Tips Elak Penipuan Kewangan Yang Berleluasa Di Malaysia

Kebelakangan ini, kita sering mendengar berita tentang penipuan kewangan yang menyebabkan kerugian besar kepada rakyat Malaysia, termasuk warga emas yang hilang sehingga jutaan ringgit.

Penipu menggunakan pelbagai taktik licik untuk mencuri wang simpanan tanpa disedari. Dalam edisi kali ini, kami akan berkongsi beberapa tips penting untuk mengelakkan kerugian besar serta cara-cara penipuan yang sering digunakan oleh suspek. Jangan biarkan diri anda menjadi mangsa seterusnya.

Sumber: Kosmo

Tips untuk mengelakkan kerugian besar:

Jangan simpan banyak wang dalam akaun yang mempunyai kemudahan dalam talian, pindahkan wang anda ke akaun yang tiada kemudahan dalam talian dan tinggalkan sedikit sahaja dalam akaun dalam talian untuk perkara seperti pembayaran bil.

Suspek boleh mencuri/mengalihkan wang anda, meninggalkan baki RM1.00 kepada anda. Jadi kasihan.

Bagaimana suspek mengambil simpanan atau pencen anda tanpa anda sedari?

  • Kaedah 1
    • Akaun dalam talian anda tiba-tiba tidak boleh digunakan dan meminta anda memasukkan kata laluan baru. Laman web yang anda lawati untuk memasukkan nombor pin atau kata laluan baru sebenarnya palsu dan milik penipu. Suspek boleh melihat nombor pin atau kata laluan yang anda masukkan. Suspek akan mengeluarkan semua simpanan anda melalui pemindahan dalam talian.

  • Kaedah 2
    • Anda menerima jemputan WhatsApp untuk menghadiri majlis perkahwinan, anda klik pautan (link) palsu yang mengelirukan. Kemudian virus telah memasuki telefon anda. Suspek boleh membaca semua kandungan telefon anda. Termasuk maklumat perbankan dalam nota telefon anda.
  • Kaedah 3
    • Suspek menyamar sebagai polis di telefon anda mengatakan anda terlibat dalam aktiviti haram atau ada bungkusan J&T dengan dadah atas nama anda. Minta anda memindahkan simpanan anda ke akaun lain, jika tidak wang anda akan dirampas oleh polis (AMLA) untuk siasatan. Anda takut dan memindahkan semua simpanan anda ke akaun lain yang diberikan oleh suspek. Anda telah ditipu.
  • Kaedah 4
    • Membuat anda ingin membayar/menyelesaikan dalam satu tuntutan, tetapi sebenarnya pautan atau laman web yang anda lawati adalah milik suspek. Mereka boleh melihat anda memasukkan nombor pin dan kata laluan semasa membuat pembayaran. Wang anda akan dipindahkan keluar semua.

Modus Operandi (MO) Kes Penipuan Lain:

  • Penipuan pekerjaan sambilan
    • Suspek menawarkan kerja sambilan di media sosial dan ditawarkan upah. Tetapi anda diminta membayar wang untuk mendapatkan pakej kerja. Beberapa mangsa mengalami kerugian ratusan ribu dan hanya menerima upah di bawah RM100.
  • Penipuan pelaburan
    • Pelaburan patuh syariah dan lain-lain di Facebook khususnya. Melabur RM5,000 dalam masa 3 jam dan dapat RM50,000. Itu semua penipuan. Ada mangsa kerugian sehingga jutaan ringgit.
  • Penipuan membeli dan menjual barang di media sosial
    • Contoh: Anda melihat iklan kereta Vios 2015 dengan harga RM30K di mana harga pasaran RM50K. Anda telah membayar deposit dan bayaran penuh, tahniah anda hanya mendapat gambar kereta. Suspek akan hilang selepas menerima wang.
  • Penipuan tawaran pinjaman
    • Anda melihat iklan pinjaman di media sosial. Sebelum mendapatkan pinjaman, anda diminta membayar yuran guaman, yuran pemprosesan dokumen, yuran jaminan dan banyak lagi. Ada mangsa yang ingin meminjam RM100K telah ditipu dan telah membayar pendahuluan RM80K.
Sumber: Utusan Borneo
  • Penipuan cinta
    • Berhati-hati, anda bercinta dengan penipu di media sosial. Suspek dari luar negara mahu memberikan anda hadiah emas atau barang berharga. Suatu hari anda menerima panggilan dari Kastam (Penipu) mengatakan bahawa barang anda telah tiba di Kastam Malaysia, anda diminta membayar yuran pemprosesan dan pelbagai perkara.
  • Menyamar sebagai rakan atau saudara
    • Anda menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai rakan anda dan meminta meminjam wang. Kini dengan teknologi AI, suspek boleh meniru 100% suara rakan anda. Selepas pemindahan wang, anda sedar bahawa itu bukan rakan anda.

Jika anda telah ditipu, hubungi 997 NSRC dengan segera, semoga wang anda masih boleh diperoleh semula.

Wang yang telah ditipu biasanya sukar untuk dikembalikan kerana suspek menggunakan akaun penagih dadah atau akaun keldai. Suspek akan cepat memindahkan wang anda. Terdapat juga pemilik akaun yang menjadi mangsa penipuan pinjaman yang tidak wujud. Suspek meminta kad ATM dan nombor pin jika ingin meminjam wang.

Ingatlah agar sentiasa berwaspada dan semoga kita semua dilindungi dari perkara tidak elok.

Kredit artikel: Siaran oleh AMS Empire

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.