Senarai Anugerah Pembayar Cukai Terbaik 2023

1 Mac 2024, Cyberjaya – Tarikh 1 Mac merupakan tarikh ulang tahun Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) yang dinantikan setiap tahun oleh Hasilian sejak diperbadankan pada tahun 1996. Buat julung kalinya, Sambutan Hari HASiL ke-28 Tahun 2024 diraikan selama tiga (3) hari bermula 29 Februari 2024 sehingga 2 Mac 2024 di Perkarangan Menara HASiL Cyberjaya dan turut dimeriahkan dengan penglibatan masyarakat setempat selari dengan pendekatan Malaysia Madani, mensejahterakan rakyat dan mengupaya komuniti.

Majlis perasmian sambutan Hari HASiL ke-28 telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan di Dewan Bangsawan, Menara HASiL Cyberjaya. Acara gemilang ini turut disiarkan secara langsung menerusi platform youtube HASiL_Malaysia untuk tontonan HASiLian seluruh Malaysia dan umum. Turut hadir, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah bin Azizan, Menteri Kewangan II, YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Kewangan, YBhg. Datuk Johan bin Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq bin Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Timbalan-timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL serta Pengurusan Kanan HASiL.

YAB Perdana Menteri dalam ucapannya menzahirkan ucapan tahniah kepada Hasilian atas pencapaian tertinggi dalam sejarah kutipan cukai langsung berjumlah RM183.34 bilion pada tahun 2023. Kutipan cukai langsung yang memberangsangkan turut menjamin kedudukan kewangan negara kukuh, akan mengupayakan pihak kerajaan untuk menerus dan memperbanyakkan agenda pembangunan negara menerusi pendekatan ‘Rahmah’ demi kesejahteraan rakyat. Beliau turut merakamkan penghargaan khususnya kepada para pembayar cukai yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka pada tahun 2023.

Sementara itu, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq bin Jamaluddin dalam ucapannya memberikan jaminan bahawa HASiL akan terus komited, telus dan adil dalam melaksanakan fungsinya sebagai sebuah jentera kerajaan yang memikul amanah dalam mentadbir cukai langsung negara. Tambahnya lagi, HASiL akan memberikan keutamaan dalam menambahbaik dan memberikan perkhidmatan percukaian yang terbaik selaras dengan tema Tahun 2024 iaitu “Escalate The Passion”. HASiL akan terus ‘agile’ dengan merangka pelbagai strategi percukaian yang berimpak tinggi merangkumi aspek operasi, pengurusan dan pematuhan bagi mendepani cabaran ketidaktentuan dan ketidakstabilan ekonomi semasa dunia.

Pada majlis perasmian sambutan Hari HASiL ke-28 tersebut, sebanyak TIGA (3) transformasi sistem baharu bagi capaian umum dan DUA (2) inisiatif baharu bagi capaian dalaman HASiL telah dilancarkan bagi menambah baik tadbir urus dalam memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Tiga (3) transformasi sistem baharu bagi capaian umum tersebut ialah:

Manakala dua (2) inisiatif baharu bagi capaian dalaman HASiL ialah: 

Hari HASiL ke-28 dimeriahkan lagi dengan Hari Terbuka e-Invois yang merangkumi taklimat, sesi bual bicara dan penerangan kepada pembayar cukai yang menjalankan perniagaan di bawah kategori Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan penyertaan seramai hampir 500 orang peserta. Sesi taklimat telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Rasyidah binti Che Rosli, Pengarah Seksyen Operasi Dasar, HASiL dan YBrs. Encik Saiful Izwan bin Mohd Shazali, Pengarah e-Invois Kebangsaan dan Standardisasi dari Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). 

Program ini bertujuan membantu pemain industri seperti PMKS memahami konsep pelaksanaan e-Invois yang akan dilaksanakan serta manfaat yang diperolehi kepada perniagaan mereka seperti meningkatkan kecekapan penyimpanan rekod ke arah pematuhan cukai yang lebih baik, mengurangkan kos operasi perniagaan sekali gus dapat membantu mengembangkan perniagaan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi. 

Dalam program bual bicara “Coffee Talk” pelaksanaan e-Invois pula, menampilkan YBhg. Datuk Hisham bin Rusli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL (Pengurusan), YBrs. Ts Encik Mahadhir bin Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC, YBrs. Puan Rihanna Haryati binti Mohd Ramli, Pengurus Besar Kanan Jabatan Kumpulan Cukai, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan YBrs. Encik Desmond Law, Ketua Pegawai Eksekutif SQL. 

Sebagai tanda penghargaan HASiL, sebanyak sepuluh (10) pembayar cukai daripada kategori syarikat korporat yang mempamerkan prestasi pematuhan yang tinggi dalam tahun 2023 telah dipilih untuk dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pembayar Cukai Terbaik. Pemilihan penerima anugerah ini telah dibuat berdasarkan kepada kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.

Penerima Anugerah Pembayar Cukai Terbaik bagi tahun 2023 adalah seperti yang berikut: 

  1. Uniqlo (M) Sdn Bhd 
  2. Louis Vuitton (M) Sdn Bhd 
  3. Mitsubishi Motors Malaysia Sdn. Bhd 
  4. Agrobank 
  5. Time Dotcom Berhad 
  6. Celestica Electronics (M) Sdn Bhd 
  7. NXP Malaysia Sdn. Bhd 
  8. Technocom Systems Sdn. Bhd 
  9. Samsung Electronics (M) Sdn. Bhd 
  10. TPM Technopark Sdn. Bhd 

HASiL turut menyampaikan penghargaan kepada Rakan Strategik HASiL (RASH) yang dilantik bagi sesi 2023/2024 atas sumbangan mereka sebagai pempengaruh dalam membantu HASiL menyebar luas maklumat percukaian terkini kepada masyarakat. Antara yang hadir memeriahkan sambutan Hari HASiL kali ini ialah: 

  1. Fedtri Yahya 
  2. Dr Azizul 
  3. ⁠Financial Faiz 
  4. ⁠Marc Sadique 
  5. ⁠Iman Abdul Rahim 
  6. Dr. Malar 
  7. Papayen 
  8. Isa Isarb 
  9. Datuk Dr Izhar 

HASiL turut mengiktiraf lima (5) orang dari Hasilian sebagai penerima Anugerah ‘Most Outstanding Hasilian’ (MOH) bagi tahun 2023 atas kecemerlangan, profesionalisme, integriti dan nilai versatile yang telah ditunjukkan.

Senarai penerima Anugerah ‘Most Outstanding Hasilian’ adalah seperti yang berikut: 

  1. Cik Marzuin binti Ismail, Jabatan Pengurusan Insan 
  2. Encik Redzwan bin Ahmad Amiruddin, Jabatan Khidmat Korporat 
  3. Encik Mohd Shukri Bin Saad, Jabatan Dasar Percukaian 
  4. Puan Nur Aida binti Jamaludin , HASiL Selangor 
  5. Encik Muhamad Firdaus bin Tukiman , HASiL WP Kuala Lumpur 

Pelbagai aktiviti dan program menarik diadakan sepanjang sambutan Hari HASiL Ke-28 menanti pengunjung di tapak karnival sehingga 2 Mac 2024 seperti Festival Makanan Malaysia-Thailand, Gerai Jualan, Kaunter Perkhidmatan Agensi Awam dan Swasta, Kaunter e-Invois, HASiL Run 2024, Netball 3 on 3, Street Soccer 3 on 3, Runbike Race, e-Sport Challenge, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, Sayembara Puisi Kedamaian, Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat dan Podcast Bersama Rakan Strategik HASiL. 

Untuk sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi kami menerusi: 

  1. a) Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (Luar Negara); 
  2. b) HASiL Live Chat; dan 
  3. c) Borang Maklum Balas di Portal Rasmi HASiL di pautan pantas: https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/ 

Dikeluarkan Oleh: 

Bahagian Perhubungan Awam dan Multimedia | Jabatan Khidmat Korporat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 

Previous ArticleNext Article

Penat Cari Duit, Akhirnya “Hangus” Untuk Bayar Cukai?

Pernah tak korang duduk depan laptop, tangan menggigil nak tekan butang submit e-Filing sebab tengok baki cukai kena bayar sampai beribu-ribu? Masa tu, segala rasa ralat dan tak puas hati muncul. Rasa macam “hangus” hasil titik peluh setahun.

Tapi, cuba korang tarik nafas kejap. Bayangkan senario ini:

Di satu sudut hospital kerajaan, ada seorang ayah yang buntu fikir kos bedah jantung anaknya yang mencecah RM50,000. Angka itu berpusing-pusing di kepalanya. Dia hanya seorang kerani biasa. Dia mula berkira-kira untuk tebalkan muka meminjam sana-sini. Air matanya gugur, bukan kerana sedih, tapi kerana rasa gagal sebagai seorang ayah.

Tapi bila dia pergi ke kaunter bayaran, kerani tu sambil tersenyum berkata, “Encik cuma perlu bayar RM1 sahaja.”

Ayah tadi terduduk, menangis syukur.

Tahu tak siapa yang “bayar” baki RM49,999 tu? Itulah duit cukai yang korang rasa “hangus” tadi.

Ada orang kata, “Alah, cukai aku bayar RM500 je setahun. Tak luak pun buat kerajaan. Kerajaan kan ada cukai korporat, cukai jalan, duti eksais, macam-macam lagi! Apa sangatlah duit cukai aku yang sikit ni?”

Memang betul, pendapatan negara datang dari pelbagai sumber. Tapi kena ingat, bajet negara ni ibarat satu puzzle gergasi. Cukai syarikat mungkin besar, tapi sumbangan dari cukai pendapatan individu adalah salah satu kepingan puzzle yang sangat kritikal.

Bila jutaan rakyat Malaysia “tong-tong” (berkongsi) membayar cukai individu, jumlahnya mencecah berbilion ringgit setahun!

Nak ikhlas bayar cukai ni bukan soal faham undang-undang, tapi soal faham kemanusiaan. Bila kita nampak yang duit tu sebenarnya tengah “memberi peluang kedua” kepada orang lain, “menyuap” nasi ke mulut anak yatim dan “menjaga” keselamatan mak ayah kita di kampung, saat itulah rasa berat hati tadi akan bertukar menjadi rasa bangga yang luar biasa.

Macam mana nak capai tahap ikhlas macam tu? Cuba renungkan 4 perkara ni:

1. Cukai Sebagai “Sijil Kejayaan”

Tukar mindset: Cukai bukan beban, tapi ia adalah bukti korang sudah berjaya. Hanya orang yang memiliki pendapatan melebihi paras tertentu sahaja yang layak membayar cukai.

  • Kalau kena bayar cukai RM5,000, bayangkan berapa banyak rezeki (pendapatan) yang Tuhan dah bagi sampai korang sampai ke tahap itu.
  • Ramai orang di luar sana teringin nak ada gaji setinggi itu. Kalau kena bayar banyak, maksudnya Tuhan dah amanahkan rezeki yang sangat besar tahun lepas. Bayar cukai adalah cara “mengalirkan” berkat tu supaya ia dapat dikongsi bersama.

2. Niatkan Sebagai “Sedekah Paksa”

Zakat itu wajib untuk asnaf, tapi cukai pula adalah sumbangan untuk kepentingan “keluarga besar” kita.

  • Bila bayar cukai, niatkan dalam hati: “Ya Allah, aku sedekahkan duit ini untuk kegunaan rakyat Malaysia.”
  • Bayangkan, duit itu digunakan untuk beli ubat bagi pesakit di hospital kerajaan atau beli buku teks untuk anak-anak sekolah. Selagi orang itu sembuh atau budak tu dapat ilmu, pahala jariah korang tetap mengalir walaupun tak kenal pun siapa mereka.

3. Melunaskan “Hutang”

Sedar atau tidak, kita semua “terhutang budi” dengan negara.

  • Kita belajar di sekolah dan universiti yang yurannya disubsidi.
  • Kita guna jalan raya, jambatan dan lampu jalan yang dibina sebelum kita lahir lagi.
  • Bayar cukai adalah cara kita membalas jasa dan memastikan generasi anak-anak kita nanti pun dapat nikmat yang sama. Kita bayar supaya manfaat ini tidak terhenti pada kita sahaja.

4. Membantu Golongan “Tengah” (M40)

Zakat hanya untuk golongan asnaf. Tapi macam mana dengan kawan-kawan kita yang “tak kaya tapi tak miskin” (M40)? Gaji mereka sedikit saja melepasi garisan asnaf, membuatkan mereka tidak layak menerima zakat, namun tidak cukup kaya untuk menanggung badai musibah yang datang secara tiba tiba. Mereka tak layak terima zakat, tapi kalau anak mereka masuk hospital, mereka sangat perlukan subsidi kerajaan.

Bayangkan kawan sepejabat. Anak mereka tiba-tiba jatuh sakit dan perlukan pembedahan segera. Simpanan tak seberapa, insurans pula ada hadnya. Di sinilah duit cukai korang muncul sebagai Superhero yang tidak didendang.

  • Duit cukai koranglah yang memastikan kawan itu hanya perlu membayar RM500 untuk pembedahan yang kos asalnya berjumlah RM50,000.
  • Duit cukai koranglah yang menghalang seorang ayah daripada berhutang keliling pinggang semata-mata nak menyelamatkan nyawa anaknya.

Bila bayar cukai, korang sebenarnya sedang menjaga maruah kawan-kawan dan jiran tetangga. Korang sedang memegang tangan mereka supaya tidak jatuh tersungkur ke lembah kemiskinan. Menolong mereka yang sedang sesak walaupun mereka bukan asnaf adalah satu amal jariah yang sangat agung dan mulia.

“Tapi… Takutlah Duit Kena Sakau Oleh Ahli Politik!”

Ini kerisauan paling besar kan? Kita penat-penat membanting tulang, tiba-tiba keluar berita berlaku ketirisan sana-sini. Rasa macam tak berbaloi nak bayar kalau hujung-hujung masuk poket orang yang tidak sepatutnya.

Tapi, cuba renungkan sudut pandang ni:

Dalam Islam, tanggungjawab kita adalah mematuhi peraturan demi kepentingan awam. Apabila kita membayar dengan niat untuk membantu rakyat, insha-Allah pahala itu sudah milik kita di sisi Tuhan.

Kalau ada tangan-tangan yang menyalahgunakan amanah itu, itu adalah dosa besar mereka di padang mahsyar nanti. Mereka yang akan menjawab, mereka yang akan menanggung azab.

Pahala kita takkan “disakau” oleh dosa mereka.

Jadi, jangan biarkan kemarahan kita kepada segelintir manusia membuatkan kita berhenti menjadi tulang belakang kepada berjuta rakyat lain yang benar-benar memerlukan.

Daripada Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.” (Hadis Riwayat al-Tabarani)

Artikel ini tidak ditaja oleh LHDN atau mana-mana pihak berkuasa. Kami di Majalah Labur cuma nak ajak anda semua ‘win’ dari segi kewangan DAN ketenangan jiwa. Bila kita nampak ke mana perginya setiap sen hasil titik peluh kita, barulah kita rasa berbaloi nak menyumbang. Jom jadi pembayar cukai yang bijak dan berjiwa besar!