan mengambil kira tempoh penyimpanan dokumen dan had masa yang telah diperuntukkan di bawah ACP 1967.
IOT hendaklah sentiasa memastikan pematuhan penuh terhadap semua syarat kelulusan sebagaimana yang ditetapkan dalam garis panduan yang berkuat kuasa. Sekiranya terdapat pelanggaran syarat-syarat kelulusan, kelulusan IOT di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 boleh ditarik balik dan pendapatan IOT tersebut boleh dikenakan cukai sepertimana ditetapkan di bawah subsubperenggan 13(1)(a) Jadual 6, ACP 1967.
Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi kami menerusi:
a) Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/









