Maybank Islamic Lancar EzyWasiat – Perancangan Harta Pusaka Untuk Wasiat Patuh Syariah Digital Yang Komprehensif

Menggabungkan algoritma Faraid & nasihat Syariah – Wasiat selesai hanya dalam masa 30 minit!

Maybank Islamic Berhad hari ini melancarkan EzyWasiat, perkhidmatan penulisan wasiat yang inovatif dan efisien untuk umat Islam di Malaysia. Perkhidmatan digital baharu ini membolehkan pelanggan merancang dan menyiapsediakan wasiat mereka dengan lebih cekap dan teratur, selaras dengan Syariah dan undang-undang faraid.

Platform EzyWasiat dibangunkan mengikut model bantuan unik di mana pelanggan akan dibantu secara langsung oleh penasihat pengurusan kekayaan patuh Syariah atau pengurus hubungan yang akan menggabungkan algoritma faraid untuk memudahkan proses penulisan wasiat. Pelanggan hanya perlu menyediakan dokumen yang betul, dan dengan bayaran serendah RM600, penulisan wasiat mereka boleh disempurnakan dalam masa 30 minit sahaja.

Tujuan utama EzyWasiat adalah untuk memberikan kelapangan minda dalam pengurusan harta dan memastikan harta tersebut diuruskan dengan betul setelah pemergian individu. Produk ini disasarkan kepada umat Islam dan tidak hanya terhad kepada mereka yang sudah lama berniat untuk menyediakan wasiat tetapi terhalang sama ada disebabkan oleh faktor kerumitan proses, kos atau kurangnya kemudahan.

Perancangan harta dan warisan adalah perkara yang harus diberikan keutamaan. Terdapat banyak laporan media yang menyebut harta atau aset bernilai lebih daripada RM70 bilion yang masih belum lagi diagihkan. Ini disebabkan kurangnya kesedaran tentang kepentingan merancang pembahagian harta sebelum kematian.

Untuk menyediakan kemudahan ini kepada pelanggan, Maybank Islamic telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat fintech, CreateWills Sdn Bhd serta menggabungkan nasihat sokongan dan pegawai perhubungan pelanggan Maybank Islamic yang berdedikasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Dato’ Mohamed Rafique Merican berkata pelancaran EzyWasiat adalah selaras dengan aspirasi Bank itu untuk membangunkan penyelesaian baharu dan inovatif yang dapat memberikan impak positif kepada komuniti secara meluas.

“Kami kekal komited untuk menerajui perbankan patuh Syariah bukan sahaja di rantau ini malah serata dunia. Berbekalkan jalinan perkongsian pintar, kami berada pada kedudukan yang strategik untuk membuka jalan ke arah fasa pertumbuhan kewangan Islam yang seterusnya. Selain memenuhi janji kami terhadap kelestarian kewangan Islam, kami juga

berusaha untuk mendigitalkan produk-produk kami dalam menawarkan penyelesaian kepada para pelanggan, maka tercetusnya kerjasama dengan CreateWills ini.”

“Kerjasama antara Maybank Islamic dan CreateWills menandakan pencapaian penting dalam bidang perkhidmatan penulisan wasiat bagi umat Islam, khususnya dari segi perancangan harta patuh Syariah. Ia juga mengukuhkan komitmen Maybank Islamic untuk menjadikan perkhidmatannya mudah diakses oleh semua umat Islam di Malaysia,” tambah Dato’ Rafique.

“Dengan EzyWasiat, umat Islam dapat memanfaatkan perkhidmatan penulisan wasiat khusus untuk mereka yang menitikberatkan keperluan syarak dan perancangan masa hadapan demi orang yang tersayang. Dalam erti kata lain, kami membantu anda untuk merealisasikan perancangan harta dari Niat ke Wasiat,” kata Ketua Pengurusan Kekayaan dan Pembangunan Perniagaan Patuh Syariah Maybank Islamic, Ahmad Shareza Abdul Rahman.

Beliau menambah lagi bahawa misi Bank adalah untuk memperkasakan pelanggan untuk merancang masa hadapan mereka secara efisien, di samping memastikan niat mereka untuk mematuhi keperluan Islam dapat dipenuhi dengan mudah.

“Dengan proses penulisan wasiat yang dapat diselesaikan dalam tempoh 30 minit dan struktur harga yang berpatutan, kami ingin memastikan agar tiada sesiapapun yang terkecuali daripada bantuan guaman perancangan harta yang berkualiti tinggi. Malah, EzyWasiat yang berasaskan teknologi digital ini mudah untuk diubahsuai dari masa ke masa jika diambil kira realiti perubahan hidup dan peredaran masa yang dinamik,” jelas Ahmad Shareza.

EzyWasiat merupakan salah satu tawaran baharu di bawah penyelesaian pengurusan harta patuh Syariah Maybank Islamic yang holistik serta merangkumi semua 5 teras pengurusan kekayaan – penghasilan, pengumpulan, perlindungan, penyucian dan pengagihan.

Baru-baru ini, di bawah teras penyucian harta, Maybank Islamic telah melancarkan perkhidmatan dalam talian iaitu EzQurban untuk memudahkan amalan Qurban sempena sambutan Aidiladha dalam kalangan pelanggannya. Ini juga bagi membolehkan para pelanggan merancang kewangan mereka untuk menunaikan kewajipan Qurban pada masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut tentang EzyWasiat, termasuk integrasi Faraid dalam pengurusan harta, layari Maybank.my/EzyWasiat atau hubungi Maybank Islamic di [email protected].

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.