Tesla Mula Hantar Model Y Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) — Tesla telah memulakan penghantaran Model Y,  kenderaan utiliti sukan elektriknya (SUV) di Malaysia.

Syarikat itu berkata model itu didatangkan dalam tiga varian iaitu Model Y (pacuan roda belakang), Model Y Long Range (dwimotor pacuan semua roda) dan Model Y Performance (dwimotor pacuan semua roda).

Harga bermula dari RM200,700 untuk Model Y, RM247,700 untuk Model Y Long Range dan RM289,700 bagi Model Y Performance. 

“Model Y didatangkan dengan bumbung semua kaca, autopilot, ciri keselamatan aktif termasuk sistem penapisan udara zarah berkecekapan tinggi (HEPA). Orang ramai kini boleh merasai Model Y semua elektrik di Pusat Pengalaman Tesla Cyberjaya,” kata pembuat kereta elektrik itu dalam satu kenyataan.

Tesla berhasrat untuk mengembangkan lagi jualan, perkhidmatan selepas jualan dan sokongan pengecasannya di negara ini untuk menyediakan pengalaman pemilikan Tesla yang mudah serta lancar.

Setakat hari ini, Tesla telah membuka dan mengendalikan enam stesen pengecasan super serta lapan stesen pengecasan destinasi di Malaysia, menawarkan sejumlah 30 pengecas super dan 37 pengecasan destinasi di bandar-bandar utama di negara ini.

Tesla berkata ia akan terus membina lebih banyak infrastruktur pengecasan dan memperluaskan liputan pengecasan di Malaysia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Monee Perkenal SFinancing-i Kepada Semua Pengguna Shopee Dengan Pembiayaan Digital Patuh Syariah

Monee Capital Malaysia Sdn. Bhd. (Monee) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi SFinancing-i, iaitu penyelesaian pembiayaan digital patuh Syariah yang kini dibuka kepada semua pengguna Shopee* di Malaysia. Direka untuk memberikan lebih fleksibiliti kewangan, SFinancing-i membolehkan pengguna mengakses pembiayaan tunai segera dengan mudah terus melalui aplikasi Shopee.

Dengan pembiayaan sehingga RM20,000 dan tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan, SFinancing-i direka untuk membantu memenuhi keperluan kewangan peribadi pengguna melalui pengalaman yang mudah dan lancar secara digital. Pengguna yang diluluskan boleh mengeluarkan dana serta-merta ke akaun bank atau ShopeePay Wallet, tanpa perlu mengemukakan dokumen pendapatan atau membayar sebarang yuran pengaktifan.

Sempena pelancaran ini, pengguna yang mengaktifkan dan membuat permohonan pembiayaan pertama akan menikmati promosi istimewa kadar bulanan 1%* untuk tempoh bayaran balik sehingga 24 bulan.

Dikuasai oleh Monee Capital Malaysia dengan kerjasama Sedania As Salam Capital, serta disahkan oleh Masryef Advisory, SFinancing-i dibangunkan berasaskan prinsip Syariah Komoditi Murabahah (Tawarruq). Ia menawarkan penyelesaian pembiayaan yang telus dan mudah diakses, selaras dengan prinsip kewangan Islam.

Ciri-ciri utama SFinancing-i termasuk:

  • Pembiayaan sehingga RM20,000
  • Tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan
  • Pengeluaran tunai segera ke akaun bank atau ShopeePay Wallet
  • Kadar bulanan 1% untuk permohonan pembiayaan pertama
  • Proses permohonan 100% digital tanpa dokumen pendapatan
  • Tiada yuran pengaktifan

Pengguna yang layak boleh mengaktifkan SFinancing-i terus melalui tab “Saya” di aplikasi Shopee. Perkhidmatan ini terbuka kepada warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berumur 18 tahun ke atas.

Bagi pengguna yang memerlukan jumlah pembiayaan lebih tinggi, Monee turut menawarkan SFinancing-i Xtra, iaitu penyelesaian pembiayaan bertempoh yang menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada pengguna yang layak**, dengan kadar bulanan serendah 0.75%.

Untuk maklumat lanjut, sila klik DI SINI.

*Tertakluk kepada terma dan syarat.

**SFinancing-i Xtra pada masa ini hanya tersedia untuk pengguna terpilih sahaja.