Alternatif Fixed Deposit: Kenali Produk Dana Pasaran Wang Patuh Syariah (Money Market Fund)

Penafian : Artikel ini diterbitkan untuk tujuan maklumat dan pendidikan sahaja. Ia bukan merupakan tawaran untuk membeli atau menjual mana-mana produk kewangan atau sekuriti. Sebarang dana atau produk yang dirujuk adalah tertakluk kepada terma dan syarat penyedia masing-masing. Maklumat yang dikongsikan tidak bertujuan sebagai nasihat pelaburan, saranan, atau ramalan prestasi masa hadapan. Pembaca dinasihatkan untuk membuat penilaian sendiri, membaca dokumen rasmi berkaitan (seperti prospektus dan helaian pendedahan produk), serta mempertimbangkan objektif pelaburan, tahap risiko, dan keadaan kewangan masing-masing sebelum membuat sebarang keputusan. MajalahLabur tidak bertanggungjawab terhadap sebarang keputusan pelaburan yang dibuat berdasarkan maklumat dalam artikel ini. Iklan ini tidak disemak oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Ramai orang Malaysia telah biasa dengan produk Deposit Simpanan Tetap / Fixed Deposit (FD). Masuk duit, peram 3/6/12 bulan, kemudian dapat pulangan dengan kadar tetap. Senang faham dan rasa selamat.

Tapi bila dunia kewangan semakin digital, ramai mula tanya:

“Kalau aku ada duit menganggur 1–3 bulan, ada tak alternatif lain selain FD? Nak tunggu dividen ASB kena tunggu setahun”

Jawapannya: YA, ada beberapa alternatif seperti produk dana pasaran wang atau money market fund yang ditawarkan melalui e-wallet dan platform pelaburan digital yang dikawal selia oleh Suruhanjya Sekuriti Malaysia.

Apa Itu Dana Pasaran Wang / Money Market Fund?

Secara ringkasnya:

  • Dana unit amanah yang melabur dalam instrumen jangka pendek, contohnya instrumen pasaran wang Islamik. Contohnya Bank A memperoleh tunai jangka pendek melalui transaksi jual beli berasaskan akad Syariah dengan bank lain, bagi tempoh yang singkat seperti overnight, 7 hari atau 1 bulan.
  • Fokus utama: kecairan + kestabilan. Sebab tu pulangan instrumen ini tak tinggi, tetapi stabil.

    ❌ Tak masuk pasaran saham
    ❌ Tak masuk pasaran kripto
  • Diuruskan oleh syarikat pengurusan aset berlesen dan diawasi oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Dana Pasaran Wang vs Fixed Deposit

Persamaan (secara umum)

  • Kedua-duanya biasanya sesuai untuk profil risiko rendah
  • Sesuai untuk simpanan jangka pendek / sederhana
  • Pulangan dia masuk steady hari-hari, sesuai untuk emergency fund. Bukan instrumen “nak cepat kaya”

Perbezaan

AspekDana Pasaran WangFixed Deposit (FD)
JenisProduk pelaburan (unit amanah / dana pasaran wang)Produk deposit bank
Regulator utamaSuruhanjaya Sekuriti (SC)Bank Negara Malaysia
Jaminan modalTiada jaminan penuh; risiko rendahBiasanya dilindungi PIDM (hingga had tertentu)
Lock-inLazimnya tiada lock-in, boleh masuk/keluar bila-bila masaAda tempoh (3, 6, 12 bulan)
PulanganBoleh berubah (bergantung prestasi dana & kadar semasa)Kadar tetap sepanjang tempoh
PengeluaranPengeluaran T+0 / T+1 / T+2 bergantung kepada produkKeluar awal → biasanya rugi sebab ada penalti
Cara aksesMelalui aplikasi / platform digital, minimum rendahMelalui bank fizikal / online bank

Apa Maksud “6.0% p.a. Selama 90 Hari”?

Dalam iklan mereka, anda mungkin nampak ayat seperti “6.0% p.a. selama 90 hari”.

Perlu difahami bahawa ini bukan bermaksud anda akan dapat 6% dalam masa 90 hari.

p.a. bermaksud per annum iaitu kadar setahun.

Promosi ini hanya berjalan selama 90 hari (lebih kurang 3 bulan), jadi pulangan akan dikira secara prorata, ikut tempoh sebenar.

