Membentuk Semula Akses Kepada Pasaran Kewangan Dengan Merapatkan Jurang Pelaburan

Malaysia telah mencatat kemajuan yang luar biasa dalam perjalanan ekonominya, namun apabila berbicara tentang kebebasan kewangan, masih terdapat halangan yang ketara. Laporan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendapati bahawa walaupun ramai rakyat Malaysia berminat untuk melabur, namun 65% masih mengakui tidak yakin dengan kemahiran pelaburan mereka dan tidak pasti bagaimana untuk menggunakan alat pelaburan yang rumit1. Salah tanggapan bahawa pelaburan memerlukan modal besar dan kepakaran yang tinggi2 terus mengekang penyertaan ramai pelabur baharu. Cabaran ini bukan sekadar mengehadkan peluang membina kekayaan individu, tetapi turut memperluas jurang antara rakyat Malaysia yang berupaya melabur dengan mereka yang masih terpinggir daripada peluang tersebut.

Di Webull, kami percaya jurang ini bukan sekadar cabaran peribadi, tetapi satu cabaran untuk seluruh negara. Keterangkuman dan literasi kewangan amat penting untuk memastikan semua rakyat Malaysia mendapat akses yang sama terhadap peluang membina kekayaan. Sebagai broker runcit dalam talian pertama di Malaysia yang menawarkan platform bersepadu bagi pelbagai aset yang menggabungkan Sekuriti dan Niaga Hadapan, Webull berusaha untuk merendahkan halangan, mempermudah akses, serta memperkasa rakyat Malaysia dengan alatan dan keyakinan untuk melabur. Justeru, prinsip panduan kami jelas: Melabur Mudah, Kos Rendah dengan Webull.
 

Mendemokrasikan Akses: Memecahkan Mitos “Perlu Modal Besar”

Salah satu mitos paling berleluasa di Malaysia ialah pelaburan memerlukan modal yang besar. Kepercayaan ini sekian lama menghalang pelabur baharu dan mengehadkan penyertaan dalam pasaran yang lebih meluas.

Perkembangan terkini menunjukkan bagaimana teknologi dan model pasaran baharu kini membantu menyingkirkan halangan ini. Sebagai contoh, perdagangan saham pecahan (fractional share trading) oleh Webull kini membolehkan rakyat Malaysia memulakan pelaburan dengan hanya USD1 untuk saham AS, dengan kadar komisen serendah 0.025%, sekali gus menurunkan kos permulaan. Penyertaan dalam kalangan pelabur kali pertama juga menjadi lebih mudah dicapai kerana tiada keperluan pelaburan minimum, tiada yuran platform, dan kos broker yang rendah. Atas sebab ini, Webull meneruskan inisiatif ini bagi saham tersenarai di Bursa Malaysia sehingga Disember 2025, memberikan lebih ramai rakyat Malaysia peluang untuk melabur dengan yakin tanpa beban kos tinggi yang sebelum ini hanya memihak kepada mereka yang bermodal besar, secara langsung memecahkan mitos tersebut dengan menyingkirkan caj yang tidak perlu serta menurunkan kos akses pasaran.

Kebolehan akses juga sama pentingnya. Kini, pelabur boleh melengkapkan proses pembukaan akaun secara digital, dengan kelulusan biasanya diberikan dalam tempoh satu hingga tiga hari bekerja di Webull, jauh berbeza daripada proses sebelum ini yang mengambil masa seminggu dan memerlukan kunjungan fizikal ke cawangan. Perubahan ini yang menggabungkan kemampuan, kemudahan dan kepantasan, membantu rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang untuk mengambil langkah pertama mereka dalam dunia pelaburan.
 

Memperkasa Pelabur melalui Kemudahan, Literasi dan Pendekatan Tempatan

Menurunkan kos hanyalah sebahagian daripada penyelesaiannya. Ramai rakyat Malaysia masih berasa ragu-ragu untuk melabur kerana prosesnya dianggap rumit dan menakutkan. Menutup jurang ini memerlukan tumpuan yang sama terhadap kemudahan dan kebolehan akses. Justeru, platform Webull direka untuk menjadi mesra pengguna, mudah dinavigasi, dan mampu menyokong pelabur baharu serta pedagang berpengalaman.

Literasi kewangan juga bergantung kepada keupayaan individu untuk menggabungkan ilmu teori dan pengalaman praktikal. Ramai pelabur baharu memahami konsep asas tetapi berasa ragu apabila perlu membuat keputusan dalam dunia sebenar. Oleh itu, adalah penting untuk mengimbangi pendidikan dengan pengalaman praktikal. Webull bekerjasama dengan sumber yang dipercayai seperti Reuters, S&P Global, dan Bloomberg untuk menyediakan maklumat pasaran masa nyata untuk analisis, sambil menawarkan akaun perdagangan demo (paper trading) yang membolehkan pengguna berlatih tanpa risiko untuk menguji strategi, membuat kesilapan dan belajar sebelum melabur dengan modal sebenar.

Keseimbangan antara teori dan amalan inilah yang menukar kesedaran kepada keyakinan, dan keyakinan kepada penyertaan aktif. Tanpanya, literasi kewangan hanya kekal sebagai konsep teori, bukan alat pemerkasaan sebenar.

Untuk menjadikan pelaburan benar-benar inklusif, halangan budaya dan bahasa juga perlu ditangani dengan menghormati kepelbagaian nilai masyarakat. Dalam konteks Malaysia, ia bukan sekadar soal terjemahan, namun juga perlu mengakui bahawa penyertaan kewangan turut dibentuk oleh identiti, bahasa dan kepercayaan. Webull mengamalkan pendekatan tempatan sepenuhnya, dengan antara muka dalam Bahasa Malaysia, penapis saham patuh Syariah, serta pilihan perbankan Islam dan konvensional, bagi memastikan para pelabur dapat mengambil bahagian mengikut matlamat kewangan dan prinsip peribadi masing-masing. Pendekatan ini mewujudkan rasa kepercayaan dan kebersamaan, elemen penting yang sering kali sama pentingnya dengan alat pelaburan itu sendiri dalam menggalakkan penyertaan yang lebih meluas.

Kami percaya bahawa penyelarasan dengan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia amat penting bagi membekalkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan dan keyakinan untuk mengambil bahagian secara bertanggungjawab dalam pasaran kewangan. Dengan menggabungkan pendidikan ke dalam aktiviti pelaburan harian melalui alat yang mudah, data, serta ciri-ciri tempatan, kami dapat memastikan literasi dan akses berkembang seiring, menukar kesedaran kepada tindakan, dan keterangkuman kepada pemerkasaan.
 

Keselamatan dan Kepercayaan: Membina Keyakinan terhadap Pasaran

Dalam landskap kewangan Malaysia hari ini, langkah keselamatan asas sahaja tidak lagi mencukupi. Penipuan dan jenayah siber semakin canggih, dengan penjenayah kini mampu memintas log masuk tradisional melalui pemancingan data (phishing), perisian hasad (malware) dan pencurian kelayakan. Dalam persekitaran sebegini, bergantung kepada kata laluan sahaja tidak memadai untuk melindungi pelabur.

Meningkatkan tahap perlindungan memerlukan pendekatan berlapis. Inilah sebabnya Webull menggunakan pengesahan dua faktor (two-factor authentication) dan biometrik, bukan sebagai ciri pilihan, tetapi sebagai langkah perlindungan penting. Langkah ini memastikan setiap log masuk, urus niaga, dan transaksi dilindungi dengan lebih baik daripada akses tanpa kebenaran, sekaligus memperkukuh prinsip bahawa keselamatan mesti menjadi asas kepada penyertaan dalam pasaran kewangan.

Aspek pengawalseliaan juga sama pentingnya. Sebagai platform yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Peserta Dagangan Bursa Malaysia Berhad, Webull beroperasi di bawah piawaian pematuhan tertinggi. Dengan pendedahan yuran yang telus serta tanpa caj tersembunyi, perlindungan ini membantu membina kepercayaan di saat keyakinan pelabur sering terjejas oleh penipuan dan skim yang tidak dikawal.

