KWAP Catat Pendapatan Pelaburan Sebanyak RM18 Bilion Pada 2024

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) —  Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) merekodkan pendapatan pelaburan tertinggi sebanyak RM18.0 bilion pada 2024 dengan pulangan keseluruhan 12.0 peratus.

KWAP dalam satu kenyataan itu berkata pelaburan domestik menjana pulangan 12.9 peratus manakala portfolio antarabangsa memberikan pulangan sebanyak sembilan peratus.

“Pendapatan bersih tertinggi ini hasil daripada ekuiti awam yang menjana jumlah pulangan sebanyak 21.9 peratus dengan ekuiti domestik mencapai 23.2 peratus dan ekuiti antarabangsa memperoleh 16.9 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, saiz dana KWAP meningkat RM15.8 bilion kepada RM185.6 bilion dalam keputusan kewangan tidak diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2024, menunjukkan peningkatan 9.3 peratus daripada RM169.8 bilion pada 2023.

Sebelum pengeluaran RM5 bilion untuk membiayai sebahagian bayaran pencen oleh kerajaan, peningkatan kasar berjumlah RM20.8 bilion tahun ke tahun mempamerkan kejayaan berterusan strategi pelaburan berdisiplin KWAP dan tumpuannya terhadap pertumbuhan jangka panjang mampan.

Sejak penubuhannya pada 2007, saiz dana KWAP meningkat empat kali ganda dengan purata pertumbuhan 9.1 peratus setahun.

Strategi peruntukan KWAP kekal pelbagai dan berdaya tahan, 74.6 peratus portfolionya dilaburkan di dalam negara dan 25.4 peratus di luar negara.

Setakat 31 Disember, 2024, portfolio itu diperuntukkan sebagai 51.7 peratus ekuiti, pendapatan tetap (32.4 peratus), ekuiti persendirian (5.4 peratus), hartanah (5.2 peratus) dan infrastruktur dengan baki dalam pengurusan tunai untuk tujuan mudah tunai (2.2 peratus).

“Strategi peruntukan aset ini telah membolehkan KWAP mengoptimumkan pulangan pelaburannya dalam keadaan pasaran yang berbeza-beza,” katanya.

Dari segi perkhidmatan persaraan, KWAP memberi perkhidmatan kepada lebih 810,000 penerima pencen di seluruh Malaysia setakat 31 Disember, 2024, mencerminkan peningkatan 2.4 peratus atau lebih 19,000 penerima pencen tambahan berbanding 2023.

KWAP mengekalkan 99.8 peratus skor prestasi perjanjian tahap perkhidmatan, jauh melebihi ambang 95 peratus.

Pengerusi KWAP Datuk Johan Mahmood Merican berkata pendapatan bersih tertinggi ini menggariskan usaha berterusan KWAP untuk memastikan kemampanan kewangan jangka panjang ekosistem pencen berkenaan.

“Kami yakin tumpuan berterusan terhadap pelaburan strategik dan kemampanan akan mengukuhkan lagi sumbangan KWAP kepada ekosistem pencen Malaysia untuk generasi akan datang,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Monee Perkenal SFinancing-i Kepada Semua Pengguna Shopee Dengan Pembiayaan Digital Patuh Syariah

Monee Capital Malaysia Sdn. Bhd. (Monee) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi SFinancing-i, iaitu penyelesaian pembiayaan digital patuh Syariah yang kini dibuka kepada semua pengguna Shopee* di Malaysia. Direka untuk memberikan lebih fleksibiliti kewangan, SFinancing-i membolehkan pengguna mengakses pembiayaan tunai segera dengan mudah terus melalui aplikasi Shopee.

Dengan pembiayaan sehingga RM20,000 dan tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan, SFinancing-i direka untuk membantu memenuhi keperluan kewangan peribadi pengguna melalui pengalaman yang mudah dan lancar secara digital. Pengguna yang diluluskan boleh mengeluarkan dana serta-merta ke akaun bank atau ShopeePay Wallet, tanpa perlu mengemukakan dokumen pendapatan atau membayar sebarang yuran pengaktifan.

Sempena pelancaran ini, pengguna yang mengaktifkan dan membuat permohonan pembiayaan pertama akan menikmati promosi istimewa kadar bulanan 1%* untuk tempoh bayaran balik sehingga 24 bulan.

Dikuasai oleh Monee Capital Malaysia dengan kerjasama Sedania As Salam Capital, serta disahkan oleh Masryef Advisory, SFinancing-i dibangunkan berasaskan prinsip Syariah Komoditi Murabahah (Tawarruq). Ia menawarkan penyelesaian pembiayaan yang telus dan mudah diakses, selaras dengan prinsip kewangan Islam.

Ciri-ciri utama SFinancing-i termasuk:

  • Pembiayaan sehingga RM20,000
  • Tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan
  • Pengeluaran tunai segera ke akaun bank atau ShopeePay Wallet
  • Kadar bulanan 1% untuk permohonan pembiayaan pertama
  • Proses permohonan 100% digital tanpa dokumen pendapatan
  • Tiada yuran pengaktifan

Pengguna yang layak boleh mengaktifkan SFinancing-i terus melalui tab “Saya” di aplikasi Shopee. Perkhidmatan ini terbuka kepada warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berumur 18 tahun ke atas.

Bagi pengguna yang memerlukan jumlah pembiayaan lebih tinggi, Monee turut menawarkan SFinancing-i Xtra, iaitu penyelesaian pembiayaan bertempoh yang menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada pengguna yang layak**, dengan kadar bulanan serendah 0.75%.

Untuk maklumat lanjut, sila klik DI SINI.

*Tertakluk kepada terma dan syarat.

**SFinancing-i Xtra pada masa ini hanya tersedia untuk pengguna terpilih sahaja.