Contoh Kiraan (Supaya Lebih Jelas)

Contoh 1: Simpan RM10,000

  • Kadar tahunan: 6.0% setahun
  • Pulangan setahun (jika penuh 12 bulan):
    6% × RM10,000 = RM600

Tapi anda hanya sertai 90 hari:

  • 90 hari ÷ 365 hari ≈ 0.2466
  • RM600 × 0.2466 ≈ RM148

Jadi anggaran pulangan untuk 90 hari: ± RM148

Contoh 2: Simpan RM50,000

  • Pulangan setahun pada 6%:
    6% × RM50,000 = RM3,000
  • Untuk 90 hari:
    RM3,000 × 0.2466 ≈ RM740

Ringkasnya:

  • 6.0% p.a. = kadar setahun
  • 90 hari = hanya sebahagian daripada setahun
  • Pulangan sebenar untuk 90 hari ≈ 1.4% – 1.5%, bukan 6%

Penjelasan ini penting supaya pembaca tidak tersalah faham dan boleh menilai promosi dengan lebih realistik.

Risiko Yang Pembaca Perlu Faham

Walaupun dikategorikan sebagai berisiko rendah, ia masih produk pelaburan. Antara perkara yang perlu difahami:

  • Tidak dilindungi PIDM – kalau banding dengan akaun simpanan/FD.
  • Nilai unit dana boleh naik dan turun sedikit (walaupun biasanya stabil bagi dana pasaran wang).
  • Kadar pulangan masa lalu bukan jaminan pulangan masa hadapan.
  • Promosi “booster” (contoh kadar lebih tinggi untuk 90 hari) memang nampak menarik tetapi ianya adalah sementara dan tertakluk kepada syarat.

Alternatif Fixed Deposit Ini Sesuai Untuk Siapa?

Sesuai untuk:

  • mereka yang ada modal dan perlukan tempat ‘parking’ duit 1–3 bulan
  • usahawan / SME owner yang ada duit rolling
  • mereka yang dah biasa dengan konsep risiko rendah tetapi faham produk bukan “guaranteed”

Kurang sesuai untuk:

  • mereka yang hanya selesa dengan simpanan dijamin PIDM
  • mereka yang tak mahu sebarang turun naik walaupun kecil
  • mereka yang tak ada masa / minat untuk faham produk terlebih dahulu

Contoh Produk Dana Pasaran Wang di Malaysia

1. GO+ (oleh Touch ’n Go eWallet)

  • Dana asas: Dana pasaran wang yang diuruskan oleh Principal Asset Management Berhad.
  • Produk ini membolehkan pengguna eWallet meletakkan baki tunai ke dalam dana pasaran wang bagi tujuan kecairan dan pulangan jangka pendek.

Baca juga Kad Visa Touch ‘n Go: Berbaloikah Guna?

2. Versa Cash-i

  • Dana asas: Dana yang diuruskan oleh AHAM Capital (dahulunya dikenali sebagai Affin Hwang Asset Management).
  • Promosi terkini: Sebagai contoh, kempen Welcome Quest boleh memberikan pulangan sehingga 4.0% p.a. untuk beberapa instrumen simpanan tertentu apabila syarat minimum deposit dipenuhi. *Terhad kepada 20,000 pengguna terawal sahaja.

Suka fleksibiliti dan kos rendah → emas digital mungkin praktikal.

Versa kini juga menawarkan Versa Gold – pilihan simpanan emas digital yang patuh Syariah.
Tiada spread (beza harga beli & jual) kerana emas tersebut tidak boleh ditebus dalam bentuk fizikal. Nilai simpanan hanya dipegang secara digital, tetapi masih disandarkan kepada harga emas.

Versa Asia Sdn. Bhd. (201901041105) dilesenkan dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melalui kerjasama dengan pengurus dana berlesen. Ini bermaksud operasi dan pematuhan mereka tertakluk kepada rangka kerja kawal selia yang ditetapkan.

Cara mendaftar akaun sangat mudah, hanya muat turun aplikasi Versa:

App Store: https://apps.apple.com/my/app/versa-asia
Google Play: https://play.google.com/store/apps/details?id=asia.versa.cms

Jangan lupa masukkan kod AYJRPR4V untuk terima RM10 percuma! Bila dah deposit pertama kali bernilai RM100, nanti dapat RM10 dalam bentuk unit secara percuma. Kod di atas adalah pautan rujukan (referral). MajalahLabur mungkin menerima manfaat apabila pembaca mendaftar menggunakan kod tersebut. Terima kasih!

3. Moneybull (oleh Webull Malaysia)

  • Dana asas: Melibatkan dana pasaran wang patuh Syariah yang diuruskan oleh AHAM Capital.
  • Promosi terkini: sehingga 6.0% p.a. untuk 90 hari atas baki tunai layak sehingga RM200,000 per pengguna. Selepas tempoh promosi tamat, kadar asas dana (contohnya sekitar ~3.4% p.a.) adalah yang sebenarnya diberikan oleh dana pasaran wang itu sendiri.

Baca lagi : Nak Buka Akaun Saham Online Dengan Webull? Dapat Antara Caj Terendah Di Pasaran

Webull Malaysia kini telah menawarkan pilihan deposit ke akaun Islamik untuk kemudahan pengguna Muslim di Malaysia. Sebelum ini, semua deposit akan diletakkan dalam bank JP Morgan Malaysia. Dengan pilihan perbankan Islam, deposit pengguna akan diletakkan dalam HSBC Amanah. Promosi terkini: Depositkan RM1,000 dan kekalkan selama 60 hari dan dapat saham NVIDIA percuma bernilai RM200!

MajalahLabur mungkin menerima manfaat apabila pembaca mendaftar menggunakan pautan tersebut. Terima kasih!


Dalam dunia kewangan hari ini, tiada satu instrumen yang sesuai untuk semua situasi. Setiap pilihan sama ada ASB, fixed deposit, akaun simpanan atau produk money management fund mempunyai peranan tersendiri bergantung kepada tempoh, keperluan kecairan dan tahap keselesaan risiko masing-masing.

Bagi duit yang hanya ‘park’ untuk tempoh singkat seperti 1 hingga 3 bulan, memahami alternatif yang wujud boleh membantu kita mengurus tunai dengan lebih strategik tanpa perlu mengikat dana terlalu lama. Apa yang penting, jangan hanya melihat kadar pulangan semata-mata, tetapi fahami juga struktur produk, risiko, serta terma yang terlibat.

Akhirnya, keputusan kewangan yang baik bukan tentang ikut trend, tetapi tentang membuat pilihan yang paling sesuai dengan keperluan diri sendiri.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Macam Mana Nak Elak Rugi Dalam Pelaburan Emas?

Emas sering dianggap sebagai aset paling selamat. Hakikatnya, ramai tetap rugi dalam emas bukan sebab emas itu bermasalah, tetapi sebab cara orang melabur emas yang salah.

Dari sudut fakta sejarah, harga emas tidak sentiasa berada dalam trend menaik. Sebagai contoh, selepas memuncak sekitar tahun 1980, harga emas dunia memasuki fasa mendatar (sideways) yang panjang hampir dua dekad, sebelum kembali menunjukkan kenaikan ketara pada awal tahun 2000-an. Begitu juga dalam tempoh 2011 hingga sekitar 2018, harga emas bergerak dalam julat yang agak terhad, tanpa kenaikan signifikan walaupun berdepan pelbagai isu ekonomi global. Fakta ini membuktikan bahawa emas boleh melalui tempoh di mana pulangannya sangat terhad dan pelabur yang masuk tanpa perspektif jangka panjang mudah rasa tertekan serta terlepas peluang lain.

Hakikatnya, harga emas bergerak ikut permintaan. Bila ramai orang beli, harga naik. Bila minat berkurang, harga boleh jadi perlahan atau sideway. Baca lagi Siapa Sebenarnya ‘Dalang’ Yang Tentukan Harga Emas Dunia?

Di bawah ini ialah perkara asas yang wajib difahami kalau tak nak menyesal di kemudian hari.

1. Faham Fungsi Sebenar Emas

Emas bukan aset untuk menjana pendapatan. Ia tidak beri dividen, tidak hasilkan cashflow dan tidak berkembang sendiri.

Peranan utama emas:

  • Lindung nilai kekayaan (wealth protection)
  • Pelindung inflasi
  • Simpan nilai jangka panjang

Kalau masuk emas dengan niat nak cepat kaya, risiko utnuk kecewa adalah sangat tinggi.

2. Jangan Beli Emas Ikut Emosi Pasaran

Harga emas lazimnya akan meningkat apabila keadaan ekonomi global berada dalam fasa tidak menentu, kadar inflasi semakin tinggi, nilai mata wang mula melemah dan pelabur berada dalam keadaan panik atau takut kehilangan nilai kekayaan mereka. Dalam situasi begini, emas sering dilihat sebagai “tempat berlindung”, menyebabkan permintaan meningkat secara mendadak dan harga melonjak dalam tempoh singkat.

Kesilapan yang kerap berlaku ialah pelabur membeli emas ketika harga sudah berada pada paras tinggi, semata-mata kerana terpengaruh dengan sentimen pasaran atau janji ejen bahawa harga akan terus naik. Ada juga yang bertindak ‘all-in’, menggunakan sebahagian besar simpanan hanya kerana takut ketinggalan peluang, sedangkan mereka tidak bersedia menghadapi kemungkinan harga mendatar atau menurun dalam tempoh tertentu.

Pendekatan yang lebih selamat ialah membeli emas secara berperingkat dan berdisiplin, tanpa bergantung kepada emosi atau khabar angin pasaran. Fokus sebenar pelaburan emas sepatutnya bersifat jangka panjang, sebagai pelindung nilai kekayaan, bukannya alat spekulasi jangka pendek. Dengan mengelakkan sikap mengejar hype dan membuat keputusan secara rasional, risiko membeli emas pada harga yang tidak munasabah dapat dikurangkan dengan ketara.

3. Jangan Jadikan Barang Kemas Sebagai Fokus

Barang kemas secara umumnya bukan pilihan yang sesuai untuk tujuan pelaburan, walaupun ia diperbuat daripada emas. Ini kerana harga barang kemas bukan hanya bergantung kepada nilai emas semasa, tetapi turut merangkumi kos upah pembuatan, reka bentuk dan jenama, yang tidak akan diambil kira sepenuhnya apabila barang tersebut dijual semula.

Antara kelemahan utama barang kemas ialah upah yang tinggi, di samping jurang harga beli dan jual (spread) yang besar. Apabila dijual semula, kebanyakan pembeli emas hanya menilai kandungan emas tulen berdasarkan berat dan ketulenan, menyebabkan nilai barang kemas tersebut menyusut dengan ketara, walaupun harga emas dunia tidak banyak berubah.

Sekiranya tujuan utama adalah untuk menyimpan nilai kekayaan, pilihan yang lebih praktikal ialah emas pelaburan seperti jongkong atau wafer emas. Dalam pelaburan emas, fokus seharusnya diberikan kepada berat dan ketulenan, bukannya reka bentuk atau estetika. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kos tersembunyi, malah memudahkan proses jual beli semula pada masa hadapan.

4. Jangan Letak Semua Simpanan Dalam Emas

Emas merupakan aset defensif yang berfungsi melindungi nilai kekayaan, terutamanya ketika inflasi atau ketidaktentuan ekonomi. Namun begitu, emas bukan satu-satunya aset yang mampu membina kekayaan dalam jangka panjang. Meletakkan semua simpanan dalam emas akan menghadkan potensi pertumbuhan kerana emas tidak menghasilkan pendapatan atau pulangan berkala.

Portfolio kewangan yang lebih sihat biasanya terdiri daripada gabungan beberapa jenis aset. Emas berperanan sebagai pelindung nilai, manakala aset produktif seperti saham, perniagaan dan hartanah berfungsi untuk menjana pertumbuhan dan aliran pendapatan. Pada masa yang sama, pegangan tunai juga penting bagi memastikan kecairan mencukupi untuk keperluan kecemasan atau peluang pelaburan yang tidak dijangka.

Pendekatan kepelbagaian ini membantu mengurangkan kebergantungan kepada satu aset sahaja dan membolehkan risiko diagihkan dengan lebih seimbang. Dalam dunia pelaburan, kepelbagaian bukan sekadar pilihan, tetapi satu bentuk pengurusan risiko yang berdisiplin.

Akhirnya, emas sepatutnya menjadi penyimpan nilai yang tenang, bukan sumber tekanan atau penyesalan. Bila diletakkan pada tempat yang betul, emas tidak menjadikan seseorang kaya dengan pantas tetapi membantu memastikan kekayaan yang telah dibina tidak mudah terhakis.

Kalau nak panduan lengkap tentang pilihan platform pelaburan emas di Malaysia termasuk yang boleh mula dengan modal kecil, pilihan digital, serta ciri-ciri penting yang patut dibandingkan, cuba baca artikel seterusnya: 7 Platform Yang Ada Untuk Kita Melabur Emas