SC Keluar Perintah Henti Dan Tamat Terhadap Quantum Metal Exchange Inc

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengarahkan Pengasas dan Pengarah Quantum Metal Exchange Inc (QMEI) Datuk Lim Khong Soon @ Lim Hock Seng untuk segera menghenti dan menamatkan penawaran saham QMEI kepada orang awam.

Menurut pengawal selia itu, arahan henti dan tamat tersebut dikeluarkan berikutan penemuan SC bahawa QMEI menawarkan sahamnya kepada masyarakat awam Malaysia, termasuk melalui laman web/platform Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB) kepada ahli QMSB.

“Tawaran saham QMEI, yang sedang berjalan, melanggar keperluan berkaitan di bawah undang-undang sekuriti.

“Ini dilakukan tanpa mendapatkan pengiktirafan dan mendaftarkan dokumen pendedahan dengan SC, yang melanggar Seksyen 212 (5) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh yang demikian, SC juga telah meletakkan QMEI dengan butiran berkaitannya pada Senarai Makluman Pelabur SC http://www.sc.com.my/investor-alert.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

SC Lulus 18 Permohonan Ekuiti Dengan Jumlah Permodalan Pasaran RM9.04 Bilion Pada 2023

Sumber : themalaymailonline.com

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meluluskan 18 permohonan ekuiti, tujuh daripadanya untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan jumlah permodalan pasaran sebanyak RM9.04 bilion pada 2023.

Suruhanjaya itu berkata anggaran jumlah dikumpulkan daripada IPO ini adalah sebanyak RM2.81 bilion.

“Baki permohonan yang diluluskan termasuk 11 pemindahan penyenaraian daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama,” kata SC dalam Laporan Tahunan 2023, yang dikeluarkan hari ini.

Pengawal selia itu meluluskan 16 permohonan ekuiti pada 2022 dengan jumlah permodalan pasaran sebanyak RM3.08 bilion.

SC berkata terdapat 32 penyenaraian baharu tahun lepas, tujuh daripadanya di Pasaran Utama, 24 di Pasaran ACE dan satu baki lagi di Pasaran LEAP dengan permodalan pasaran berjumlah RM13.63 bilion.

Jumlah dana yang dikumpulkan daripada penyenaraian baharu dianggarkan sebanyak RM3.58 bilion.

Menurut laporan itu, pasaran bon korporat dan sukuk Malaysia mencatatkan jumlah penerbitan sebanyak RM118.33 bilion pada 2023, pengurangan 22.82 peratus daripada RM153.32 bilion yang diterbitkan pada 2022.

“Terbitan bon korporat dan sukuk denominasi ringgit masih merupakan majoriti cadangan yang diluluskan oleh atau diserahkan kepada SC dengan jumlah nilai nominal sebanyak RM171.48 bilion, yang mana sukuk mewakili 57.30 peratus atau RM98.26 bilion,” katanya.

Pada 2023, SC berkata sebanyak 40 penarafan telah diberikan oleh agensi penarafan kredit kepada terbitan bon korporat dan sukuk denominasi ringgit yang diserahkan kepada suruhanjaya itu berbanding 45 penarafan pada 2022.

Bilangan terbitan yang tidak diberi penarafan meningkat sebanyak 75 peratus berbanding pada 2022 dan terdapat tiga bon korporat dan sukuk denominasi mata wang asing diserahkan kepada SC pada 2023.

 — BERNAMA