Kenapa Balu Sering Tertindas Dalam Proses Pentadbiran Harta Pusaka Suami?

Kita sering mendengar kisah-kisah tidak enak berkenaan pengurusan harta pusaka yang mana diakhiri dengan persengkataan antara ahli keluarga. Lebih-lebih lagi jika yang meninggal dunia itu meninggalkan balu yang masih muda dan anak-anak yang masih kecil.

Bahkan baru-baru ini, viral lagi kisah keluarga selebriti yang berkait rapat dengan masalah pentadbiran harta pusaka. Ditambah pula dengan komentar netizen, ianya mengeruhkan lagi keadaan.

Kebiasaannya apabila berlaku kematian, balu merupakan waris yang paling terkesan dan terjejas, lebih-lebih lagi daripada sudut emosi dan kewangan.

Manakan tidak, insan yang berkongsi hidup selama bertahun-tahun akhirnya terpaksa meninggalkan kita kerana masanya telah sampai.

Tetapi yang hidup tetap perlu meneruskan kehidupan. Balu dan anak yang ditinggalkan tetap perlu rumah untuk berteduh, makan dan minum serta duit untuk meneruskan kelangsungan kehidupan.

Malangnya, akibat tidak betul-betul faham tentang pentadbiran harta pusaka dan hukum faraid, akhirnya balu seolah-olah ditindas dan menjadi mangsa keadaan.

Terpaksa keluar rumah yang diduduki kerana waris lain mengatakan rumah tersebut merupakan pusaka yang perlu difaraidkan, maka balu tiada hak lagi untuk tinggal di situ.

Kebanyakan balu tidak tahu bahawa sebenarnya sebaik sahaja suami meninggal dunia, balu boleh terus tinggal di rumah arwah suami selama 4 bulan 10 hari (tempoh iddah). Tiada mana-mana waris si suami boleh menghalau balu keluar dari rumah itu dalam tempoh tersebut.

Begitu juga sekiranya si suami mempunyai rumah yang disewakan. Duit daripada sewa rumah tersebut juga boleh digunakan oleh balu untuk kelangsungan hidup mereka anak beranak sekiranya tiada sumber pendapatan yang lain, sepanjang tempoh iddah.

Walaubagaimanapun, si balu perlu mencatat berapa banyak yang telah digunakan oleh mereka anak-beranak dan untuk apa, kerana ini akan memudahkan proses agihan harta pusaka melalui hukum faraid agar semua waris jelas dan maklum ke mana duit tersebut digunakan.

Seterusnya, sebelum agihan faraid dibuat, balu juga boleh memfailkan tuntutan harta sepencarian terhadap harta pusaka yang ditinggalkan suami di Mahkamah Syariah.

Walaubagaimanapun, keputusannya terserah kepada Mahkamah Syariah untuk memutuskan berapakah bahagian yang layak dimiliki oleh balu tersebut bergantung kepada penilaian hakim syarie tentang tahap sumbangan balu ke atas pemilikan harta tersebut.

Daripada huraian ringkas ini, balu mempunyai hak-hak tertentu bagi melindungi kepentingan mereka dan anak-anak, tetapi mungkin kerana kurangnya ilmu, maka akhirnya mereka sering tertindas oleh keadaan.

Namun, para suami seharusnya lebih peka dengan keadaan ini. Menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan isteri dan anak-anak dapat meneruskan kehidupan walaupun selepas suami tiada lagi.

Banyak kaedah yang boleh suami lakukan untuk memastikan kebajikan isteri dan anak terpelihara. Di antara yang biasa kita dengar adalah hibah.

Sama ada hibah harta atau pun hibah takaful. Kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain.

Sebagai contoh, suami boleh menghibahkan rumahnya kepada isteri. Apabila semua rukun dan syarat hibah ini terlaksana, maka hibah itu sah dan isteri itu memilikilah rumah itu. Tak perlulah rumah itu dibahagikan mengikut faraid. 

