i-Saraan KWSP Buat Suri Rumah dan Mereka Yang Bekerja Sendiri

Mungkin ramai yang terlepas pandang dengan skim i-Saraan yang disediakan oleh pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ini. Sebab yang popular dan menjadi perbualan ramai adalah i-Lestari dan yang terbaru, i-Sinar.

Apa Dia i-Saraan Ni?

Mengikut maklumat dari laman web KWSP:

“Caruman Sukarela dengan Insentif Persaraan (i-Saraan) membolehkan ahli yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk membuat caruman sukarela untuk tujuan persaraan, dan pada masa yang sama menerima caruman tambahan daripada pihak kerajaan.”

Sebagai ahli di bawah insentif ini, kita akan terima sumbangan Kerajaan sebanyak 15% (jumlah maksimum sebanyak RM250/setahun [berkuatkuasa 1 Januari 2018]) ke atas caruman yang kita lakukan.

i-Saraan terbuka kepada lelaki dan juga wanita yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Ianya juga untuk suri rumah yang tidak layak memohon skim i-Suri.

Tujuan i-Saraan adalah untuk menggalakkan mereka yang bekerja sendiri atau suri rumah, untuk mempunyai simpanan untuk hari tua nanti atau sebagai kemudahan untuk memiliki aset, membayar hutang atau keperluan lain.

Di samping simpanan biasa yang kita lakukan, kita juga kena pastikan ada wang disimpan di tempat yang agak sukar untuk dikeluarkan tanpa sebab yang kukuh; seperti i-Sinar ini. Kita juga akan menikmati dividen tahunan di atas simpanan persaraan kita ini.

Selain daripada itu, ianya dilihat sebagai satu inisiatif kerajaan kepada orang ramai agar tidak bergantung kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) apabila berusia nanti. Baik lelaki dan wanita perlu bertanggungjawab dengan diri sendiri dan hidup selepas bersara nanti.

Inisiatif ini bermula sejak 2018 dan dijangka akan dilanjutkan sehingga ke tahun 2022.

Apakah Manfaat Yang Akan Diperolehi?

Menerima dividen seperti pencarum KWSP yang lain serta tambahan RM250 daripada pihak kerajaan sekiranya kita mencarum sebanyak minima RM1,700 dalam masa setahun.

Sekiranya kita tidak mencapai jumlah tersebut, kita masih layak dapat 15% daripada jumlah caruman yang dibat. Semuanya akan masuk ke dalam akaun 1 KWSP.

Kita juga boleh nikmati pengecualian cukai sehingga RM6,000.

Bagaimana Hendak memohon?

Perlu ke cawangan KWSP dan lengkapkan borang :

• MyKad

• Borang i-Saraan – KWSP 16G (M) (Pendaftaran kali pertama sahaja)

• Borang i-Saraan – KWSP 6A (2) (Semasa bayaran)

•  Bayaran dalam tunai dan cek atau melalui perbankan internet (Penggunaan borang tidak diperlukan)

Sekarang perlu temujanji, dan boleh isi disini: https://www.kwsp.gov.my/ms/janjitemu

Sebarang pertanyaan mengenai iSaraan KWSP boleh disalurkan melalui:

Talian Khidmat Pelanggan KWSP: 03-896226000
ATAU
Borang Pertanyaan Online

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan (pelaburan,takaful dan wasiat) di institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga klien individu.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA