Eksport Minyak Sawit Malaysia Ke Asia Tengah Bernilai RM288.23 Juta Pada 2024.

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) — Malaysia mengeksport 54,665 tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit bernilai RM288.23 juta ke negara Asia Tengah iaitu Uzbekistan, Kazakhstan, Tajikistan, Kyrgyzstan dan Turkmenistan pada 2024.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata pihaknya melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) terus komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peserta utama dalam membekalkan minyak sawit ke Asia Tengah di samping meningkatkan penguasaan pasaran minyak sawit di Pakistan.

“Asia Tengah merupakan destinasi eksport penting bagi minyak sawit Malaysia. 

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, MPOC selaku agensi yang bertanggungjawab mempromosikan minyak sawit Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif di rantau tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai usaha terbaharu Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) untuk menjadikan Malaysia sebagai peserta industri terbesar dalam pembekalan minyak kelapa sawit di Asia Tengah dan kembali dominan dalam pengedaran minyak sawit di Pakistan.

Mengenai pasaran minyak sawit di Pakistan, Chan berkata negara itu masih kekal sebagai antara 10 negara pengimport terbesar minyak sawit Malaysia dengan import sebanyak 860,260 tan pada 2024.

“Kementerian ini memberikan fokus kepada permintaan minyak makan dan lokasi strategik negara itu sebagai pintu masuk ke Asia Tengah,” katanya.

Beliau berkata perbincangan dengan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Qasim mengenai kelebihan dalam menggunakan infrastruktur pelabuhan Pakistan untuk memudahkan pengedaran minyak sawit Malaysia ke Asia Tengah telah diadakan.

Perbincangan itu diadakan semasa lawatan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani ke Karachi, Pakistan pada 9 hingga 11 Jan, 2025, katanya.

Eksport Malaysia ke pasaran Pakistan dijangka kekal antara 18 hingga 25 peratus daripada keseluruhan import minyak sawit di negara itu, bergantung kepada dinamik harga dan keadaan pasaran semasa.

Sementara itu, menjawab soalan Mohd Isam mengenai langkah mengembalikan Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit kepada geran penuh, beliau berkata KPK telah mengetengahkan cadangan itu kepada Kementerian Kewangan (MOF).

Menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai usaha KPK untuk meneroka pasaran Asia terutama Jepun bagi inovasi penggunaan sawit untuk penghasilan tenaga, Chan berkata KPK akan menyertai ekspo dunia di Osaka, Jepun tahun ini bertujuan meneroka penggunaan sisa biojisim sawit untuk penjanaan elektrik.

“Jepun memang pasaran yang harus kita teroka terutama bagi sisa biojisim untuk menjana elektrik.

“Cuma kita tidak menggalakkan kalau eksport bahan mentah ke Jepun, kita harus menghasilkan bahan bernilai tinggi sebelum dieksport,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Rentak Kenaikan Terhenti Seketika

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO mengalami kegiatan pengambilan untung yang kecil pada hari Khamis lalu, dan seterusnya menyusut MYR8 untuk ditutup pada harga lebih rendah iaitu MYR4,570. Komoditi ini asalnya memulakan sesi dagangan pada paras MYR4,580. Ia kemudiannya berayun antara paras MYR4,620 dan MYR4,558 sebelum ditutup pada harga MYR4,570. Pergerakan harga yang negatif ini menandakan bahawa sentimen pasaran sudah menjadi neutral selepas harga menaik daripada paras sokongan MYR4,500 baru-baru ini.

FCPO sekarang mungkin beralih ke fasa mendatar sebelum ia dapat menguji semula paras rintangan MYR4,680. Sementara itu, kedua-dua garisan SMA 50 dan 200 hari terus bergerak lebih tinggi, sekali gus menandakan yang keadaan pasaran menaik masih bertahan. Sekiranya tekanan jualan berpanjangan, indeks ini mungkin mencatat lantunan berhampiran paras sokongan MYR4,500. Walaupun pergerakan menaik terhenti seketika, kami tetap berpegang pada bias dagangan positif.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac (MYR4,367). Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,500 dan diikuti oleh paras MYR4,400. Pada masa yang sama, paras rintangan terdekat ialah MYR4,680 dan diikuti oleh MYR4,800.