Jumlah Wang Yang Diterima Atlet Jika Menang Pingat di Olimpik

Memenangi pingat emas, perak atau gangsa di Olimpik adalah habuan daripada pengorbanan keringat selama bertahun-tahun. Bukan senang nak menang, tetapi bila dah menang memang jadi senang!

339 set pingat akan diberikan di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Tetapi tidak semua negara menawarkan ganjaran kepada atlet mereka. Britain, New Zealand dan Sweden, misalnya, adalah antara negara yang tidak memberikan ganjaran tambahan kepada pemenang pingat.

Jawatankuasa Olimpik Amerika Syarikat hanya memberi ganjaran sebanyak $37,500 (RM158,250) untuk setiap pingat emas, $22,500 (RM94,950) untuk pingat perak dan $15,000 (RM63,300) untuk gangsa.

Wang ganjaran itu tidak dikenakan cukai melainkan atlet melaporkan pendapatan kasar yang melebihi $1 juta (menang banyak pingat).

Oleh kerana atlet Asia, khususnya Asia Tenggara biasanya memenangi pingat yang lebih sedikit, negara-negara di rantau ini cenderung memberikan atlet mereka ganjaran kewangan yang lebih besar.

Berikut adalah negara yang menawarkan ganjaran enam angka (USD) kepada pemenang pingat emas Olimpik mereka.

Singapura

Singapura memberi ganjaran kepada pemenang pingat emasnya hampir 20 kali ganda lebih banyak daripada yang diterima atlet A.S. Pemenang pingat emas pertama negara itu akan memperoleh 1 juta dolar Singapura ($740,000). Pemenang pingat perak akan menerima $369,00 dan $184,000 untuk gangsa.

Namun wang ganjaran tersebut dikenakan cukai dan penerimanya diminta untuk mengembalikan sebahagiannya kepada persatuan sukan nasional mereka untuk pembangunan masa depan.

Taiwan

Ganjaran untuk pingat emas individu: 20 juta dolar Taiwan ($716,000)
menariknya atlet mereka yang menduduki tempat ketujuh atau kelapan tetap akan menerima ganjaran 900,000 dolar Taiwan ($32,000) – hampir sama dengan pemenang pingat emas Amerika.

Indonesia

Ganjaran untuk pingat emas individu: 5 bilion rupiah ($346,000), 2 bilion rupiah untuk pingat perak dan 1 bilion rupiah untuk gangsa.

Bangladesh

Ganjaran untuk pingat emas individu: $300,000. Bangladesh, negara yang tidak pernah memenangi pingat Olimpik, telah berjanji untuk membayar sekitar $300,000 untuk pemenang pingat emas, $150,000 untuk perak dan $100,000 untuk gangsa.

Malaysia

Atlet Malaysia juga bakal menerima durian runtuh yang cukup lumayan. Pemenang pingat emas akan menerima 1 juta ringgit ($236,000), sementara pemenang perak diberikan RM300,000, dan RM100,000 diberikan kepada atlet yang memenangi gangsa.

Insentif daripada Malaysia ini dipanggil sebagai Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang telah wujud sejak 1986. Ia terbahagi kepada Kumpulan A dan Kumpulan B. Kumpulan A adalah untuk acara sukan terbesar seperti Sukan Olimpik (A1), Sukan Komanwel (A2) dan Sukan SEA (A3).

Filipina

Sumber gambar www.forbes.com

Hadiah untuk pingat emas individu: 10 juta peso Filipina ($200,000).
Hidilyn Diaz yang berjaya meraih emas Olimpik pertama Filipina pada hari Isnin lalu, telah mengakhiri kemarau selama 97 tahun.

Tetapi ganjaran kemenangan beliau tidak berhenti di situ. Suruhanjaya sukan negara itu berjanji akan memberi Diaz tambahan 5 juta peso, dan dengan sumbangan dari Presiden Rodrigo Duterte, individu dan syarikat lain, sejumlah 48,5 juta peso Filipina ($970,000), beserta sebuah rumah, unit kondo dan penerbangan tanpa had di dua syarikat penerbangan.

Kalau anak kita suka bersukan, apa kata kita galakkan mereka sejak dari kecil, tetapi perlu bersedia untuk berkorban masa, jiwa dan raga. Manalah tahu mereka boleh jadi sehebat hero-hero negara kita. Paling tidak pelaburan yang telah dibuat tadi hasilnya boleh dapat pencen seumur hidup dan pangkat Datuk!

Sumber : Forbes, Asia.Nikkei

Baca juga 7 Atlet Terkenal Yang Berjaya Menggandakan Pendapatan Melalui Pelaburan

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.