KWSP Jadi Pemegang Unit Penting Dalam KIP REIT Selepas Pegang Enam Peratus Kepentingan

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menjadi pemegang unit penting dalam Amanah Pelaburan Hartanah KIP (KIP REIT) berikutan kejayaan pelaksanaan penempatan persendirian kumpulan itu baru-baru ini.

Melalui pegangan saham semasanya melebihi enam peratus, kedudukan KWSP sebagai pemegang unit yang besar mengukuhkan lagi keyakinannya terhadap hala tuju strategik dan potensi pertumbuhan KIP REIT.

“Penempatan persendirian itu melibatkan pengeluaran sehingga 180.0 juta unit penempatan pada 82.5 sen seunit, meningkatkan hasil kasar sehingga RM146.70 juta.

“Dana itu akan digunakan untuk sebahagiannya membiayai pemerolehan RM320 juta Pusat Beli-belah D’Pulze di Cyberjaya dan menampung perbelanjaan berkaitan,” kata KIP REIT dalam satu kenyataan.

Dengan KWSP antara pemegang unit utama, KIP REIT berada pada kedudukan lebih baik untuk memajukan strategi pertumbuhannya, meningkatkan portfolionya dan mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang unitnya.

Pada tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024, pendapatan hartanah bersih KIP REIT meningkat sebanyak 25.2 peratus kepada RM77.8 juta, didorong oleh portfolio hartanah runcit dan perindustrian dipelbagaikan secara strategik di seluruh Malaysia.

Pembelian terbaharu seperti TF Value-Mart di Gerik dan Pusat Beli-belah D’Pulze, mengesahkan komitmen kumpulan untuk mengembangkan jejaknya di lokasi pertumbuhan tinggi dan memberikan pulangan konsisten.

Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT Valerie Ong Pui Shan berkata sokongan KWSP mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai platform pelaburan dipercayai dan menyemarakkan komitmennya untuk mencapai pertumbuhan mampan dan memberikan nilai luar biasa kepada semua pihak berkepentingan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Sektor Hartanah Dijangka Catat Pertumbuhan Kukuh Pada 2025 – Rahim & Co


KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) — Pasaran hartanah tempatan dijangka mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada 2025, didorong oleh momentum yang mampan dalam pembangunan kediaman penghuni pemilik dan wujudnya industri baharu seperti pusat data dan tenaga boleh baharu.

Pengerusi Eksekutif Rahim & Co Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman berkata penggabungan pendigitalan, kemampanan, kesedaran terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta permintaan meningkat untuk kehidupan bandar bersepadu akan membentuk pasaran hartanah Malaysia.

“Dengan sokongan kerajaan yang berterusan seperti melalui insentif untuk rumah mampu milik, dasar mesra pelabur serta inisiatif bangunan hijau dan berasaskan teknologi, pasaran hartanah dijangka terus berkembang,” katanya pada pratonton laporan Kajian Pasaran Hartanah 2024/2025 syarikat itu hari ini.

Walaupun cabaran berterusan, prospek kekal positif untuk pemaju yang dapat menyesuaikan dengan keperluan pasaran yang sentiasa berubah.

Pengarah Penyelidikannya, Sulaiman Akhmady Mohd Saheh berkata pelaburan infrastruktur strategik, termasuk Laluan Rel Pantai Timur, Lebuhraya Pan Borneo dan Rapid Transit System akan mewujudkan peluang pelaburan baharu.

“Program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) yang diperhalusi dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan datang juga dijangka menjana minat yang ketara.

“Dalam sektor komersial, walaupun terdapat tekanan penawaran, trend ‘flight-to-green’ dan ‘flight-to-quality’ akan mentakrifkan semula pasaran pejabat dan runcit, mewujudkan naratif baharu dalam segmen itu,” katanya, sambil menambah sentimen pada 2025 dijangka dipengaruhi oleh faktor seperti subsidi bahan api dan pelarasan tarif elektrik serta ketidaktentuan global.

Bagaimanapun, katanya permintaan untuk kawasan yang stabil dijangka kekal kukuh dan permintaan untuk rumah mampu milik akan berterusan, disokong oleh inisiatif kerajaan.

“Sektor peruncitan akan pulih secara berperingkat, dengan pusat beli-belah dan kedai baharu berkembang maju. Kadar penghunian pusat beli-belah dijangka bertambah baik berikutan pengusaha melaksanakan inovasi untuk meningkatkan pengalaman pengunjung,” katanya.

Dalam pasaran pejabat, katanya peralihan kepada model kerja jarak jauh dan hibrid sedang mentransformasikan permintaan terhadap ruang pejabat.

“Syarikat memberikan keutamaan kepada fleksibiliti, dengan pejabat berkembang menjadi hab kolaboratif berbanding ruang kerja tradisional.

“Mengambil kira ESG, dengan lokasi yang kaya dengan kemudahan dan akses pengangkutan yang mudah, menjadi pemacu utama kepada permintaan masa depan,” katanya.

— BERNAMA