Syarikat Telekomunikasi Komited Jayakan Pakej 5G Rahmah Dan Insentif Pascabayar Rahmah Penjawat Awam

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) — Syarikat telekomunikasi (telco) di Malaysia tampil menyatakan komitmen mereka untuk menjayakan Pakej 5G RAHMAH dan Insentif Pascabayar RAHMAH Penjawat Awam yang dilancarkan kerajaan hari ini. 

Syarikat telco yang terlibat dalam inisiatif tersebut ialah CelcomDigi Bhd, Maxis BHd, TM (Unifi Mobile), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), dan YTL Communications Sdn Bhd (Yes).  

Pakej dan insentif tersebut merupakan satu inisiatif kerajaan bersama syarikat telco dan beberapa syarikat peranti telekomunikasi sebagai usaha kerjasama untuk memastikan rakyat boleh menikmati manfaat 5G, akses internet berkualiti pada harga berpatutan, dan seterusnya merapatkan jurang digital.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata syarikat penyedia perkhidmatan itu bertekad untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membawa akses digital yang berkualiti serta manfaat kepada rakyat Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng dalam kenyataan yang sama berkata Maxis komited menyokong agenda kerajaan untuk memastikan akses yang saksama kepada internet dan komunikasi dalam era digital ini. 

“Kami berbesar hati untuk memainkan peranan kami dengan menawarkan pakej ini untuk rakyat Malaysia,” katanya. 

Turut menyuarakan pendapat yang sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md. Deris yang mengalu-alukan usaha kerajaan untuk memperluas penawaran mudah alih dan internet berkualiti kepada lebih ramai rakyat Malaysia yang memerlukan akses pada harga mampu milik.

Terdahulu, hari ini, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil melancarkan Pakej 5G RAHMAH — pakej telefon pintar 5G dengan harga peranti serendah RM240.00 berserta pelan data dari 60GB pada harga RM60.00 sebulan, tersedia untuk langganan seawal 31 Ogos 2023.

Bagi golongan B40, sejumlah 100,000 pelanggan terawal akan menikmati Pakej 5G RAHMAH dengan harga peranti serendah RM120.00.  

Turut dilancarkan ialah Insentif Pascabayar RAHMAH Penjawat Awam yang disasarkan kepada semua penjawat awam Malaysia, menawarkan rebat RM10 sebulan dengan langganan boleh dilakukan mulai 16 September 2023.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile Wong Heang Tuck berkata syarikat tersebut berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif ketersambungan RAHMAH kerajaan kerana berpandangan bahawa semua rakyat Malaysia harus mempunyai akses kepada ketersambungan yang berkualiti pada harga yang berpatutan. 

“U Mobile komited dalam usaha mengurangkan jurang digital melalui pengalaman ultra pantas 5G serta produk yang terbaik dalam kelasnya,” katanya.  

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications Wing K Lee turut menyatakan sokongan terhadap usaha murni kerajaan itu. 

“Pihak kami telah menyediakan pakej RM35 untuk 100GB dengan Peranti 5G, yang lebih murah berbanding harga maksimum, agar semua warga Malaysia dapat menikmati perkhidmatan 5G dengan pelbagai peranti pilihan,” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.