Lima Konsep Asas Ekonomi Yang Perlu Kita Tahu

Memahami apa itu ekonomi bukanlah satu kewajipan yang utama, jika hendak dibandingkan dengan memahami bagaimana untuk mengimbangi bajet pendapatan diri sendiri dan keluarga. Namun, tanpa kita sedari ekonomi sebenarnya memberikan kesan yang besar dalam kehidupan seharian kita.

Ini kerana pada asasnya, setiap daripada kita mempunyai pilihan dan kita berupaya untuk membuat pilihan tertentu. Jom kita lihat 5 konsep asas ekonomi yang perlu kita ambil tahu. 

1. Kekurangan (Scarcity)

Kekurangan adalah merupakan salah satu konsep yang paling asas dalam bidang ekonomi. Secara ringkasnya, dunia mempunyai sumber yang terhad untuk memenuhi permintaan yang tidak terhad penduduk dunia.

Sebagai contoh, kita hanya ada produk gandum yang ditanam dan kuantitinya adalah terhad. Sesetengah orang mahu roti, sesetengah orang mahu bijirin dan sebagainya. Namun, berdasarkan pengeluaran gandum yang terhad, produk mana yang dapat dihasilkan dengan banyak?

Bagaimana kita hendak membuat keputusan berapa banyak tepung gandum perlu dihasilkan untuk membuat roti atau bijirin?. Hanya satu jawapan, iaitu sistem pasaran.

2. Penawaran dan Permintaan (Supply & Demand)

Sistem pasaran pula didorong oleh penawaran dan permintaan. Katakan ramai orang inginkan roti, ini bermakna permintaan untuk roti adalah tinggi. Permintaan yang tinggi bermakna kita boleh mengenakan bayaran yang lebih untuk membuat roti.

Jadi kita boleh mendapatkan lebih banyak wang secara purata dengan menukarkan gandum kepada roti, berbanding menukarkan gandum yang sama kepada penghasilan bijirin.

Maka, lebih ramai orang mula membuat roti dan selepas beberapa kitaran pengeluaran, terdapat begitu banyak roti di pasaran sehingga harga roti menjunam. Sementara itu, harga bijirin meningkat kerana penawaran yang sedikit hingga menyebabkan semakin ramai yang mula menukarkan gandum kepada bijirin untuk meraih keuntungan.

Begitulah kitaran pengeluaran yang sering berlaku. Pada asasnya, penawaran dan permintaan membantu menjelaskan mengapa sesuatu produk mampu berubah harga pada tahun lalu berbanding tahun berikutnya.

3. Kos dan Faedah (Costs and Benefits)

Konsep kos dan faedah meliputi skop yang lebih besar dalam ekonomi. Ianya mempunyai kaitan dengan jangkaan dan pilihan yang rasional. Dalam apa jua keadaan, orang ramai cenderung untuk membuat pilihan yang mempunyai lebih manfaat kepada mereka dengan kos yang paling rendah atau secara mudahnya manfaat melebihi kos.

Berbalik kepada roti: Jika permintaan adalah tinggi, kebanyakan pembuat roti akan mengambil lebih banyak pekerja untuk membuat lebih banyak roti dengan syarat harga roti dan jumlah jualan mewajarkan kos tambahan kepada gaji dan bahan yang diperlukan untuk membuat roti dengan lebih banyak.

Begitu juga dengan pengguna, pastinya kita akan pilih untuk membeli roti yang paling sedap pada harga yang lebih murah. Kos dan faedah tidak akan membelenggu fikiran kita sepanjang masa, tetapi kedua-duanya memainkan peranan yang penting semasa kita membuat pilihan.

Adam Smith (The Father of Economics) mendapat banyak ilham dan teori daripada kajian terhadap kos dan faedah, termasuklah perdagangan bebas yang berkembang pada satu masa dahulu ketika kerajaan masih lagi mengawal perdagangan..

4. Semua Memerlukan Insentif (Everything is in the Incentives)

Insentif adalah sebahagian daripada kos dan faedah serta jangkaan rasional. Insentif telah banyak mencorakkan dunia dan kadangkala disalahguna. Jika kita mempunyai tanggungjawab untuk membuat pengawasan dan tiba-tiba keadaan berubah menjadi tidak terkawal sehingga peluang untuk kita mendapatkan insentif yang terbaik hasil daripada pengawasan, akan musnah sama sekali.

Kita teruskan dengan contoh di atas iaitu pembuatan roti. Jika pembuat roti memberikan dua pilihan jenis roti iaitu roti bun dan roti gandum. Permintaan untuk roti bun meningkat dan pembuat roti ingin meningkatkan pengeluaran roti jenis tersebut, maka pembuat roti akan menawarkan bonus (insentif) kepada para pekerja untuk menghasilkan lebih roti bun berbanding roti gandum dalam satu hari.

Apabila insentif adalah sejajar dengan matlamat organisasi, maka manfaat yang diperolehi akan menjadi luar biasa. Beberapa insentif telah terbukti begitu berkesan dan telah menjadi amalan biasa di kebanyakan syarikat. Walaubagaimanapun, pemberian insentif ini boleh menjadi tidak wajar sekiranya matlamat asal tidak dicapai.

5. Meletakkan Semua Bersama-sama (Putting It All Together)

Kekurangan adalah faktor utama dalam pembelajaran ekonomi. Walaupun nampak seperti negatif, namun perkara tersebut adalah salah satu sebab mengapa ekonomi disebut sebagai sains sosial dan penentu kepada pilihan yang kita buat.

Ini kerana pilihan yang kita buat biasanya ditentukan oleh kos dan faedah yang kemudiannya membawa kepada sistem pasaran yang dinamik iaitu melibatkan sistem penawaran dan permintaan.

Daripada segi individu, kekurangan bermakna kita perlu membuat pilihan berdasarkan insentif yang kita perolehi dan mengambil kira kos dan faedah untuk manfaat peribadi. Konsep-konsep ini memberi makna yang luas, bukan sekadar kepada individu tetapi dunia keseluruhannya.

Dunia ini luas dengan pelbagai pilihan dan begitu juga halnya dengan pembelajaran ekonomi. Jika nak belajar lebih lanjut, terdapat pelbagai teori, undang-undang dan konsep yang akan timbul hasil daripada pilihan yang luas dan banyak.

Realitinya, konsep-konsep ekonomi ini bukanlah satu ketetapan dalam kitaran pasaran. Namun, konsep-konsep ini telah terbukti sejak berabad lamanya, mengenai pilihan yang dibuat oleh kebanyakan dari kita. Mengetahui konsep-konsep ini tidak bermakna kita mampu untuk mengubah dunia, namun ia akan membantu menjelaskan banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian kita.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari