Definisi, Pengelasan T15 Akan Diputuskan Dalam Masa Terdekat – Rafizi

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) — Cadangan berkaitan definisi dan pengelasan kumpulan pendapatan T15 sedang diperhalusi dan akan diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam masa terdekat, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini. 

Beliau berkata terdapat beberapa cadangan yang sedang dibincangkan oleh kerajaan justeru, konsep dan pengkelasan T15 yang dipersetujui akan diguna pakai bagi pemberian bantuan dan subsidi kerajaan.

“Pengelasan T15 daripada Kementerian Ekonomi dicadangkan untuk beralih daripada pendekatan berdasarkan pendapatan kasar yang digunakan sebelum ini iaitu B40, M40 dan T20 kepada kaedah pendapatan boleh guna bersih bagi memastikan pengukuran dan penyasaran yang lebih inklusif dan adil,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Baharuddin Ahmad mengenai perincian kerajaan berkenaan golongan T15 yang berdepan penarikan balik subsidi bahan api, pendidikan dan kesihatan seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2025. 

Rafizi berkata definisi dan mekanisme pengelasan golongan T15 berdasarkan pendapatan boleh guna bersih boleh disediakan menggunakan maklumat dalam sistem PADU dengan mengambil kira elemen perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW).

Beliau berkata PAKW merujuk kepada amaun perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah untuk menjalani kehidupan wajar yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak serta berpeluang menyertai aktiviti sosial dalam masyarakat.

PAKW juga boleh memperjelas mengenai kos sara hidup di kawasan berbeza antara negeri, menjadi indikator dalam perancangan dan pembangunan sosioekonomi, serta dalam penentuan gaji yang lebih adil di samping membantu individu dan keluarga merancang perbelanjaan dan pengurusan kewangan isi rumah, katanya.

Rafizi berkata penggunaan PAKW boleh membantu mengurangkan ralat keciciran dalam pengagihan bantuan dengan memastikan golongan yang benar-benar layak sahaja menerima bantuan.

“Saya berharap melalui maklumat kewangan isi rumah yang lebih baik, kita boleh perluas kepada pelaksanaan-pelaksanaan lain termasuk subsidi haji yang boleh menggunakan data dan pengelasan yang lebih adil kepada rakyat,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pelaksanaan e-Invois Dilanjutkan Setahun Lagi Bagi Syarikat Dengan Nilai Jualan Tahunan RM1- RM5 Juta

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) Kerajaan akan melanjutkan tempoh peralihan pelaksanaan invois elektronik (e-invois) tanpa penalti selama setahun lagi bagi syarikat dengan nilai jualan tahunan RM1 juta hingga RM5 juta, yang sepatutnya dilaksanakan bermula 1 Januari, 2026.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penangguhan pelaksanaan tersebut dibuat kerana sebahagian syarikat belum bersedia susulan kos pelaksanaan e-invois yang tinggi.

“Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh peralihan (pelaksanaan e-invois) tanpa penalti untuk satu tahun lagi kerana banyak mengatakan dia melibatkan kos yang terlalu tinggi, ” kata beliau ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selain itu kerajaan juga akan memperluaskan kemudahan e Invois bersepadu kepada sektor peruncitan dan bahan binaan.

Sementara itu, kerajaan turut bersetuju melaksanakan program pengakuan sukarela bagi duti setem selama enam bulan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2026.

Pelaksanaan e-invois bermula pada 1 Ogos 2024 dan kerajaan telahpun memulakan fasa keempat pelaksanaannya yang merupakan satu lagi usaha untuk memperkukuhkan pentadbiran cukai, selain meringankan beban pematuhan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

E-invois yang diperkenalkan sebagai platform digital bagi memperkemaskan urusan invois dan pematuhan cukai memerlukan perniagaan (pembayar cukai) menjana dan menghantar invois secara elektronik, bagi meningkatkan pelaporan dan kecekapan kutipan cukai sambil mengurangkan kebocoran.
— BERNAMA