Begitu juga dengan hibah takaful. Sekiranya si suami masih belum memiliki perlindungan takaful, usahakanlah untuk memiliki sekurang-kurangnya perlindungan yang paling minimum, sesuai bajet bulanan.

Kesimpulannya, bagi yang masih hidup, rancanglah harta anda supaya harta yang ditinggalkan tidak menjadi punca perbalahan antara keluarga kelak.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka.

Nak tahu lebih lanjut mengenai hibah dan takaful, klik Let’s Talk di sini.

Iklan

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Norma Baru Dalam Kehidupan Sekarang, Jangan Lepaskan Peluang

Dah lama buat persediaan untuk berkahwin? Risau bajet tak cukup untuk buat majlis dan untuk menampung kos kehidupan lepas dah berkahwin?

Jangan risau. Bila isu Covid-19 dah reda nanti, itu adalah masa yang terbaik untuk bernikah!

Pakar-pakar kesihatan awam dah beri gambaran perlunya dielakkan perkumpulan dan majlis keramaian dalam tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan selepas PKP ditamatkan.

Jadi segala ekspektasi untuk buat majlis besar-besaran dah boleh diketepikan. Tak perlu lagi risau pandangan sinis orang ramai kalau majlis dilihat tak seberapa.

Penjarakan Sosial

Jawapan tepat, ringkas dan padat bagi menutup terus ruang makcik pakcik bawang daripada beroperasi. Majlis boleh dibuat seringkas mungkin. Hidang bihun pun okay.

Tak perlu lagi majlis dengan jemputan mencecah ribuan orang. Yang nak menganjur pun akan berfikir tiga empat kali, yang dijemput apatah lagi. Bukan perkahwinan saudara-mara atau teman rapat? Tak apalah, cukup sekadar salam dikirim pengganti diri.

Risiko jangkitan dikaitkan dengan perjalanan bercuti akan terus menjadi stigma kepada industri pelancongan. Maka si bakal isteri akan rela hati bulan madu idaman ditangguh dulu. Ada rezeki cepat dapat anak, terus tangguh bulan madu sampai anak habis sekolah.

Trend majlis perkahwinan dengan kos puluhan ribu akan surut. Pakej fotografi, door gift, katering, dewan serba indah, hiasan bunga segar, pelamin bak singgahsana dan bermacam lagi yang belanjanya mampu merencat ekonomi rumah tangga bertahun-tahun kehadapan, akan merudum permintaannya diikuti kejatuhan harga dengan meningkatnya kuasa tawar pelanggan.

Servis-servis berkenaan perlu ikut berevolusi atau mati.

Begitu Jugalah Halnya Dengan Dunia Kewangan

Gambaran situasi pasca krisis Covid-19 di atas adalah satu contoh yang dekat dengan masyarakat kita. Bayangan yang mungkin sedikit ekstrem tetapi ada relevannya.

Kalaupun episod luka krisis ini telah pulih, parutnya tetap akan ada untuk ingatkan kita, inilah ‘The New Normal’.

Ketika ini mungkin anda sudah terbiasa juga mendengar istilah ‘unprecedented’ sama ada dari sidang media menteri atau pengarah kesihatan, analisis–analisis isu semasa atau berita.

Dua istilah ini saling bergandingan dan merujuk perkara atau situasi yang tak pernah kita hadapi sebelum ni. Dan tindak balas kita akan jadi suatu norma baru dalam kehidupan kita.

Dalam dunia perniagaan dan pelaburan, jangan diabaikan potensinya.

Imbas kembali hanya 2 atau 3 bulan ke belakang, penggunaan hand sanitizer dan topeng muka masih dilihat sebagai satu yang bukan kebiasaan. Hari ini, segolongan yang ketika itu berjaya melihat hand sanitizer dan topeng muka bakal menjadi ‘new normal’ sedang menuai hasil.  Penggunaan dan permintaan produk ini dijangka akan kekal malahan berpotensi untuk terus meningkat. 

Data e-dagang berikut walaupun hanya merangkumi pengguna di US secara spesifik, tetap relevan untuk dirujuk dalam memberi bayangan perubahan gaya hidup yang sedang melanda seluruh dunia.

Sumber: https://www.stackline.com/news/top-100-gaining-top-100-declining-e-commerce-categories-march-2020

Produk berkenaan pelancongan, sukan dan rekreasi dan acara keramaian paling teruk terjejas.

Produk penjagaan dan kebersihan diri serta produk isi rumah harian pula paling meningkat.

Disebalik data ini pula, terzahir peralihan ketara cara pembelian barang dapur daripada premis fizikal ke pembelian di atas talian.

Seterusnya kesan rantaian akan mempengaruhi pula aspek lain seperti meningkatnya populariti servis penghantaran dan juga transaksi tanpa tunai.

Supply And Demand

Hukum asas ekonomi, permintaan menghasilkan penawaran. Demand create supply. Ringkasnya, bila permintaan jatuh, penawaran juga akan berkurang, harga pun turun. Begitu juga sebaliknya.

Selepas suatu tempoh, equilibrium baru akan terhasil. Harga akan kembali stabil di satu tahap yang akan menjadi ‘new normal’.

Oleh itu, jangan tunggu lama-lama, inilah masanya. Wang simpanan pun dah bertambah hasil moratorium pinjaman kereta dan rumah yang dibeli untuk siapkan diri jadi yang terbaik untuk Si Dia kan?

Ditulis oleh Izzudeen Razali. Penulis adalah seorang suami anak satu yang self-proclaimed berkelayakan untuk beri nasihat ekonomi rumah tangga. Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana organisasi.

Iklan

Ramai Wanita Yang Teraniaya Dalam Perkahwinan, Terutamanya Dalam Bentuk Kewangan

Wanita sering teraniaya dalam sesebuah institusi perkahwinan. Lebih parah apabila isteri tersebut tidak bekerja dan hanya bergantung harap kepada suami semata-mata.

Kalau dapat suami yang bertanggungjawab, Alhamdulillah. Namun, kita harus berdepan dengan realiti bukan semua orang sebegitu.

Jom kita dengar kupasan Puan Noraini Othman mengenai topik panas ini.

Bermacam-Macam Kes Yang Berlaku

Ramai yang masih bergelar isteri yang sah tapi tidak diberi nafkah.

Yang digantung tidak bertali, yang sudah berpisah, sudahlah tidak diberi nafkah, wang ringgit, barang kemas isteri ditagih sekali.

Ah, sungguh durjana lelaki seperti ini. Apakah layak ianya dipanggil sebagai lelaki???

Dalam bahagian faraid, isteri mendapat bahagian yang paling sedikit tapi itu tidak bermakna Islam merendahkan martabat wanita.

Wanita Adalah Mulia Di Sisi Islam

Malah Islam mengangkat darjat wanita dengan memerintah anak-anak taat kepada ibu 3 kali lebih daripada bapa.

Tiada seorang lelaki pun yang Allah kurniakan rahim untuk mengandungkan dan melahirkan seorang manusia lainnya.

Juga dikhabarkan juga, lelaki pasti tidak sanggup menahan sakit bersalin.

Ya Allah, hebatnya kita wanita.

Walaupun dalam faraid isteri hanya mendapat bahagian 1/8, itu jika monogami dan jika berpoligami 1/16, beristeri 3, 1/24 dan yang beristeri 4, 1/32.

Kira-kiranya begini jika diambil jumlah RM100 ribu untuk memudahkan:

Monogami 1/8 : RM12500
Poligami 1/16 : RM6250
3 orang isteri 1/24 : RM4,166.67
4 orang isteri 1/32 : RM3125.

Nampak sedikit sangat kan.

Ilmu Kewangan Sangat Penting

Namun begitu, wanita perlu bijak mempersiapkan diri dengan ilmu kewangan.

