5 Tips Urus Wang Untuk Elak Pokai Setiap Bulan

Setiap kali dapat gaji hujung bulan, ramai yang akan menghitung hari untuk gaji seterusnya pula. Maklumlah gaji sekejap saja dah nak habis, mesti ramai yang menghadapi masalah sebegini bukan?

Bahaya jika wang tidak diuruskan dengan baik, takut pokai sehingga tak boleh nak bayar hutang dan sebagainya. 

Mari kami kongsikan tips untuk mengurus wang untuk elak pokai setiap bulan.

1. Bezakan Keperluan Dan Kehendak

Usaha untuk kurangkan belanja yang tidak perlu.

Bagi mengelakkan seseorang itu pokai, penting untuk kenalpasti yang mana satu keperluan dan yang mana satu kehendak. Jadi, segala benda yang berkaitan dengan kehendak itu perlulah dikurangkan atau ditangguh.

Jangan benarkan si suami beli rokok dan jangan benarkan si isteri tambah koleksi tupperware.

2. Kawal Penggunaan Kad Kredit Semasa Berbelanja

Kebanyakan daripada kita gagal untuk mengurus hutang kad kredit yang menyebabkan hutang ini semakin membesar setiap bulan. Ianya disebabkan oleh penggunaan kad kredit tanpa kawalan semasa berbelanja.

Kita semua tahu bahawa kad kredit sangat berkesan dalam membantu menyelesaikan masalah dalam masa yang singkat namun penggunaannya secara tanpa kawalan akan menyebabkan masalah yang besar.

3. Kurangkan Makan Di Luar

Usaha untuk kurangkan makan di luar adalah salah satu cara nak elak pokai. Jadi, sediakan makanan dari rumah sebenarnya jauh lebih baik dan bersih.

Selain itu, makan di rumah juga lebih menjimatkan wang berbanding makan di luar. Harga makanan di kedai makan juga agak mahal kerana banyak barang yang telah naik harga.

4. Tambah Pendapatan

Selain daripada itu, kita kena berusaha tambah pendapatan dengan membuat kerja part-time atau berniaga kecil-kecilan. Ada banyak kerja yang boleh dilakukan, asalkan kita rajin dan berusaha bersungguh-sungguh.

Boleh juga berniaga dengan modal kecil. Gunakan kemahiran dan bakat terpendam seperti memasak, menjahit, menulis dan ejen dropship.

5. Tingkatkan Simpanan

Usaha untuk tingkatkan simpanan.

Untuk menjadikan kita lebih bersedia bagi berdepan dengan sebarang kemungkinan, pastikan kita ada simpanan sebanyak 3-6 bulan. Ianya juga dikenali sebagai tabung kecemasan.

Bila dah ada simpanan sebanyak ini, dapat juga kita gunakan duit tersebut untuk berdepan dengan musibah seperti hilang pekerjaan, hilang punca pendapatan dan bermacam-macam lagi.

Kita juga tidak perlu meminjam dengan orang lain, yang boleh menyebabkan kita terjerumus ke dalam lembah pokai yang lebih teruk lagi.

BONUS: Jaga Keberkatan

Ada orang yang walaupun hanya bergaji RM2,500, tetapi dia punya bahagia kalah orang yang bergaji RM10,000. Allah mudahkan urusan dia. Allah lindung dia dari kesusahan.

Macam mana nak dapat macam tu?

Perkara utama yang perlu dijaga adalah keberkatan dalam bekerja. Walaupun bergaji RM2,500, biarlah performance macam orang bergaji RM10,000. Tip top. Buat sehabis baik dan tak mengular.

Jika sudah berumahtangga, jagalah kebajikan isteri dan anak. Gembirakan mereka. Jika masih ada ibu dan ayah, jagalah kebajikan mereka. Insha-Allah segala urusan kita akan dipermudahkan.

Baca juga Tips Pengurusan Kewangan Dengan Gaji RM1,600 Di Kuala Lumpur

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.