Hutang Negara Termasuk Liabiliti Cecah RM1.5 Trilion – Anwar

PUTRAJAYA, 17 Jan (Bernama) — Hutang negara termasuk liabiliti telah mencecah sebanyak RM1.5 trilion dan perlu ditangani dengan segera, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kedudukan ekonomi negara masih belum kukuh dan ia turut berkait dengan perkembangan antarabangsa. 

“Ekonomi masih dianggap malap. Ia juga berkait dengan perkembangan antarabangsa, baik soal konflik Rusia-Ukraine atau pasca COVID-19 yang belum dapat menzahirkan kekuatan ekonomi dunia.

“Kalau ikut unjuran ekonomi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ia terus menurun. Cabaran (untuk kerajaan) adalah hutang negara sudah mencecah hampir RM1.2 trilion. Jika termasuk liabiliti, ia sudah mencecah RM1.5 trilion,” katanya pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 di sini hari ini.

Justeru, katanya kerajaan tidak akan mengambil pendekatan ‘business as usual’ dan akan mengambil pendekatan yang berbeza untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi negara.

“Sebab itu, kita beri angka yang sebenar. (Bayaran) Khidmat hutang 2023 adalah sebanyak RM45 bilion, iaitu 15 peratus daripada hasil negara dan ini juga maksimum yang mampu ditangani oleh negara.

“Kita tidak fikir kita boleh mendepani tahun 2023 dengan keadaan yang selesa. Sebab itu, kalau ada budaya selesa, ia tidak akan dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang diharapkan,” kata Perdana Menteri. 

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/hutang-negara-termasuk-liabiliti-cecah-rm1-5-trilion-anwar/

Previous ArticleNext Article

BNM Akan Turunkan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun Kepada Satu Peratus


KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) akan menurunkan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas iaitu daripada dua peratus kepada satu peratus, berkuat kuasa 16 Mei 2025.

Katanya, keputusan untuk mengurangkan SRR merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bank pusat itu bagi memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan domestik.

“Langkah ini akan membantu bank-bank menguruskan mudah tunai dengan lebih baik dalam persekitaran ketidaktentuan pasaran kewangan yang lebih tinggi serta menyediakan sokongan yang berterusan terhadap aktiviti pengantaraan kewangan.

“Penurunan SRR akan menambah mudah tunai bernilai kira-kira RM19 bilion ke dalam sistem perbankan,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.

Bank pusat itu berkata, SRR merupakan instrumen untuk menguruskan mudah tunai dan tidak memberikan isyarat tentang pendirian dasar monetari.

Katanya, kadar dasar semalaman (OPR) merupakan satu-satunya penunjuk yang digunakan untuk memberikan isyarat tentang pendirian dasar monetari selain diumumkan melalui Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari.

— BERNAMA