Bermaz Auto Perkenal Mazda CX-5 Baharu, Berharga Dariapda RM144,469

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) — Bermaz Motor Sdn Bhd memperkenalkan Mazda CX-5 2024 di Malaysia, yang dipertingkatkan dengan gaya, teknologi dan ciri baharu untuk meningkatkan prestasi pemanduan, keselesaan dan keselamatan, sekali gus menjadikannya antara model kenderaan utiliti sukan (SUV) popular Mazda.

Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Bhd Tan Sri Ben Yeoh berkata Mazda CX-5 adalah SUV pemasangan tempatan (CKD) di loji pemasangan Inokom di Kulim, Kedah. 

“Seperti Mazda CX-30 dan Mazda CX-8, Mazda CX-5 baharu turut dipasang di bahagian khas loji berkenaan.

“Mazda Malaysia melaksanakan proses dan langkah kawalan kualiti seperti kenderaan Mazda yang dikeluarkan di Jepun,” katanya kepada Bernama selepas majlis memperkenalkan Mazda CX-5 siri baharu pada Selasa.

CX-5 telah muncul sebagai model Mazda yang laris di peringkat global sejak diperkenalkan pada 2012. Pada 2013, Mazda CX-5 pemasangan tempatan diperkenalkan dan menjadi model utama yang menaikkan jenama Mazda di Malaysia.

Menurut Yeoh, berikutan permintaan domestik Mazda CX-5 yang menggalakkan, syarikat itu memberi tumpuan kepada pasaran tempatan dan memperuntukkan kira-kira 30 peratus daripada jumlah pengeluaran untuk eksport.

Syarikat ini menjual secara konsisten kira-kira 6,000 unit model CX-5 pada setiap tahun, katanya.

“Kami juga mempunyai CX-8, yang turut dieksport ke negara seperti Thailand dan Filipina, dan kami mempunyai CX-30…kami berharap menerusi ketiga-tiga model CKD ini, kami akan dapat mengekalkan prestasi, memastikannya memberi kepuasan kepada pihak berkepentingan kami,” katanya.

Varian baharu Mazda CX-5 telah dipertingkatkan dengan penambahan teknologi, keselesaan pemanduan, ketersambungan yang ditambah baik dan ciri baharu yang standard bagi semua variannya, termasuk cermin pandang belakang luar boleh lipatan automatik, pengecas tanpa wayar Qi, Apple Carplay tanpa wayar, yang boleh diakses menerusi paparan maklumat hibur lapan inci dan pencahayaan dalaman LED sebagai kelengkapan standard.

Reka bentuk baharu itu menambahkan elemen kekuatan seperti SUV kepada CX-5 yang ditambah baik dengan menonjolkan bentuk dan tekstur bahagian luar menerusi pengubahan lengkung permukaan badan dan pantulan cahaya di samping mengekalkan penggunaan garisan kepada minimum.

Bahagian hadapan yang direka bentuk semula sepenuhnya menampilkan elemen tiga dimensi, gril hadapan ditempatkan di atas bamper bawah yang ditambah baik dengan lebih rapi.

Ciri tersendiri pada sayap yang menganjur ke luar daripada gril telah diberikan gaya baharu dari segi bentuk permukaan berbanding garisan.

Model baharu ini tersedia dalam lima varian dengan harga jualan bermula daripada RM144,469.20.

Warna luaran Mazda CX-5 terdiri daripada Jet Black, Snowflake White Pearl, Machine Gray, Deep Crystal Blue, Soul Red Crystal dan tambahan warna baharu, iaitu Polymetal Gray dan Platinum Quartz, sekali gus menyediakan tujuh pilihan warna.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Malaysia Dipilih Sebagai Ibu Pejabat Asia APP Sempena Leapmotor APP Penang Open 2026

PULAU PINANG, MALAYSIA – Persatuan Pemain Pickleball (APP) telah memilih Malaysia sebagai rumah tetap Ibu Pejabat Asia baharu mereka, dan Leapmotor APP Penang Open 2026 menandakan pencapaian utama pertama bagi komitmen tersebut.

Dijadualkan dari 22 hingga 26 Julai 2026 di Pickle By The Sea @ Penang Gurney Drive, kejohanan ini melangkaui pertandingan elit untuk menghadirkan pengalaman hab sosial yang bermutu tinggi bagi pemain dan penonton di semua peringkat. Sama ada peserta baru peringkat Novice mahupun pemain berpengalaman peringkat Pro, semua pengunjung akan menemui keraian premium, zon peminat interaktif dan pengaktifan berasaskan komuniti yang direka untuk memupuk hubungan di dalam dan di luar gelanggang.