1 pesanan saya, bab kewangan pastikan jika suami perlukan bantuan, rekodkan. Kemudian minta semula. Bukan berkira tapi kita mahu beritahu bahawa tanggungjawab suami itu besar. Bukan tak sayang suami tapi isteri perlu ada back up plan juga. Kena sayang diri sendiri dahulu jika tidak mahu perkara tidak diingini berlaku, sekurang-kurangnya kita telah bersedia.

Ujian Allah tak kira masa.

Tak cukup plan A, sediakan plan B. Jangan risau, tak jadi plan B, ada plan C sampai Z.

Bahagian faraid wanita ini sedikit sebab kekurangan yang lain perlu dibantu oleh waris faraid sebelah suami turutan bermula daripada bapa kepada suami iaitu bapa mertua isteri.

Jika bapa sebelah suami tidak mampu maka adik beradik lelaki sebelah suami perlu bertanggungjawab memastikan urusan kewangan keluarga isteri yang kematian suami tadi cukup.

Ramai Yang Tak Tahu Atau Mempunyai Tanggapan Yang Salah

Di Malaysia juga ada hak Harta Sepencarian yang boleh dituntut sehingga 50% namun perlu ada pembuktian.

Dokumen Deklarasi Harta Sepencarian juga ada di Malaysia. Dokumen ini disarankan semua wanita buat seawal fasa honeymoon lagi. Semasa dalam tempoh inilah senangnya para suami menyerahkan harta tanpa banyak bicara dan wanita menggunakan kuasa pujuk rayu.

Kebanyakan wanita hanya mahu mengambil tindakan hanya setelah berlaku krisis rumahtangga, ini menyukarkan proses selanjutnya.

Namun begitu masih ada jalan yang boleh diusahakan asalkan jangan patah semangat.

Jadilah wanita yang celik Pusaka.

Kredit: FB Noraini Othman

Iklan

6 Perkara Yang Boleh Dilakukan Dengan Kenaikan Gaji

Setiap tahun, kebanyakan daripada kita akan mendapat kenaikan gaji daripada majikan sebagai tanda penghargaan dan pencetus semangat untuk menempuh tahun baru yang semakin mencabar.

Berikut disenaraikan 6 tips yang boleh dibuat dengan kenaikan gaji bagi memastikan kita peroleh manfaat daripada kenaikan gaji tersebut:

1. Selesaikan Hutang Lebih Cepat

Gandakan bayaran bulanan hutang untuk memendekkan tempoh pinjaman. Sebagai contoh, bayaran PTPTN sebulan adalah RM200, dengan kenaikan gaji bayaran bulanan boleh ditingkatkan kepada RM250.

Lagi cepat habis hutang, lagi lega kita akan rasa. Tidur malam pun menjadi lebih lena.

2. Tambah Pelaburan

Pelaburan adalah satu ubat untuk melawan inflasi. Jika anda menyimpan sebanyak RM50 sebulan di Amanah Saham Bumiputera (ASB), apa kata pertimbangkan untuk menyimpan RM100 sebulan apabila mendapat kenaikan gaji.

Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit…

3. Tambah Simpanan Kecemasan

Mengapa tidak tambah simpanan kecemasan? Dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi dan risiko kehilangan pekerjaan, simpanan kecemasan adalah aset yang sangat penting ketika diperlukan.

Pastikan anda mempunyai simpanan sebanyak tiga ke enam bulan gaji dalam simpanan kecemasan untuk bersedia menghadapi sebarang musibah.

4. Simpanan Hujung Tahun

Hujung tahun adalah musim di mana duit banyak digunakan. Kebanyakan daripada kita akan membuat persiapan persekolahan anak-anak atau melancong bersama keluarga. Apa salahnya menabung bermula bulan Januari dan lihat hasilnya pada bulan Disember.

Sekurang-kurangnya kita tidak mengorek duit simpanan kecemasan untuk tujuan tersebut.

5. Tambah Ilmu

Jangan lupa beli buku ilmiah untuk tambah ilmu pengetahuan. Dengan adanya ilmu, baru ada idea untuk kita perbaiki kehidupan, tambah simpanan, tingkatkan pulangan pelaburan dan bermacam-macam lagi.