Justeru, keselamatan bukan sekadar soal teknologi. Ia adalah asas utama perlindungan pelabur, yang memberikan keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa penyertaan dalam pasaran boleh dilakukan dengan selamat, telus dan boleh dipercayai.
 

Pencapaian Strategik: Mentakrif Semula Landskap Pelaburan Malaysia

Tahun 2025 merupakan tahun yang amat bermakna bagi Webull Malaysia apabila kami memenangi kategori “Aplikasi Pelaburan Runcit Terbaik” di PC.com Readers’ Choice Awards 2025 — satu pengiktirafan yang mengukuhkan misi kami untuk menyampaikan pengalaman pelaburan yang mudah, telus dan selamat.

Tahun ini juga menandakan pelancaran Global Futures, yang meletakkan Webull sebagai broker digital pertama di Malaysia yang menggabungkan Sekuriti dan Niaga Hadapan dalam satu platform. Dengan akses kepada komoditi seperti kripto, logam, pertanian, indeks ekuiti dan tenaga, rakyat Malaysia kini boleh mempelbagaikan pelaburan mereka melebihi ekuiti tradisional dalam satu ekosistem yang lancar.

Selari dengan itu, kempen #SamaSamaWebull telah membawa pengalaman pelaburan lebih dekat kepada rakyat Malaysia melalui aktiviti di stesen MRT termasuk TRX, Bukit Bintang dan Pasar Seni. Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami bukan sahaja dalam membina kesedaran, tetapi juga dalam mewujudkan peluang pelaburan yang mudah diakses dan dapat dialami sendiri oleh rakyat Malaysia, sama ada secara dalam talian atau luar talian.
 

Memandang ke Hadapan: Membina Ekosistem Pelaburan yang Inklusif

Visi kami jelas: untuk membentuk semula landskap pelaburan Malaysia dengan merapatkan jurang antara minat dan tindakan. #SamaSamaWebull, kempen kami yang sedang dijalankan, hanyalah salah satu contoh bagaimana kami membawa pengalaman pelaburan lebih dekat kepada rakyat Malaysia, daripada aktiviti di stesen MRT sehinggalah kepada pengalaman langsung menggunakan platform kami.

Namun, ini hanyalah permulaan. Di bawah kepimpinan kami, Webull komited untuk memperluas literasi kewangan, memperkukuh keselamatan, dan memastikan pelaburan menjadi bahagian semula jadi dalam gaya hidup kewangan rakyat Malaysia.

Sebagaimana Malaysia meraikan kemerdekaan dan kemajuannya, sempadan baharu yang perlu diterokai ialah kemerdekaan kewangan, di mana setiap rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, mempunyai akses yang sama rata kepada peluang pelaburan. Dengan menurunkan halangan serta membekalkan rakyat dengan alat dan pengetahuan yang betul, platform seperti Webull membantu membina ekosistem pelaburan yang lebih inklusif dan yakin untuk masa depan negara, menjadikan pelaburan lebih mudah dengan Webull.

Previous ArticleNext Article

Apple Kembali ‘Rampas’ Takhta Syarikat Paling Bernilai Dunia Daripada Nvidia

BENGALURU: Apple mengatasi Nvidia untuk muncul sebagai syarikat paling bernilai di dunia, sekali gus mengubah kedudukan syarikat-syarikat teknologi terbesar apabila pelabur menilai semula prospek kecerdasan buatan (AI).

Apple kini mempunyai nilai pasaran sekitar AS$4.88 trilion selepas harga sahamnya kekal stabil, manakala Nvidia bernilai kira-kira AS$4.86 trilion susulan kejatuhan 3.5 peratus sahamnya.

Perubahan kedudukan itu menunjukkan pelabur kini mula meluaskan tumpuan mereka melangkaui penerima manfaat paling jelas daripada ledakan AI seperti Nvidia, yang telah mendahului senarai syarikat paling bernilai dunia selama hampir setahun.

Apple kembali merampas kedudukan teratas buat kali pertama sejak April tahun lalu.

Ketua Pelaburan BRI Wealth Management, Toni Meadows, berkata Apple sebelum ini dilihat ketinggalan dalam perlumbaan AI kerana tidak berbelanja besar untuk membangunkan model AI, namun sentimen terhadap syarikat itu kini berubah.

