Pembangunan PKNS SQ Hidupkan Semula Pusat Bandar Shah Alam – Amirudin

SHAH ALAM, 30 April (Bernama) — Pembangunan projek PKNS SQ di Seksyen 14, di sini bermula hujung tahun ini mampu merancakkan ekonomi dan ‘menghidupkan semula’ aktiviti di pusat bandar Shah Alam, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkata pembangunan bagi projek meremajakan bandar Shah Alam bernilai RM2 bilion yang dibangunkan oleh PKNS dirangka bagi merancakkan aktiviti dan kegiatan ekonomi terutamanya selepas pukul 9 malam.

Beliau berkata sebagai ibu negeri Selangor, Bandar Raya Shah Alam perlu ‘hidup’ dengan pelbagai aktiviti selepas waktu malam seperti yang boleh disaksikan di beberapa kawasan lain, antaranya di Seksyen 2, 7, 13 dan 16.

“Tujuan pembangunan projek ini di Seksyen 14 adalah untuk kita menghidupkan semula Bandar Raya Shah Alam dan kawasan sekitarnya yang dilihat ‘mati’ selepas 9 malam. 

“Tidak ada pusat bandar mati selepas 9 malam. Sebab itu kita akan hidupkan dan beri nyawa baharu kepada pembangunan dan perancangan kawasan ini melalui projek tersebut,” katanya kepada pemberita pada Majlis Jalinan Aidilfitri PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mahmud Abbas.

Sebelum ini, Mahmud dilaporkan berkata pembangunan bagi projek meremajakan bandar di Shah Alam dijangka dimulakan di kawasan berhadapan stesen transit aliran ringan 3 (LRT 3) Dato Menteri dengan PKNS merancang untuk menambah baik bangunan di sekitar kawasan berkenaan. 

Menurutnya projek itu yang akan dilaksanakan di sekitar PKNS SQ akan melibatkan beberapa plot kawasan di pusat bandar Seksyen 14 antaranya Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall serta beberapa plot berhampiran dengan stesen LRT 3 Dato Menteri.

Terdahulu, Majlis Jalinan Aidilfitri 2024 yang merupakan acara tahunan PKNS bagi meraikan dan menghargai sokongan berterusan daripada rakan-rakan korporat dan pihak berkepentingan dihadiri oleh 3,000 tetamu meliputi rakan strategik seperti perbankan, hartanah, pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan-jabatan kerajaan dan rakan-rakan media.  

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Monee Perkenal SFinancing-i Kepada Semua Pengguna Shopee Dengan Pembiayaan Digital Patuh Syariah

Monee Capital Malaysia Sdn. Bhd. (Monee) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi SFinancing-i, iaitu penyelesaian pembiayaan digital patuh Syariah yang kini dibuka kepada semua pengguna Shopee* di Malaysia. Direka untuk memberikan lebih fleksibiliti kewangan, SFinancing-i membolehkan pengguna mengakses pembiayaan tunai segera dengan mudah terus melalui aplikasi Shopee.

Dengan pembiayaan sehingga RM20,000 dan tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan, SFinancing-i direka untuk membantu memenuhi keperluan kewangan peribadi pengguna melalui pengalaman yang mudah dan lancar secara digital. Pengguna yang diluluskan boleh mengeluarkan dana serta-merta ke akaun bank atau ShopeePay Wallet, tanpa perlu mengemukakan dokumen pendapatan atau membayar sebarang yuran pengaktifan.

Sempena pelancaran ini, pengguna yang mengaktifkan dan membuat permohonan pembiayaan pertama akan menikmati promosi istimewa kadar bulanan 1%* untuk tempoh bayaran balik sehingga 24 bulan.

Dikuasai oleh Monee Capital Malaysia dengan kerjasama Sedania As Salam Capital, serta disahkan oleh Masryef Advisory, SFinancing-i dibangunkan berasaskan prinsip Syariah Komoditi Murabahah (Tawarruq). Ia menawarkan penyelesaian pembiayaan yang telus dan mudah diakses, selaras dengan prinsip kewangan Islam.

Ciri-ciri utama SFinancing-i termasuk:

  • Pembiayaan sehingga RM20,000
  • Tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan
  • Pengeluaran tunai segera ke akaun bank atau ShopeePay Wallet
  • Kadar bulanan 1% untuk permohonan pembiayaan pertama
  • Proses permohonan 100% digital tanpa dokumen pendapatan
  • Tiada yuran pengaktifan

Pengguna yang layak boleh mengaktifkan SFinancing-i terus melalui tab “Saya” di aplikasi Shopee. Perkhidmatan ini terbuka kepada warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berumur 18 tahun ke atas.

Bagi pengguna yang memerlukan jumlah pembiayaan lebih tinggi, Monee turut menawarkan SFinancing-i Xtra, iaitu penyelesaian pembiayaan bertempoh yang menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada pengguna yang layak**, dengan kadar bulanan serendah 0.75%.

Untuk maklumat lanjut, sila klik DI SINI.

*Tertakluk kepada terma dan syarat.

**SFinancing-i Xtra pada masa ini hanya tersedia untuk pengguna terpilih sahaja.