
SHAH ALAM, 23 Mac (Bernama) — Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Samsung Malaysia Electronics hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk memberi peluang kepada pembeli rumah perbadanan itu mendapatkan produk peralatan rumah jenama Samsung dengan harga diskaun.
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata MoU tersebut akan memberikan manfaat kepada pembeli yang ingin rumah baharu mereka dilengkapi keperluan moden dan berkualiti menggunakan jenama yang boleh dipercayai.
Beliau berkata kerjasama itu akan dimulakan menerusi projek rumah teres dua tingkat, Puteri Ariana di Kota Puteri, dekat sini yang dijangka dilancarkan pada Mei depan.
“Bagi projek ini, kita akan cuba skim perintis yang akan menawarkan pembelian rumah dengan beberapa pakej khas, contohnya pakej A dilengkapi dengan alat penyaman udara dan komputer, manakala pakej B mempunyai alat penyaman udara dan televisyen.
“Perkara ini tidak termaktub dalam harga rumah, tetapi berbentuk pilihan untuk pelanggan kami,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian MoU berkenaan di sini hari ini yang ditandatangani oleh Mahmud mewakili PKNS, manakala Samsung Malaysia diwakili Presidennya Denny Kim.
“Selain itu, kita (PKNS) juga akan menggunakan khidmat Samsung untuk menghasilkan bangunan pintar terhadap projek-projek akan datang seperti kondominium dan pusat beli-belah,” katanya.
— BERNAMA