Syarikat Induk Shopee, Sea Ltd Kembang Pelaburan, Cipta 2,000 Pekerjaan Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) — Sea Ltd, sebuah syarikat internet pengguna global Singapura yang terkemuka dan pemilik platform e-dagang, Shopee, komited untuk mengembangkan pelaburannya di Malaysia, mewujudkan lebih daripada 2,000 pekerjaan dalam proses itu.

Shopee merupakan platform e-dagang serantau terbesar di Asia Tenggara dan Taiwan.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), keputusan ini telah dimaklumkan kepada Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa lawatan rasminya ke ibu pejabat syarikat itu di Singapura hari ini.

Semasa lawatan itu, Sea Ltd memperincikan pelan projek pembesarannya di Malaysia, melibatkan penyelarasan dan penetapan cloud servicesdata hosting and processing, serta gudang logistik untuk perkhidmatan e-dagang.

“Projek cloud services Sea Ltd akan dibangunkan di fasiliti tiga tingkat dilengkapi dengan teknologi hijau di Kulai, Johor, dengan 24 data hall suites, bilik mekanikal dan elektrik, ruang pejabat, serta kemudahan penyimpanan dan tempat letak kereta yang dijangka siap menjelang suku pertama 2024,” kata MITI.

Selain itu, Shopee juga akan mengembangkan operasinya di Malaysia melalui gudang mega baharu yang sedang dibina, merupakan kemudahan logistik berteknologi tinggi dan bersepadu yang dilengkapi dengan kemudahan cloud infrastructure seluas 1.4 juta kaki persegi di Bukit Raja, Klang.

Tengku Zafrul berkata keputusan Sea Ltd untuk mengembangkan strategi pelaburannya di Malaysia jelas mencerminkan keyakinan syarikat terhadap prospek, serta kestabilan operasi, polisi dan dasar kerajaan serta landskap perniagaan di Malaysia.

“Perancangan pelaburan langsung asing (FDI) mereka di dalam pengkomputeran awan dan gudang berteknologi tinggi bakal mencipta lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat kita, yang juga akan membantu dalam meningkatkan kemahiran dan produktiviti, serta daya saing negara dalam jangka panjang.

“Kami juga menjangkakan kesan limpahan yang positif untuk perusahaan kecil dan sederhana, korporat dan masyarakat setempat. Manfaat ini termasuk dari segi penyumberan tempatan, pembangunan vendor dan pengukuhan ekosistem perindustrian tempatan khususnya dalam sektor digital,” katanya.

Tengku Zafrul berkata MITI dan agensi berkaitan akan terus mempertingkatkan ekosistem perniagaan negara, ke arah memastikan Malaysia sentiasa dilihat sebagai sebuah destinasi mesra perniagaan, mesra pelaburan dan mesra perdagangan.

Sementara itu Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sea Ye Gang berkata ini adalah satu perkembangan signifikan bukan sahaja untuk kumpulan, tetapi juga untuk ekosistem digital tempatan.

“Kami berterima kasih di atas sokongan Menteri MITI dan pasukannya dalam pelan pengembangan dan strategi perniagaan kami,” katanya.

Misi pelaburan tiga hari menteri itu ke Singapura adalah sempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura pada 30 Jan.

Semasa misi pelaburan itu, Tengku Zafrul juga akan mengadakan pertemuan perniagaan dengan Kumpulan Yondr, peneraju global pusat data dan INSEACT, sebuah syarikat protein alternatif yang berpangkalan di Singapura, yang menghasilkan protein mampan bagi akuakultur (ternakan udang).

— BERNAMA

TAG: Tengku Zafrul, MITI, Sea Ltd, Shopee, kembang

Previous ArticleNext Article

Malaysia-China Sedang Runding Cadangan Perjanjian Penggalakan Pelaburan Asing Dua Hala – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 29 Feb (Bernama) — Kerajaan Malaysia dan sebuah institusi China yang “penting” sedang dalam perbincangan lanjut mengenai perjanjian penggalakan pelaburan asing dua hala, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata kedua-dua pihak menyasar untuk memeterai perjanjian kerjasama yang menumpukan kepada pengukuhan penggalakan pelaburan bagi merangsang aliran pelaburan, menggalakkan firma China meneroka peluang di Malaysia selain memudahkan syarikat Malaysia berkembang ke China.

Menurutnya perkembangan itu menunjukkan peralihan tumpuan syarikat China ke arah Malaysia berikutan lokasi strategik negara dengan persekitaran perniagaan yang kondusif.

“Perkongsian berpotensi ini disasarkan untuk merangsang pelaburan dalam sektor bernilai tinggi, dipilih dengan teliti untuk mencerminkan keutamaan strategik kedua-dua negara, sekali gus dapat mengukuhkan hubungan ekonomi dan menggalakkan pertumbuhan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis pengumuman prestasi tahunan pelaburan Malaysia dalam pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama bagi 2023, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, sektor bernilai tinggi adalah kunci untuk menyokong penciptaan pekerjaan bernilai tinggi yang dapat membantu Malaysia memulihkan kumpulan kelas pertengahan yang terkesan teruk semasa pandemik.

Menurutnya, lima industri teratas yang mencipta jumlah pekerjaan Pengurusan, Teknikal dan Penyeliaan (MTS) tertinggi ialah elektrik dan elektronik (E&E), mesin dan peralatan, mineral bukan logam, logam fabrikasi dan bahan kimia yang mencatatkan 71 peratus atau 21,583 pekerjaan daripada jumlah keseluruhan.

Pada 2023, lebih 30,000 pekerjaan diwujudkan dalam kategori MTS, yang mana 91.7 peratus daripadanya adalah rakyat Malaysia.

“Industri E&E Malaysia dijangka menjadi kuasa besar berikutan peningkatan permintaan domestik dan serantau, didorong oleh pertumbuhan industri seperti kenderaan elektrik (EV), tenaga boleh baharu, aeroangkasa dan ekonomi digital.

“Semua ini secara kolektif akan meningkatkan daya saing eksport Malaysia, sambil menyediakan pekerjaan mahir dengan bayaran tinggi untuk rakyat kita,” katanya.

— BERNAMA