
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) — Syarikat pengeluar bas, Gemilang International Ltd (GML) berharap kerajaan akan melanjutkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), duti import dan duti eksais sifar kepada kenderaan elektrik (EV) serta pengecas elektrik dan peralatan serta perisian berkaitan dalam Bajet 2023.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Pang Chong Yong berkata ia bagi menyokong industri bas negara dan peralihan industri itu ke arah mobiliti hijau.
“Bagaimanapun, kami tidak menggalakkan cukai dan bebas cukai terhadap bas yang dibina sepenuhnya kerana banyak pembuat badan bas di Malaysia yang berupaya memasang bas elektrik.
“Oleh itu, adalah memadai apabila hanya casis bas elektrik dikenakan cukai dan dikecualikan duti untuk melindungi industri pembuatan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau berharap kerajaan akan memperkenalkan elaun cukai korporat kepada pengusaha bas.
Syarikat turut mencadangkan kerajaan untuk melanjutkan Insentif Teknologi Hijau yang meliputi Elaun Cukai Pelaburan Hijau (Gita) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (Gite), memohon pihak bank untuk menurunkan kadar faedah dan melaksanakan pelan ansuran lebih panjang untuk sewa beli EV.
GML juga menyeru kerajaan menawarkan subsidi kepada bas sekolah yang lebih bersih, senyap dan selamat untuk kanak-kanak.
— BERNAMA