Tak pun, boleh juga kurangkan cukai pendapatan (resit jangan lupa simpan).

6. Tingkatkan Pelan Perlindungan Takaful Anda

Setiap tahun, kos perubatan semakin meningkat. Nilai perlindungan perubatan RM20,000 mungkin cukup bagi tahun 2000, namun adakah jumlah tersebut masih relevan pada tahun 2019?

Hubungi ejen anda untuk mendapatkan nasihat berkenaan kos perubatan terkini dan menyemak semula polisi anda bagi menyesuaikan perlindungan dengan kos terkini.

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Berkelulusan Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam
Masih bekerja di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit
Boleh dihubungi melalui emel [email protected]
Penulisan adalah atas kapasiti peribadi dan untuk tujuan pendidikan

Iklan

Servis di Bank Lambat Sebab Kurang Staf? Apa Jadi Nanti Kalau Tak Ada Langsung?

Cawangan Bank of America Tanpa Staf

Siapa sangka kini anda boleh membuat transaksi perbankan seperti biasa anda lakukan di kaunter, dengan hanya berurusan dengan mesin. Tak percaya?

Baru-baru ini, Bank of America telah membuka 3 cawangan bank yang berautomasi sepenuhnya, di mana pelanggan boleh menggunakan ATM dan mengadakan sidang video dengan kakitangan di cawangan lain.

Kurangkan Kos, Tingkatkan Kecekapan

Siapa sangka bank pun terpaksa ikat perut. Dulu kita ingat yang industri oil & gas dan perbankan ini kebal daripada kemerosotan ekonomi. Bonus berbulan-bulan dan berbelas bulan sudah biasa bagi kakitangan daripada kedua-dua industri ini.

Nampaknya mereka terkena juga tempias ekonomi dan terpaksa lebih berdaya saing bagi memastikan mereka selamat mengharungi tahap getir ini.

Mesin ATM canggih yang digunakan oleh Bank of America
Mesin ATM ini membolehkan pelanggan berinteraksi dengan pegawai bank menerusi skrin

Bank of America seperti mana bank-bank lain, telah berusaha untuk mengurangkan jumlah kakitangan di setiap cawangan bagi mengurangkan kos, dan membuka cawangan di kawasan baru yang berpotensi.

Cawangan baru ini pula biasanya lebih kecil, menggunakan teknologi terkini, dan menyasarkan untuk menjual pinjaman rumah, kad kredit dan sewa beli, berbanding transaksi-transaksi mudah seperti mendepositkan cek.

Masa Depan Yang Gelap Bagi Perbankan Tradisional?

Pernahkan dengar tentang FinTech? Kalau tak pernah, cuba baca sedikit Apa itu FinTech dan masa depan FinTech di Malaysia. Generasi sekarang membesar dengan peranti mudah alih. Maka transaksi kewangan selepas ini akan semudah berkongsi gambar. Perspektif inilah yang membolehkan FinTech berkembang.

Sepertimana contoh Bank of America di atas yang membuka 3 cawangan tanpa sebarang staf, ini merupakan kesan daripada kemajuan teknologi. Kebanyakan bank kini berada di dalam dilema dan lambat laun, mereka terpaksa juga menerima teknologi ini sebagai sebahagian daripada DNA organisasi mereka.

Tetapi ini tidak bermakna bahawa perbankan tradisional akan pergi buat selama-lamanya. Bagi mereka yang bekerja di sektor perbankan, jangan risau kerana khidmat anda masih diperlukan. Dengan kelebihan teknologi yang dimiliki FinTech dicampur pula dengan kelebihan perbankan tradisional seperti modal yang lebih besar, bilangan pelanggan yang lebih ramai dan pasukan jualan yang lebih besar – kedua-duanya perlu bekerjasama bagi meningkatkan lagi tahap industri perbankan sedia ada.

Iklan

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!