Bursa Malaysia Sebagai Bursa Pelbagai Aset Bakal Jana Pelabur Baru Dalam Pasaran Modal

Bursa memperkukuh ketumpuan terhadap pelanggan dengan produk dan perkhidmatan pelaburan terus-ke-pasaran seperti Dinar Emas Bursa, Portal Pelanggan MyBURSA dan platform BURSA REACH, selain memperkenalkan logo jenama yang diperbaharui, melambangkan pendekatan ke hadapan sebagai bursa pelbagai aset

Kuala Lumpur, 16 Januari 2024 – Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia” atau “Bursa”) hari ini mengumumkan hasrat atau strateginya untuk merancakkan pasaran modal dengan menyediakan akses lebih meluas bagi menggalakkan penyertaan pelabur menerusi rangkaian pelbagai aset pelaburan baru. Ini sebahagian daripada usaha Bursa untuk memenuhi keperluan pelanggan serta meningkatkan kecairan pasaran, seterusnya menyokong pertumbuhan ekonomi selanjutnya.

Komitmen ini disokong dengan pelancaran satu produk serta beberapa platform baru – aplikasi baru untuk pelaburan emas (“Dinar Emas Bursa”); Portal Pelanggan baru (“MyBURSA”); dan platform baru untuk menghubungkan pelabur secara langsung dengan wakil peniaga1 (“BURSA REACH”). Kesemua inisiatif tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, bersama Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift, dengan kehadiran pihak berkepentingan pasaran modal, pemimpin korporat, dan rakan kongsi industri, serta kakitangan Bursa Malaysia.

Dalam majlis yang sama, Bursa Malaysia turut memperkenalkan logo yang diperbaharui yang melambangkan transformasinya sebagai sebuah bursa pelbagai aset. Logo baru itu menampilkan reka bentuk kontemporari, dengan simbol progresif ‘B’ dan ‘M’ untuk Bursa Malaysia. Logo tersebut mengekalkan warna biru dan merah, yang diolah daripada bendera negara Malaysia sebagai tanda mandatnya sebagai bursa negara. Biru melambangkan etika, tadbir urus dan prinsip yang membentuk asas Bursa, manakala warna merah terang menggambarkan keberanian dan mementingkan pelanggan dengan semangat inovatif untuk pertumbuhan.

1 Wakil peniaga termasuk peniaga bergaji dan remisier bertauliah.

Datuk Muhamad Umar Swift berkata, “Logo baru Bursa Malaysia menandakan komitmen berterusan yang dimainkan oleh Bursa sebagai pemangkin pertumbuhan dan kemakmuran Malaysia. Terutamanya, persimpangan antara ‘B’ dan ‘M’ dalam logo baru ini menandakan penciptaan nilai yang akan terus dibawa oleh Bursa ke pasaran modal, ekonomi dan masyarakat, dalam misi kami untuk mencipta peluang dan mengembangkan nilai.”

Menerusi pembentangannya yang menggariskan penambahan kelas aset terkini yang ditawarkan oleh Bursa dan pelancaran platform penyelesaian pelanggan barunya, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, “Di Bursa, kami percaya bahawa bersaing sahaja tidak mencukupi, kita harus melangkah ke atas. Kepelbagaian aset akan juga menjana pelanggan baru untuk pasaran modal. Bursa mengubah cara kami mengenali pelanggan dengan mendengar dan membina hubungan yang lebih bermakna dengan mereka.”

Aset pelaburan baru dan penyelesaian pelaburan Dinar Emas Bursa, platform dagangan emas patuh Syariah, menyediakan para pelabur dengan kemudahan digital untuk melabur emas melalui aplikasi mudah alih. Platform ini terbuka untuk warga Malaysia dan mereka yang menetap di Malaysia yang memenuhi kriteria kelayakan, memberi mereka peluang pelaburan emas yang dipercayai dan terjamin. Selaras dengan tujuan menjadikan pelaburan lebih mudah diakses, Dinar Emas Bursa menawarkan waktu dagangan lanjutan sehingga 11.50 malam, tujuh hari seminggu, dengan nilai permulaan pelaburan serendah RM10. Pelabur juga akan mempunyai pilihan untuk memindahkan hakmilik emas kepada orang tersayang, dan menebus setiap 4.25gram emas yang dimiliki kepada syiling fizikal yang direka khas dan dihantar kepada pelabur.

“Kami menafikan tanggapan bahawa pelaburan adalah sukar dan mahal, dan pelaburan hanya untuk kumpulan berpendapatan tertentu. Pelaburan adalah untuk sesiapa sahaja tanpa mengira berapa nilai modal permulaan mereka, untuk berkembang dari semasa ke semasa,” tambah Datuk Umar.
Aplikasi Dinar Emas Bursa tersedia untuk dimuat turun melalui Apple App Store (https://apps.apple.com/us/app/bursa-gold-dinar/id6471462061) dan Google Play Store2 (https://play.google.com/store/apps/details?id=com.bursamalaysia.BGD):

2 Aplikasi BGD di Google Store akan tersedia tidak lama lagi

Portal Pelanggan MyBURSA ialah portal web baru yang direka untuk memenuhi keperluan pelanggan dan menawarkan mereka pengalaman individu dalam perjalanan pelaburan mereka. Pada peringkat awal, portal ini menyediakan alat pelaburan yang akan mempermudahkan keputusan pelaburan, di samping memberi akses kepada laporan penyelidikan dan kandungan terpilih yang lain. MyBURSA seterusnya akan berkembang untuk menampilkan kemudahan baru untuk semua segmen pelanggan Bursa Malaysia. MyBURSA boleh diakses di my.bursamalaysia.com.

BURSA REACH pula merupakan platform pemprofilan pertama di Malaysia khusus untuk menghubungkan wakil peniaga (“DR”) dengan para pelabur. Melalui platform ini, DR boleh mempamerkan kemahiran dan portfolio masing-masing. Dari situ, para pelabur boleh memilih dan berinteraksi dengan DR secara langsung untuk menyokong keperluan pelaburan mereka. Platform REACH kini dibuka untuk proses suai tugas (onboarding) DR, dan akan dapat diakses oleh pelabur runcit pada peringkat seterusnya.

Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, “Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak berkepentingan kami – pelbagai Kementerian, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, peserta pasaran, rakan kongsi industri, dan semua pihak yang terlibat dalam usaha kami untuk memajukan pasaran modal Malaysia, dan dalam usaha mencapai misi kami.”

“Kami berharap segala usaha kami pada hari ini dan seterusnya bukan saja akan menyumbang kepada peningkatan kecairan dan kedalaman pasaran, tetapi juga akan menggalakan keterangkuman kewangan dan penjanaan kekayaan, sekaligus mendorong pertumbuhan ekonomi. Kami komited untuk berkhidmat untuk lebih ramai pelanggan menerusi pelbagai kaedah dalam mengendalikan Bursa pelbagai aset yang kompetitif,” tambah Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Sebagai sebahagian daripada misi memperluaskan penawaran pasaran modal dan menyediakan lebih banyak peluang akses, Bursa Malaysia telah melancarkan operasi pasaran karbonnya, Bursa Carbon Exchange (“BCX”), tahun lepas dengan perdagangan kredit karbon, dan kini sedang dalam proses untuk menambah Sijil Tenaga Boleh Baru (“RECs”) menjelang Q3 2024. Platform pengumpulan dana hutang, BR Capital, yang merupakan usaha sama dengan RAM Holdings Berhad, juga telah memulakan operasi pada Disember 2023.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Ini Pengaruh Selat Hormuz Kepada Pasaran Minyak Dunia

KUALA LUMPUR: Ketegangan keselamatan maritim di Selat Hormuz susulan konflik ketenteraan Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran yang kian meruncing, meletakkan laluan air strategik itu di bawah pengawasan ketat antarabangsa.

Tindakan Iran menyekat selat itu sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan AS-Israel ke atas wilayahnya disokong Pemimpin Tertinggi, Mojtaba Khamenei, yang dalam mesej awam pertamanya pada 12 Mac, berikrar untuk menyekat Selat Hormuz sebagai ‘kelebihan ke atas AS dan Israel’.

Sekatan, berserta serangan ke atas kapal komersial sejak konflik bermula, telah menimbulkan kebimbangan terhadap akibat gangguan berpanjangan ke atas bekalan minyak dan gas global.

Laluan penting bekalan minyak dunia

Selat Hormuz, yang dikenali sebagai koridor tenaga terpenting di dunia, terletak di antara Iran dan Oman, menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman dan Laut Arab.

Kira-kira 167 kilometer panjang dan hanya 33 kilometer lebar pada titik paling sempit serta kedalaman 200 meter, selat itu berfungsi sebagai satu-satunya laluan laut bagi pengeluar Teluk mengeksport minyak dan gas dalam jumlah besar ke pasaran antarabangsa.

Kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia melintasi selat itu sekali gus menggariskan kepentingan strategiknya sebagai laluan paling penting di dunia untuk keterjaminan tenaga global.

Menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA), pada 2024, kira-kira 20 juta tong minyak sehari (bpd) transit melalui selat itu dengan anggaran 84 peratus daripada minyak mentah dan kondensat serta 83 peratus daripada LNG yang diangkut ke pasaran Asia.

China merupakan penerima terbesar dengan 5.4 juta bpd dan merangkumi destinasi utama lain seperti India, Jepun dan Korea Selatan, membentuk kira-kira 69 peratus daripada jumlah penghantaran.

Sebagai perbandingan, hanya 0.5 juta bpd minyak mentah dan kondensat yang melalui Selat Hormuz diangkut ke AS pada 2024.

Susulan kepentingannya, gangguan di sepanjang laluan itu boleh mewujudkan krisis tenaga global, terutamanya di Asia yang negara-negaranya amat bergantung pada penghantaran minyak dan gas melalui selat tersebut untuk penjanaan elektrik dan bekalan bahan api.

Medan konflik AS-Israel-Iran

Trafik penghantaran melalui Selat Hormuz menurun dengan mendadak sejak konflik meletus pada 28 Februari, apabila Tehran, yang mengawal selat itu, telah menyekat jalan air tersebut dan mengancam untuk menyasarkan kapal yang dikaitkan dengan AS dan Israel.

Data daripada Perisikan Maritim Starboard menunjukkan purata 153 kapal transit melalui selat itu setiap hari dalam seminggu sebelum konflik, dengan trafik memuncak pada 188 kapal pada 17 Februari.

Jumlah itu menurun secara drastik kepada hanya tujuh kapal pada 6 Mac dan turun kepada tiga dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Sementara itu, menurut agensi keselamatan maritim Britain UKMTO, sekurang-kurangnya 16 kapal di dalam atau berhampiran Selat Hormuz telah diserang setakat 12 Mac dan 20 laporan diterima setakat ini mengenai insiden menjejaskan kapal yang beroperasi di sekitar kawasan itu.

Pengulas dan penganalisis maritim, Nazery Khalid, berkata ancaman Iran tidak boleh diketepikan, menyifatkan serangan baru-baru ini ke atas kapal yang melalui selat itu sebagai sebahagian strategi Tehran untuk mempengaruhi pendapat global mengenai serangan yang tidak diprovokasi dan menyalahi undang-undang ke atas republik itu.

“Jelas bahawa Iran tidak berusaha untuk menandingi kekuatan tentera AS-Israel tetapi untuk berlawan dalam perang asimetri dalam banyak bidang termasuk dalam bidang strategik dan ekonomi.

“Ia kelihatan lebih jelas pada hari ini bahawa penceroboh telah tersilap menilai kehendak, keazaman dan keupayaan Iran dan mungkin terpaksa membayar harga yang tinggi untuk pelanggaran mereka apabila Iran terus mencapai sasaran, yang boleh menyebabkan kesan teruk terhadap ekonomi mereka yang menyerangnya dan terhadap ekonomi global,” katanya kepada Bernama.

Krisis bekalan tenaga

Serangan ke atas kapal tangki minyak yang melintasi Selat itu telah mencetuskan kenaikan mendadak harga minyak di pasaran.

Harga minyak melonjak kepada hampir AS$120 setong awal minggu ini berikutan gangguan pengeluaran di Arab Saudi dan negara Teluk lain termasuk Bahrain, Qatar dan Kuwait kerana infrastruktur tenaga diserang dan kapal tidak dapat melalui Selat Hormuz.

Iran telah memberikan amaran bahawa harga minyak boleh melonjak kepada AS$200 setong jika konflik semakin meruncing.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dalam laporan terbaharunya menyatakan bahawa sekatan Selat Hormuz akibat konflik mewujudkan gangguan bekalan minyak terbesar dalam sejarah, dengan bekalan minyak global diunjurkan merosot sebanyak lapan juta tong sehari pada Mac atau lapan peratus daripada permintaan dunia.

“Gangguan berpanjangan kepada pengeluaran, pengangkutan dan bekalan keseluruhannya jelas akan mencetuskan kesan buruk perkadaran seismik, bukan sahaja untuk ekonomi negara-negara yang bergantung kepada minyak Teluk tetapi juga ekonomi global secara keseluruhan,” kata Nazery.

Beliau berkata, negara yang bergantung pada minyak Teluk mungkin perlu memperkenalkan langkah penjimatan untuk mengimbangi impak krisis tenaga semasa.

“OPEC (Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum) hanya boleh mengeluarkan stok simpanan untuk menampung kehilangan bekalan sehingga rizabnya mencapai tahap kritikal.

“Keadaan boleh menjadi seteruk krisis minyak 1973 apabila ahli OPEC mengenakan embargo minyak terhadap AS dan negara lain yang menyokong Israel semasa Perang Yom Kippur. Ini mencetuskan penurunan besar-besaran dalam bekalan, menyebabkan harga minyak meningkat empat kali ganda dan menyebabkan kekurangan petrol yang serius,” katanya.

Alternatif Selat Hormuz

Ketika ketegangan memuncak, Saluran Paip Minyak Mentah Timur-Barat Arab Saudi dan Saluran Paip Minyak Mentah Abu Dhabi Emiriah Arab Bersatu (UAE) meraih perhatian antarabangsa apabila saluran berkenaan muncul sebagai ‘talian hayat’ yang membolehkan minyak diangkut melalui Laut Merah ke pasaran dunia.

Bagaimanapun, Nazery berkata, saluran paip itu tidak boleh menggantikan peranan penting Selat Hormuz.

“Walaupun saluran paip Saudi dan UAE boleh digelar sebagai ‘paip talian hayat’, ia tidak lebih sekadar kelegaan sementara kepada kesesakan Selat Hormuz dan tidak lama lagi akan mencapai kapasiti maksimum.

“Dalam erti kata lain, jika konflik berlarutan, meluas dan memuncak tanpa sebarang prospek penyelesaian konkrit tidak lama lagi, adalah tidak realistik untuk bergantung pada saluran paip bagi membantu mengawal harga minyak yang semakin meningkat dan menyelamatkan ekonomi global daripada kemelesetan,” katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata Arab Saudi mengeksport 6.3 juta bpd minyak mentah dan 1.4 juta bpd produk minyak ditapis pada 2025, tetapi terminal Yanbu di Laut Merah hanya boleh mengendalikan sekitar 4.5 juta bpd minyak mentah sehari iaitu satu perempat daripada jumlah harian yang dihantar melalui Selat.

Nazery juga mengingatkan bahawa mengangkut minyak Teluk melalui saluran paip dan pelabuhan di sepanjang Laut Merah tidak menjamin laluan yang selamat.

“Kumpulan pemberontak Houthi di Yaman yang bersekutu dengan Iran boleh melancarkan serangan ke atas saluran paip dan kapal yang transit di Laut Merah.

“Ini mungkin sama bahayanya seperti cuba belayar dengan kapal tangki minyak penuh melalui Selat Hormuz, mengingkari amaran Iran,” tambahnya

-BERNAMA