Tol Secara Terbuka Jambatan P. Pinang Dan BKE Menjelang September

GEORGE TOWN, 23 Mac (Bernama) — PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sedang membuat persiapan bagi mengadakan ujian pembayaran tol secara terbuka menggunakan kad debit dan kredit di Jambatan Pulau Pinang dan Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE), dekat sini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam merealisasikan matlamat itu menjelang September ini.

“PLUS menyambut baik kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berhubung bayaran tol secara terbuka mengguna kad debit atau kredit di beberapa lebuh raya termasuk Jambatan Pulau Pinang itu.

“Kami sedang giat membuat persiapan untuk mengadakan ujian pembayaran tol secara terbuka menggunakan kad debit dan kad kredit di lorong sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), selain e-Wallet Touch ‘n Go di Jambatan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada masa yang sama di BKE, persediaan sedang dibuat bagi menguji sistem pembayaran terbuka menggunakan kad kredit atau debit di Plaza Tol Kubang Semang.

Pelaksanaan pembayaran terbuka menggunakan kad debit atau kredit itu dijangka memberikan lebih pilihan kepada pengguna lebuh raya apabila dilaksanakan kelak.

Katanya, PLUS sentiasa bersedia meneroka dan menguji kaedah-kaedah pembayaran tol yang lebih mudah dan memberi keselesaan kepada pengguna lebuh raya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi cadangan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka di Lebuhraya Utara-Selatan, minggu depan.

Alexander turut memaklumkan beberapa lebuh raya akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka selewat-lewatnya September ini untuk membolehkan pengguna membayar tol menggunakan kad debit dan kredit.

Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (DUKE), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Perodua Meterai Perjanjian Dengan MyDigital ID Bagi Peroleh Akses Pengesahan pengguna

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) — Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan My Digital ID Sdn Bhd (MyDigital ID) bagi mendapatkan akses pengesahan pengguna seiring usaha syarikat kenderaan kompak itu ke arah transaksi tanpa tunai.

MyDigital ID merupakan inisiatif Identiti Digital Nasional yang selamat dan dipercayai selain dibangunkan untuk membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan akses yang selamat serta lancar bagi perkhidmatan digital kerajaan dan swasta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata proses pengesahan yang dijalankan merupakan titik permulaan yang selamat bagi memastikan semua pengguna dilindungi oleh pakar keselamatan siber di negara ini.

“Kerjasama ini merupakan yang pertama seumpamanya bagi industri automotif di negara ini dan memandangkan MyDigital ID bertindak sebagai pengawal akses atau ‘gatekeeper’ bagi pengesahan transaksi di negara ini.

“Ia membolehkan kami mempelbagaikan lagi perkhidmatan kepada para pelanggan kami khususnya serta kepada semua rakyat Malaysia secara amnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata syarikat juga menyokong seruan kerajaan ke arah komuniti tanpa tunai di samping memanfaatkan ciri keselamatan siber kukuh yang disediakan oleh MyDigital ID.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MyDigital ID, Mohd Azuddin Parman berkata kerjasama strategik dengan Perodua menunjukkan kepentingan peranan identiti digital bagi memacu pembaharuan digital di dalam industri automotif.

“Kuncinya iaitu memastikan pengesahan identiti digital yang dipercayai di samping menjadikan interaksi digital lebih selamat dan mudah. Ia memperkasakan industri seperti automotif untuk menawarkan pengalaman selamat dan mesra pengguna kepada setiap pelanggan,” katanya.

— BERNAMA