Binance adalah exchange / bursa aset digital (DAX) terkemuka yang ditubuhkan pada tahun 2017 di Hong Kong. Binance menawarkan perdagangan kripto lebih daripada 500 kripto dan token, termasuk Bitcoin (BTC), Ether (ETH), Litecoin (LTC) dan tokennya sendiri iaitu Binance Coin (BNB).
Pada tahun 2018, Binance memindahkan ibu pejabat syarikat ke Malta, EU, sebagai tindak balas terhadap peraturan ketat negara China mengenai urusniaga perdagangan kripto.
Dalam masa 4 tahun sahaja sejak ia ditubuhkan oleh Changpeng Zao (CZ), Binance telah berjaya menjadi platform perdagangan kripto terbesar di dunia.
Melihat kepada data pada 27 Julai 2021, Binance mempunyai nilai dagangan sebesar USD 18 bilion (24 jam), jauh meninggalkan platform yang lain.
Kenapa Binance Popular?
* Memang banyak pilihan kripto. Rambang mata dibuatnya.
* Pelbagai ciri menarik seperti ‘staking’ (simpan kripto dalam Wallet bagi tempoh masa tertentu dan dapat ganjaran)
* Bot trading
* Ada kemudahan margin dan berhutang (ehemm, riba alert)
* Pelabur Malaysia boleh depositkan modal menggunakan pelbagai kaedah seperti P2P, kredit kad dan BigPay. (Ramai juga orang Malaysia yang menjadi saudagar USDT di Binance P2P).
* Menawarkan komisen referral.
* Fee jual beli yang lebih rendah. 0.012 % – 0.1%.
Boleh Guna Binance di Malaysia?
Secara rasminya tidak boleh.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) semalam mengumumkan tindakan penguatkuasaan terhadap Binance kerana secara haram mengendalikan Digital Asset Exchange (DAX).
Ini ternyata mengundang rasa tidak puas hati di kalangan pelabur / pedagang kripto.
Keempat-empat entiti Binance (Binance Holdings Limited, Binance Digital Limited, Binance UAB dan Binance Asia Services Pte Ltd.) telah diperintahkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk:
- Menyahupayakan laman web Binance (www.binance.com) dan aplikasi mudah alih di Malaysia dalam tempoh 14 hari bekerja dari 26 Julai 2021;
- Segera menghentikan semua aktiviti media dan pemasaran, termasuk mengedarkan, menerbitkan atau menghantar iklan dan/atau bahan pemasaran lain, sama ada melalui e-mel atau sebagainya, kepada pelabur Malaysia; dan
- Segera menghalang pelabur Malaysia daripada mengakses kumpulan Telegram Binance.
SC menasihatkan pelabur agar berhenti berurusan dan melabur melalui DAX yang tidak sah. Mereka yang kini mempunyai akaun dengan Binance amat digesa agar segera menghentikan dagangan melalui platformnya dan menarik balik semua pelaburan mereka.
Tetapi kami berpendapat tindakan ini akan sedikit sebanyak menyukarkan tetapi tidak akan menghalang pelabur kripto Malaysia.
Pedagang tegar kripto yang kami hubungi mendedahkan yang Binance masih lagi popular di kalangan rakyat Malaysia. Cuma selepas ini jika nak akses ke laman web Binance, pelabur perlu menukar tetapan DNS atau menggunakan Rangkaian Persendirian Maya (VPN).
Cuma jika masih berhasrat untuk kekal dengan Binance, para pelabur perlu memikirkan risiko yang bakal dihadapi sebab dikhuatiri akan berdepan dengan isu-isu customer service berkaitan akaun perdagangan.
“Pelabur yang berurusan dengan entiti atau individu yang tidak berlesen atau tidak sah terdedah kepada pelbagai risiko, termasuk penipuan dan pengubahan wang haram, dan tidak mempunyai akses kepada bantuan perundangan sekiranya berlaku pertikaian. SC mengingatkan para pelabur, agar hanya berurus niaga dengan Pengendali Pasaran yang Diiktiraf yang berdaftar dan diberi kebenaran oleh SC.” – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)
Apa Pilihan Rakyat Malaysia?
Tenang-tenang saja.
Boleh tunggu Binance mendapat kebenaran dan ‘perkenan’ dari SC. Sama seperti bagaimana Binance Singapore yang dibenarkan beroperasi (menunggu kelulusan) oleh kerajaan Singapura. Binance Singapore disokong oleh Vertex Venture Holdings Ltd – anak syarikat Temasek yang dimiliki oleh kerajaan Singapura.
Atau pelabur kripto juga boleh beralih arah kepada 3 platform yang diluluskan oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia iaitu Luno, Tokenize dan SINEGY. Kripto sedia ada dalam Binance (ETH, XRP, BTC) juga boleh dipindah ke Luno.
Kelebihan terbesar platform-platform ini selain daripada mendapat status patuh syariah adalah urusan deposit dan withdraw modal/untung lebih mudah kerana menggunakan kemudahan FPX. Jika platform jammed atau ada isu teknikal, setidaknya duit pelaburan kita masih boleh dibawa keluar.
Baca lagi Resolusi Shariah Berkenaan Aset Digital Oleh Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti.