Jalinan Kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) Bersama Dengan Media Dan Pemain Industri Perkukuh Pelaksanaan e-invois

Kuala Lumpur, 22 Mei 2023 – Seiring dengan arus revolusi digital yang pesat, perniagaan memerlukan cara yang lebih mudah untuk membuat pertukaran maklumat dan transaksi perdagangan di peringkat domestik mahupun global. Bagi memastikan kecekapan pengurusan pentadbiran percukaian negara seiring dengan perkembangan teknologi semasa, kerajaan melalui pembentangan Bajet 2023 telah memperkenalkan pelaksanaan e-invois sebagai satu mekanisma baharu untuk mencapai hasrat tersebut.

Sehubungan itu, satu sesi libat urus YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom bin Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL bersama hampir 220 orang peserta yang terdiri daripada pengamal media, pempengaruh media (media influencer) dan pemain industri telah diadakan di Hotel Westin, Kuala Lumpur.

Pelaksanaan e-invois ini akan diadakan secara berperingkat mulai akhir tahun 2023 dengan memfokuskan pembangunan sistem dan projek rintis bersama pembayar cukai terpilih serta penggunaannya adalah diwajibkan kepada perniagaan mengikut nilai ambang jualan secara berperingkat bermula pada Jun 2024.


Perincian bagi cadangan pelaksanaan e-invois ini adalah seperti yang berikut:

Sesi ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pengamal media, pempengaruh media dan pemain industri serta mendapatkan maklum balas terus berkenaan strategi-strategi pemasaran yang boleh dilaksanakan bagi membantu HASiL dalam menyebarluas kepentingan e-invois dalam konteks urusan percukaian negara. Tambahan pula, peranan yang dimainkan oleh kumpulan ini sangat penting dan mampu bertindak sebagai duta HASiL dalam menyampaikan maklumat percukaian kepada pembayar cukai yang berkaitan.

YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi dalam ucapannya menyatakan bahawa pelaksanaan e-invois ini bukan sahaja mampu menambah baik kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh pentadbir cukai, malah ia turut memberikan banyak manfaat kepada pembayar cukai dari segi meningkatkan kecekapan operasi perniagaan, memudahkan urusan penyimpanan rekod dan mengurangkan kos pematuhan cukai mereka.

Tambah beliau lagi, pelaksanaan e-invois ini juga dapat mewujudkan transaksi perniagaan yang lebih telus sekali gus membantu kerajaan mengatasi masalah ekonomi bayangan (shadow economy) dalam urus niaga.

Turut sama hadir dalam sesi libat urus ini ialah YBhg. Datuk Dr. Sotimin bin Muhalip, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar), YBrs. Puan Wan Ramiza binti Wan Ghazali, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), YBrs. Encik Hisham bin Rusli, Timbalan Ketua Eksekutif (Pengurusan) serta barisan pengurusan kanan HASiL.

Semoga dengan penganjuran sesi libat urus ini, para pengamal media, pempengaruh media dan pemain industri dapat memainkan peranan yang signifikan dalam memberi pemahaman berkenaan pelaksanaan e-invois kepada pembayar cukai, seterusnya memastikan sistem ini mendapat sokongan yang padu dan dipercayai oleh rakyat.

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI