QSR Brands Tutup Sementara Lebih 100 Cawangan KFC

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) — QSR Brands (M) Holdings Bhd, pemegang francais restoran KFC di Malaysia, mengambil langkah proaktif menutup sementara lebih 100 daripada 770 cawangan KFC Malaysia sebagai cara menguruskan kos perniagaan yang semakin meningkat dan menumpukan zon perniagaan yang tinggi keterlibatannya sebagai tindak balas terhadap keadaan ekonomi yang kian mencabar.

Dalam kenyataan pada Isnin, QSR Brands menjelaskan pekerja dari restoran yang terjejas diberikan peluang untuk ditempatkan semula di cawangan yang beroperasi sebagai sebahagian strategi taktikal untuk mengoptimumkan sumber di zon perdagangan dengan keterlibatan pelanggan yang lebih tinggi.

Syarikat itu memaklumkan bahawa menyumbang secara positif kepada masyarakat Malaysia, mengekalkan kecintaan jenama terhadap KFC, dan melindungi pekerja adalah keutamaan bagi organisasi.

“Pekerja dari restoran yang terjejas ditawarkan peluang untuk berpindah ke restoran yang lebih sibuk sebagai sebahagian usaha pengoptimuman semula oleh syarikat.

“Sebagai syarikat yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia selama lebih 50 tahun, tumpuan kekal pada menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan di samping menyumbang secara positif kepada ekonomi Malaysia melalui jaminan pekerjaan untuk 18,000 ahli pasukan di Malaysia, dengan 85 peratus adalah Muslim,” jelasnya.

QSR Brands menjelaskan KFC Malaysia terus menjadi antara pembayar cukai terbesar di Malaysia dan berbangga dapat memberi balik kepada masyarakat melalui KFC Add Hope dan Dana Zakat Wakalah.

“Kami percaya rakyat Malaysia akan mengiktiraf asal usul Malaysia kami, keikhlasan serta kerja keras kami dalam menyumbang kepada ekosistem Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian