Apa Itu Pelaburan Mikro?

“Sikit-sikit lama-lama jadi bukit”.

Peribahasa Melayu ini sudah sinonim bagi rakyat Malaysia, malah menjadi prinsip kehidupan yang diamalkan sejak di bangku persekolahan. Mengikut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka, kesabaran dalam mengerjakan sesuatu perkara itu lambat laun akan membuahkan hasil.

Begitu juga dalam aspek kewangan, di mana amalan menabung yang diterapkan dari kecil, walaupun bermula dengan nilai serendah RM0.50 sen, pasti akan bertambah mengikut sasaran. Teknologi moden hari ini memudahkan lagi semua golongan usia dalam menyemai sikap terpuji ini.

Nilai tabungan bukan sahaja selamat disimpan, bahkan boleh digandakan mengikut prestasi aset portfolio. Konsep ini menjadi kenyataan apabila syarikat Raiz Malaysia menyediakan platform pelaburan mikro yang pertama di Malaysia. 

Bagaimana Pelaburan Mikro Berfungsi?

Pelaburan mikro membuka peluang kepada pengguna untuk menggandakan kewangan mereka dengan nilai yang rendah. Menariknya, pelaburan mikro tidak mengenakan sebarang caj pembrokeran atau caj transaksi. Sebaliknya, pengguna akan dicaj dengan yuran nominal.

Platform pelaburan ini membantu pengguna berpendapatan rendah, kurang pengetahuan mengenai pelaburan dan aktif berbelanja untuk menyimpan demi masa depan. Individu yang berdaftar dengan platform ini perlu menghubungkan kad debit dengan akaun pelaburan mikro untuk menikmati pelaburan secara automatik.

Kebiasaannya platform ini akan membundarkan nilai wang yang telah dibelanja dan akan dilabur setelah cukup amaun minimum iaitu sebanyak RM5. Sebagai contoh, Kumar membeli nasi lemak berjumlah RM3.50 dengan menggunakan kad debit.

Kemudian, platform tersebut akan membundarkan kepada RM4 dan melaburkan baki perbezaan (RM4-RM3.50) ke akaun pelaburan. Dengan ciri pembundaran, Kumar dan pengguna lain dapat berbelanja sambil menyimpan dengan tenang.

Kesemua dana pelaburan akan dilaburkan ke syarikat pengurusan unit amanah yang bereputasi tinggi. Selain ciri tersebut, platform pelaburan mikro turut memperkenalkan ciri pelaburan sekaligus dan auto – labur yang membolehkan pengguna melabur sebanyak yang dinginkan. 

Kelebihan Pelaburan Mikro

1. Memupuk Sikap Menabung

Tidak seperti platform pelaburan yang lain, pelaburan mikro membenarkan individu melabur dengan jumlah yang rendah dan tidak mempunyai syarat yang membebankan. 

2. Risiko Rendah

Bukan sahaja mempunyai bayaran pendaftaran yang rendah, pengguna juga boleh menarik nafas lega kerana pelaburan mikro kurang berisiko. Namun, pengguna perlu faham bahawa tiada pelaburan sifar risiko termasuklah pelaburan mikro. la masih dipengaruhi dengan keadaan semasa serta turn naik harga pasaran.

Perbezaannya, pelaburan mikro menghadkan risiko yang dihadapi pengguna disebabkan saiz pelaburan yang kecil.

3. Fleksibiliti

Antara kelebihan yang ditawarkan oleh platform pelaburan mikro adalah fleksibiliti. Apabila pengguna telah menyalurkan sejumlah wang dan menerima pulangan, pengguna boleh melaburkan wang dengan jumlah yang lebih besar.

Bukan itu sahaja, sesetengah platform membolehkan penggunanya mengubah portfolio mengikut kehendak risiko yang bersesuaian.

Kelemahan dan Cadangan

1. Pulangan Yang Rendah

Pelaburan mikro disasarkan kepada mereka yang kekurangan dana untuk melabur dengan cara yang lebih tradisional. Kelemahan pelaburan mikro ialah pelabur yang berpendapatan tinggi dan pengalaman melabur mungkin tidak berpuas hati dengan pulangan.

Selain itu, ia tidak menghasilkan pulangan yang besar, Dave Ramsey seorang pakar kewangan peribadi berkata, “Pelaburan mikro menghasilkan hasil mikro.” Ia mungkin cukup untuuk anda, tetapi jika anda cuba menabung untuk persaraan atau bayaran pendahuluan hartanah, strategi ini tidak akan memberi manfaat kepada anda.

Individu yang melabur mikro boleh menganggarkan dengan selamat bahawa mereka akan menjana paling banyak beberapa ratus RM setahun, bergantung pada jumlah yang mereka sumbangkan. Jadi, ia boleh menjadi cara mudah untuk memulakan dana kecemasan yang kecil, tetapi tidak dapat mengembangkan kekayaan.

2. Aliran Modal Tidak Mengikut Kehendak Pengguna

Ini hampir merupakan hasil sampingan langsung daripada ‘robo-advisor’. Pada asasnya, algoritma ini sudah disediakan untuk pengguna dan ia mungkin tidak memberikan pengguna pilihan dan kelebihan mengapa syarikat tersebut dipilih.

Sebagai contoh, anda adalah seseorang yang ingin memastikan wang tunai anda tidak dilabur di syarikat yang anda boikot atas sebab politik, peribadi atau anda adalah seseorang yang hanya mahu pelaburan anda disalurkan kepada syarikat yang mesra alam sekitar, melayan pekerja secara adil atau melabur dalam usaha keamanan global, anda mungkin mengalami kesukaran berbuat demikian.

Seperti mana-mana pelaburan, pelaburan mikro mempunyai risiko. Pasaran kewangan berubah setiap hari dan tiada jaminan anda akan memperoleh pulangan yang positif, justeru itu kepentingan untuk melabur selaras dengan matlamat dan toleransi risiko anda.

Ia juga disasarkan kepada pengguna yang cekap dari segi teknologi kerana kebanyakan akaun yang disediakan, pusat bantuan dan proses aduan adalah secara digital.  Oleh kerana pelaburan mikro menggalakkan pelaburan kecil, ia boleh mengambil tempoh masa yang agak lama untuk membina rizab kekayaan yang besar, justeru ia berkemungkinan lebih sesuai untuk pelabur yang lebih muda.

Sebelum membuat sebarang keputusan kewangan, sebagai pelabur amat dicadangkan berbincang dengan pakar kewangan untuk memastikan ia selaras dengan matlamat, keperluan dan objektif anda.

Platform pelaburan mikro dalam talian ini merupakan cara pelaburan yang sangat mudah dilakukan pada era kini. Ianya direka untuk pelabur mikro dan pelabur pemula dengan menawarkan kos permulaan yang rendah dan caj bayaran yang minimum.

Pelaburan mikro sesuai untuk mereka yang ingin mula melabur, tetapi tidak mampu untuk mengambil risiko yang tinggi serta syarat kemasukan yang minimum memudahkan pengguna merasai pelaburan pada kos yang minimum.

Ironinya, pengenalan platform pelaburan mikro memberi alternatif baru yang efektif kepada semua golongan untuk membuat tabungan melalui perbelanjaan harian malah membuka peluang mempelajari ilmu pelaburan seperti pengurusan risiko dan pengurusan portfolio kewangan dengan lebih baik.

Penulis boleh dihubungi di:

Mohd Nor Hamdan Bin Norazman ([email protected])
Muhammad Najmuddin Aqil Bin Karim ([email protected]
Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali ([email protected])
Fakulti Ekonomi dan Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

FCPO: Mendatar Di Bawah Garisan SMA 50 Hari

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO menurun MYR2 untuk ditutup pada paras MYR4,535 selepas tekanan jualan muncul berhampiran garisan SMA 50 hari. Pada Jumaat, komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,547. Ia kemudiannya berayun antara MYR4,570 dan MYR4,518 sebelum menutup dagangan pada paras MYR4,535. Pergerakan harga ini mengesahkan bahawa garisan SMA 50 hari terus menjadi paras rintangan overhed.

Selagi komoditi ini berada di bawah garisan purata bergerak jangka sederhana ini, mereka yang menantikan penurunan harga akan mempunyai kelebihan teknikal. Sementara itu, paras rintangan kukuh dijangka berada pada paras MYR4,700. Dalam keadaan pasaran menurun, paras rintangan kukuh dan akan menghalang kenaikan harga komoditi ini. Kami akan terus berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO menembusi paras ambang MYR4,700 tersebut.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan terdekat sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840