“Apple kurang terdedah kepada keperluan perbelanjaan modal yang tinggi dan berada pada kedudukan lebih baik untuk menjana pendapatan daripada AI menerusi perkhidmatan, ekosistem yang kukuh serta peningkatan perkakasan. Penilaian semula ini mencerminkan keyakinan terhadap kemampanan pendapatan syarikat, bukannya potensi AI yang bersifat spekulatif,” katanya.

Bagi sebuah syarikat yang sering dianggap ketinggalan dalam perlumbaan AI, pencapaian ini mencerminkan usaha Apple untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan pemain utama industri, selain berpotensi mempengaruhi bagaimana tempoh akhir kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tim Cook, akan dinilai.

Cook dijangka menyerahkan jawatan CEO kepada veteran perkakasan Apple, John Ternus, pada September ini.

Bulan lalu, Apple melancarkan versi baharu pembantu maya Siri yang telah lama tertangguh, dengan harapan peningkatan itu dapat merapatkan jurang dengan gergasi teknologi lain serta syarikat pemula dalam perlumbaan AI yang semakin sengit.

Sesetengah penganalisis berpendapat Apple sebenarnya memiliki ‘lombong emas’ AI menerusi data peribadi yang tersimpan dalam setiap iPhone.

Data itu berpotensi menjadikan jawapan Siri lebih tepat dan pembantu maya itu lebih berkeupayaan.

Namun, cabarannya ialah data itu dilindungi dalam sistem operasi atas faktor privasi, menyebabkan Apple perlu mencari kaedah untuk memanfaatkan nilainya tanpa menjejaskan perlindungan pengguna.

Nvidia menjadi syarikat pertama di dunia yang melepasi nilai pasaran AS$5 trilion pada Oktober lalu, satu pencapaian bersejarah yang meletakkannya jauh di hadapan pesaing.

Bagaimanapun, kehilangan kedudukan teratas kepada Apple tidak semestinya menandakan perubahan kekal dalam kedudukan relatif kedua-dua syarikat.

Nvidia masih merupakan antara penerima manfaat terbesar daripada peningkatan perbelanjaan berkaitan AI, dengan pemproses grafik keluarannya menjadi tulang belakang kepada kebanyakan aplikasi AI generatif.

Nvidia juga berpotensi merampas semula kedudukan teratas sekiranya sentimen pasaran kembali memihak kepadanya.

Pada masa sama, Apple turut berdepan cabaran apabila syarikat itu menaikkan harga produknya bagi mengimbangi peningkatan kos, satu strategi yang boleh menjejaskan permintaan pengguna.

Naib Presiden Penyelidikan Alpha Segal Marco Advisors, Benjamin Hall, berkata beliau tidak melihat perbezaan ketara antara kedua-dua syarikat.

“Saya menjangka Nvidia akan terus menjadi pemain penting dalam apa sahaja perkembangan yang berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, gelombang keyakinan terhadap AI turut merebak ke segmen lain industri semikonduktor.

Antara penerima manfaat terbesar tahun ini ialah pengeluar cip memori seperti Micron, yang melepasi nilai pasaran AS$1 trilion pada Mei selepas pelabur mengiktiraf kepentingan cip memori dalam infrastruktur AI.

Pengeluar cip dari Korea Selatan, SK Hynix, turut disenaraikan di Nasdaq awal bulan ini, sekali gus menambah satu lagi pesaing dalam usaha menarik perhatian pelabur.Hall berkata kemunculan pemain baharu itu dijangka mengalihkan sebahagian tumpuan pelabur daripada kumpulan saham teknologi gergasi Magnificent Seven kepada lebih banyak syarikat lain.

Namun, kenaikan luar biasa saham syarikat cip mula kehilangan momentum pada Julai apabila pelabur menilai semula kemampanan tema pelaburan AI, menyebabkan indeks Philadelphia SE Semiconductor susut hampir 19 peratus daripada paras tertinggi sepanjang masa.

Walaupun mengalami kejatuhan ketara, prestasi indeks itu setakat tahun ini masih mengatasi prestasi saham Nvidia.

-Reuters