SC Ambil Tindakan Penguatkuasaan Terhadap Huobi Global

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengambil tindakan terhadap Huobi Global Ltd (Huobi) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Leon Li kerana mengendalikan pertukaran aset digital (DAX) di Malaysia tanpa pendaftaran.

Dalam satu kenyataan hari ini, SC berkata ia telah mengarahkan Huobi untuk menghentikan operasinya di negara ini, termasuk menghentikan pengoperasian laman web dan aplikasi mudah alih dalam platform seperti Apple Store, Google Play dan mana-mana platform aplikasi digital lain. 

“Huobi juga telah diarahkan untuk menghentikan pengedaran, penerbitan atau penghantaran sebarang iklan, sama ada dalam e-mel atau di platform media sosial, kepada pelabur Malaysia,” katanya sambil menambah Leon Li sebagai CEO juga telah diperintahkan secara khusus untuk memastikan arahan di atas dilaksanakan.

Keputusan ini dibuat selepas terdapat kebimbangan mengenai pematuhan platform tersebut terhadap keperluan kawal selia tempatan dan dalam usaha melindungi kepentingan pelabur.

“SC memandang serius pelanggaran ini, kerana mengendalikan DAX tanpa didaftarkan dengan SC sebagai Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO) adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 7(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

“SC menggesa pelabur Malaysia yang telah menggunakan Huobi untuk segera menghentikan dagangan melalui platformnya, menarik balik semua pelaburan mereka, dan menutup akaun mereka,” katanya.

Pelabur dinasihatkan untuk melabur dan berurusan dengan RMO yang berdaftar dengan SC kerana RMO berdaftar telah menjalani penelitian kawal selia yang ketat dan dikehendaki mematuhi garis panduan yang ketat supaya pelabur dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.

“Mereka yang melabur dengan entiti atau individu yang tidak berlesen atau tidak berdaftar terdedah kepada risiko seperti penipuan dan mungkin tidak dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia,” katanya.

Ia menambah pelabur harus berhati-hati apabila memilih platform pelaburan dan sentiasa melakukan semakan sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.

“Selain itu, pelabur harus berhati-hati dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kecil, kerana ia mungkin tidak wujud.

“Dengan mengambil langkah berjaga-jaga ini, pelabur boleh melindungi pelaburan mereka dan mengelak daripada menjadi mangsa skim penipuan,” kata SC.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

SC Umum Majlis Penasihat Syariah Baharu

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan barisan Majlis Penasihat Syariah (MPS) baharunya untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2029.

Barisan baharu terdiri daripada ahli berikut:

  1. Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar – Senator, Dewan Negara (Lantikan Baharu)
  2. Profesor Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali – Profesor Kehormat, Institut Perbankan dan Kewangan Islam UIAM (IIiBF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Pelantikan Semula)
  3. Dato’ Dr Ashraf Md Hashim – Perunding Syariah (Kewangan Islam) (Pelantikan Semula)
  4. Sahibus Samahah Profesor Dato’ Dr Asmadi Mohamed Naim – Mufti Pahang (Pelantikan Semula)
  5. Sahibus Samahah Dato’ Setia Dr Haji Anhar Haji Opir – Mufti Selangor (Pelantikan Semula)
  6. Dr Marjan Muhammad – Timbalan Presiden Penyelidikan, Institut ISRA, Universiti INCEIF (Pelantikan Semula)
  7. Encik Burhanuddin Lukman – Bekas Penyelidik, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA) (Pelantikan Semula)

Ditubuhkan pada 16 Mei 1996 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993, MPS merupakan pihak berkuasa untuk menentukan aplikasi prinsip Syariah untuk perniagaan atau transaksi pasaran modal Islam (ICM).

Di samping itu, MPS menyokong pertumbuhan pasaran melalui resolusi dan panduan dasar, di samping mengekalkan integriti Syariah.

MPS terdiri daripada cendekiawan Syariah, ahli akademik dan pengamal pasaran terkemuka dengan kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang Syariah, kewangan Islam, pasaran modal dan undang-undang.

Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata MPS memainkan peranan penting dalam memastikan ICM Malaysia kekal responsif terhadap perkembangan pasaran yang sentiasa berubah, sambil menegakkan prinsip Syariah yang berlandaskan Maqasid alShariah. “Panduan yang diberikan oleh MPS terus menyokong inovasi, kemampanan dan pertumbuhan jangka panjang ekosistem ICM.”

“Komposisi baharu MPS, dengan kepakaran dan pengalaman kolektif ahlinya, berada pada kedudukan yang baik untuk menyediakan panduan yang mantap dan berpandangan jauh mengenai hal ehwal Syariah. Dengan kepimpinan Islam yang dipandu oleh Maqasid al-Syariah sebagai pembeza utama, MPS akan memacu pertumbuhan dan kepimpinan global ICM Malaysia,” katanya.

Bagi pihak SC, Dato’ Faiz merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli MPS yang akan bersara atas sumbangan mereka yang tidak ternilai dan perkhidmatan berdedikasi kepada industri ICM. “Pandangan dan kepimpinan mereka telah menyumbang ke arah memajukan ICM Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.”

Untuk maklumat lanjut mengenai MPS, sila lawati https://www.sc.com.my/development/icm/shariah/members-of-the-shariah-advisorycouncil