Kerajaan Guna PADU Bagi Keperluan Fungsian Dibangunkan Pelbagai Agensi – Rafizi

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) — Kerajaan akan menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi pelbagai keperluan fungsian yang dibangunkan oleh pelbagai agensi dalam usaha menambah baik perancangan program sosioekonomi pada masa akan datang.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata usaha itu juga akan dilakukan khususnya dalam mengoptimumkan sumber, mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan juga sedang meneliti pembentukan keperluan fungsian dan antara keperluan fungsian utama ialah mekanisme penyaluran subsidi bersasar,” katanya sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai ketersediaan kerajaan dari segi data dan mekanisme melaksanakan penyasaran subsidi.

Rafizi berkata penambahbaikan sistem PADU menjamin keselamatan dan dinamik sehingga dapat memenuhi ciri-ciri masa nyata yang tidak perlu dikemaskinikan secara pemutihan dan sebagainya.

“Jika dibandingkan sebelum ini tanpa PADU, apabila sesuatu program bantuan diumumkan oleh kerajaan, permohonan perlu disemak satu persatu melalui pelbagai jabatan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Maka, proses semakan itu sebenarnya panjang,” katanya.

Mengenai inisiatif kerajaan untuk meningkatkan penguasaan ekonomi bumiputera, beliau berkata kerajaan masih lagi meneruskan pemberian geran bagi membantu usahawan bumiputera dan dikelaskan mengikut kumpulan penerima.

“Kerajaan telah memberi petunjuk dasar yang jelas bahawa penyertaan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan perlu diperluas supaya menjadi lebih proaktif dalam mempergiatkan serta mengerakkan agenda permerkasaan ekonomi bumiputera,” katanya. 

Rafizi berkata demikian menjawab soalan Datuk Amzad Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai usaha kerajaan untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan bumiputera khususnya dalam sektor berimpak tinggi.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian