Pasaran Modal Diunjur Terus Catat Prestasi Baik Pada 2024 – Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) — Bursa Malaysia Bhd menjangkakan pasaran modal terus mencatatkan prestasi baik pada 2024 berbanding tahun lepas, berdasarkan angka memberangsangkan yang dicatatkan semasa separuh pertama Januari, kata Pengerusi, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata pihaknya menyaksikan pelaburan asing berjumlah RM448 juta bagi 15 hari pertama tahun ini yang memacu FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) sehingga ditutup di atas 1,500 mata pada Isnin.

“Kita juga mendapati nilai dagangan harian purata (ADTV) melonjak kepada RM3.25 bilion, 50 peratus lebih tinggi daripada ADTV berjumlah RM2.06 bilion yang dicatatkan bagi keseluruhan 2023,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Bursa Malaysia sebagai bursa pelbagai aset di sini, pada Selasa.

Beliau berkata Bursa Malaysia masih mendominasi tumpuan daripada pelabur institusi asing, menyumbang 29.2 peratus kepada penyertaan dagangan pasaran sekuriti di bursa itu pada 2023 dari segi ADTV, berbanding 26.8 peratus pada 2022.

Pada masa ini, FBM KLCI dinilai berdasarkan nisbah harga hadapan kepada perolehan sebanyak 13.3 kali, jauh lebih rendah daripada purata 10 tahun kira-kira 15.5 kali, katanya.

“Kita berharap pasaran terus merekodkan prestasi baik pada 2024 dan menjangkakan lebih banyak minat pelabur pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Bursa Malaysia turut melancarkan platform dagangan emas patuh syariah Bursa Gold Dinar (BGD), portal pelanggan MyBURSA, platform Bursa Reach dan logo baharu.

Abdul Wahid berkata BGD dikhususkan bagi mendemokrasikan pelaburan emas dengan membolehkan spektrum pelabur yang lebih luas untuk membeli, menjual, berdagang dan menebus emas dengan yuran lebih rendah.

“BGD lebih daripada sekadar produk pelaburan. BGD menawarkan kestabilan sebagai kelas aset pelaburan alternatif dalam tempoh ketidaktentuan kewangan dan turun naik ekonomi,” katanya.

Beliau berkata bagi portal pelanggan MyBURSA dan Bursa Reach, kedua-duanya adalah platform baharu untuk melengkapkan dan memperkasakan pelabur.

“MyBURSA adalah portal web yang direka bentuk dengan mengutamakan pelanggan kami. Portal itu menawarkan akses kepada laporan penyelidikan dan kandungan lain yang diuruskan, di samping alat pelaburan untuk memudahkan pelabur dalam membuat keputusan bermaklumat.

“Sementara itu, Bursa Reach adalah platform untuk menghubungkan pelabur individu secara langsung dengan wakil niaga meliputi remisier bertauliah dan peniaga bergaji,” katanya.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyempurnakan pelancaran itu.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift turut menghadiri majlis itu.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Pemulihan Harga Yang Sementara

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO meneruskan lantunan teknikalnya untuk sesi kedua pada hari Selasa apabila menaik MYR23 untuk ditutup pada paras MYR4,496. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,461. Pada awalnya, ia jatuh kepada paras terendah bernilai MYR4,445 sebelum sentimen menaik membawanya lebih tinggi kepada paras MYR4,510. Walaupun penutupan dagangan positif, pergerakan menaik ini hanyalah dianggap sebagai satu koreksi harga dalam trend pasaran yang menurun. Komoditi ini terus berada di bawah garisan SMA 50 hari yang sekarang berperanan sebagai rintangan overhed yang dinamik.

Apabila harga menaik, paras rintangan kuat dijangka muncul pada paras MYR4,700. Berdasarkan pasaran teknikal ini, mereka yang menjangkakan penurunan harga masih mempunyai kelebihan teknikal. FCPO mungkin menyambung semula koreksi harga sebaik sahaja ia gagal menembusi paras rintangan overhed yang dinamik itu – garisan SMA 50 hari. Buat masa sekarang, kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kekal kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama ialah MYR4,390, yang diikuti oleh paras MYR4,300. Sementara itu, paras rintangan pertama kini berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840.