Pengumuman Pelaburan Besar Digital Di Malaysia Dalam Masa Terdekat – Rafizi

PUTRAJAYA, 21 Feb (Bernama) — Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata akan ada pengumuman mengenai pelaburan yang besar berkaitan bidang digital di Malaysia dalam masa terdekat.

“Bukan sahaja pengumuman itu adalah satu berita baik kepada ekonomi negara, tetapi ia perlu disambut dan dijadikan sebagai satu pemangkin untuk kita mempercepatkan segala perancangan yang ada dalam rangka tindakan ekonomi digital negara,” katanya pada perjumpaan bulanan bersama warga kementerian, di sini hari ini.

Rafizi berkata selain itu, kementerian akan menganjurkan hackathon kebangsaan pada bulan depan sebagai sebahagian daripada usaha kementerian itu untuk mengarus perdana inovasi melibatkan sebanyak mungkin penyertaan.

“Ini berikutan sebelum ini, inovasi dilihat sebagai satu bahagian kecil, hanya untuk orang tertentu sahaja. Sedangkan untuk ekonomi kita berkembang maju, kita perlukan satu kumpulan yang boleh menyumbang dalam produk dan perkhidmatan yang berinovasi tinggi, barulah boleh disambut dengan baik oleh segala bantuan dan sistem yang telah kita ada dalam sektor awam dan swasta,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Rafizi berkata kerajaan tidak akan campur tangan dalam siasatan berhubung isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS) bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan memberikan kebebasan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan untuk melakukan siasatan.

“Pihak berkuasa yang bertanggungjawab ada kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat. Biar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Peguam Negara, pendakwa raya dan hakim siasat dengan tangan yang bebas kerana tidak ada campur tangan,” katanya ketika ditanya sama ada siasatan masih perlu diteruskan.

Pada 4 Ogos lepas, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan telah selesai mengadakan sembilan prosiding berhubung isu LCS dengan memanggil beberapa saksi.

Hasil prosiding itu mendapati kontrak projek LCS diberikan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd secara rundingan terus dengan kerajaan membayar RM6.083 bilion, namun tiada satu pun kapal LCS disiapkan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA