Tips Berguna Untuk Anak Muda “Curi Buat Duit”

Jiwa anak muda, mestilah ingin buat macam-macam benda. Nak travel lagi, nak beli kereta, nak beli rumah, nak beli barang-barang branded, dan macam-macam lagi lah.

Apabila memikirkan tentang soal duit, pasti ramai yang mengeluh. Lagi-lagi anak-anak muda yang masih belajar mahupun sudah menamatkan pelajaran masing-masing.

Zaman sekarang ini bukanlah mudah untuk mendapatkan pekerjaan tetap, jadi bagaimana pula nak buat simpanan? Sedangkan nak kumpul duit pun sudah menjadi masalah besar.

Apa agaknya cara atau tips-tips yang terbaik untuk menyimpan dan menguruskan kewangan?

Tips Bagi Yang Masih Belajar

Cuba selitkan sedikit masa untuk membuat “curi buat duit”. Bukan curi duit ya adik-adik, tapi curi buat duit. Masa masih belajar inilah masa yang terbaik untuk mula cari duit dan buat simpanan. Sedikit pun tidak mengapa, kerana sikit-sikit lama-lama jadi bukit! Macam mana nak curi-curi buat duit?

Bagi yang tinggal di asrama, kebanyakannya tidak dibenarkan untuk membuat kerja “part-time”. Jadi, apa kata mulakan dengan menjual makanan ringan secara kecil-kecilan. Lumrah sebagai pelajar ni adalah sentiasa lapar, sentiasa inginkan sesuatu untuk dikunyah. Jadi sudah pasti makanan ringan menjadi pilihan.

Contohnya kekacang, minuman kotak, dan “makanan ruji” bagi pelajar iaitu mee segera! Dapat untung kecil pun jadi lah, asalkan duit tersebut boleh kita gunakan untuk perkara-perkara lain untuk belajar.

Selain daripada itu, anda juga boleh buat bisnes servis, contohnya printing servis atau pun perkhidmatan proofreading. Tampal sahaja iklan di kawasan asrama, pasti akan ada yang membacanya. Pelajar yang tinggal di asrama ini kadangkala malas untuk keluar, jadi bisnes printing pasti akan mendapat sambutan yang baik!

Tetapi, harus minta izin dengan pengurusan asrama dahulu ya, jangan main jual sahaja, main tampal je iklan secara haram. Nanti pendapatan yang diperoleh tidak berkat pula.

Bagi mereka yang tinggal di rumah sewa pula, boleh lah mula cari kerja-kerja sambilan di mana-mana tempat yang tidak jauh dari tempat tinggal anda. Kenapa yang dekat-dekat?

Supaya anda tidak begitu penat untuk ulang-alik dari rumah, kelas dan tempat kerja. Pelajaran itu sangatlah penting, jadi jangan sampai mengabaikan kesihatan semata-mata untuk mencari wang lebih.

Tips Bagi Fresh Grad Yang Sedang Mencari Kerja

Zaman sekarang ni, nak cari kerja bukanlah mudah. Tambahan lagi kebanyakan majikan inginkan mereka yang sudah berpengalaman. Bagaimana kita hendak mendapatkan pekerjaan sedangkan kita yang masih “hijau” ini tidak diberi peluang untuk menimba pengalaman bekerja itu sendiri?

Jadi, daripada penat menunggu kerja yang tidak tentu dapat ke tidak, apa kata anda cipta kerja anda sendiri? Bagaimana? Mulakan dengan menjalankan bisnes!

Semakin ramai anak muda zaman sekarang yang melibatkan diri dengan dunia bisnes online. Jika anda masih baru dalam dunia bisnes, boleh lah mulakan dengan menjadi agent dropship peniaga online lain terlebih dahulu.

Dari situ, anda akan dapat belajar bagaimana cara untuk membuat pemasaran, cara untuk menguruskan bisnes, dan juga ilmu-ilmu perniagaan yang boleh digunakan dalam bisnes yang anda ingin usahakan.

Setelah betul-betul yakin, pasarkan bisnes anda melalui media sosial. Gunakan duit hasil kerja dropship anda sebagai modal untuk perniagaan anda. Jangan lupa buat “homework” mengenai trend terkini bisnes online. Informasi hasil dari homework yang anda lakukan pasti berguna untuk perniagaan  anda.

Berikut merupakan cadangan sifu-sifu bisnes yang boleh anda follow:

  1. Puan Ainon – Pemilik ABS Ainon Holdings
  2. Tuan Shamsuddin Kadir – Pakar Motivasi
  3. Tuan Hussamuddin Yaacob – Pemilik Kumpulan Karangkraf

Nasihat kami adalah…Buat. Buat. Buat. Ramai anak muda ada idea bagus, tetapi tak buat apa-apa. Nak berjaya, kena buat. Banyak bisnes besar, bermula kecil-kecilan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.