Menepati pendekatan gaya hidup moden ini ialah Penaja Utama Leapmotor, jenama permulaan NEV yang paling pesat berkembang di China. Leapmotor diiktiraf atas falsafah berteraskan teknologi dan komitmennya dalam menjadikan mobiliti elektrik pintar yang premium dan bertaraf antarabangsa lebih mudah diakses di seluruh dunia. Perkongsian ini mencerminkan falsafah bersama dalam memperkasakan komuniti untuk membuat “lompatan” ke hadapan menuju masa depan elektrik yang mampan dan mudah dicapai dihidupkan di tapak acara melalui Leapmotor B10.

Leapmotor B10 dibina di atas platform LEAP3.5 dengan teknologi Cell-to-Chassis 2.0+, menawarkan julat berdasarkan penilaian WLTP sehingga 434km, pengecasan pantas dari 30% ke 80% dalam masa kurang daripada 20 minit, serta penarafan keselamatan Euro NCAP 5 bintang. Perkongsian ini menyatukan kedua-dua jenama dalam memperjuangkan gerakan yang dinamik dan aktif selaras dengan semangat komuniti pickleball.

“Stellantis berbesar hati menjadi sebahagian daripada APP Penang Open 2026 melalui jenama elektrik penuh kami, Leapmotor, di mana kami meraikan perkongsian yang dibina atas nilai bersama iaitu inovasi, prestasi dan semangat berfikiran maju. Sebagai jenama NEV berteraskan teknologi, Leapmotor menggabungkan ketangkasan sebuah syarikat permulaan dengan kejuruteraan canggih untuk mendefinisikan semula masa depan mobiliti. Kualiti-kualiti ini mencerminkan semangat pickleball, sukan yang didorong oleh kelajuan, ketepatan dan evolusi berterusan. Dengan bermitra bersama APP Penang Open, kami berharap dapat berinteraksi dengan komuniti yang bersemangat dan berkembang pesat sambil menunjukkan bagaimana mobiliti pintar dan mampan dapat memperkasakan gaya hidup moden.”

[Isaac Yeo, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN]

Komitmen bersama terhadap komuniti ini, dari lantai kejohanan hingga ke jalan hadapan, telah membantu memacu momentum yang luar biasa bagi sukan ini. Berdasarkan kejayaan yang dicapai dalam separuh pertama tahun ini, APP telah secara rasmi mengukuhkan kehadirannya di benua ini dengan pelancaran Jelajah Asia APP dengan kejohanan Penang berperanan sebagai teras utama pertengahan tahun. Keputusan untuk menubuhkan litar penuh berskala besar ini merupakan tindak balas langsung terhadap permintaan dan pertumbuhan yang luar biasa yang disaksikan di seluruh rantau ini. Selepas Penang, jelajah ini akan diteruskan ke China, Chinese Taipei, Bangkok, Ho Chi Minh City dan India sepanjang baki tahun 2026.

Skala pesat Jelajah Asia APP ini dimungkinkan melalui rakan kongsi yang benar-benar komited terhadap pertumbuhan jangka panjang sukan ini. Terdepan dalam kalangan mereka ialah Selkirk, yang komitmennya telah berkembang daripada sekadar menyediakan peralatan bertaraf dunia kepada membina infrastruktur sukan dari bawah. Jenama ini membawa Akademi Selkirk ke Malaysia dan merupakan satu pencapaian yang mencerminkan komitmen jangka panjang yang sedar untuk mengembangkan jejak komunitinya dan memastikan pemain di setiap peringkat mempunyai akses kepada latihan elit, klinik asas dan ekosistem yang menyokong semangat sosial Jelajah APP.

“Kami bersemangat untuk mengembangkan sukan ini di peringkat global, dan membawa Akademi Selkirk ke Malaysia bersama Jelajah Asia APP adalah evolusi semula jadi daripada komitmen itu. Kami berbangga untuk melabur secara langsung dalam pemain, kelab tempatan dan gaya hidup yang menjadikan pickleball unik. Bermitra dengan APP di Penang membolehkan kami mengembangkan jejak komuniti kami dan memperkasakan generasi pemain seterusnya.”

[Mike Barnes, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Selkirk]

Pendaftaran pemain rasmi, jadual acara dan ketersediaan tiket untuk Leapmotor APP Penang Open 2026 kini tersedia dalam talian. Untuk maklumat lanjut, butiran pendaftaran dan kemas kini, sila layari https://www.sportssync.asia/tournament/222 atau ikuti akaun Instagram rasmi @theapp.asia