BNM Dijangka Kekalkan OPR Tidak Berubah Sepanjang 2024 – BMI

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) — BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus sehingga akhir 2024.

Katanya pada 7 Mac lepas, bank pusat itu menetapkan OPR pada 3.0 peratus pada mesyuarat kelima berturut-turut, selaras dengan konsensus dan jangkaan BMI.

Menurut firma penyelidikan itu, selain daripada rujukan tidak langsung bank pusat kepada mata wang yang berada ‘di bawah nilai’, yang jelas tiada dalam penyata dasar sebelum ini, terdapat sedikit perubahan, terutamanya untuk panduan ke hadapan.

Dalam nota hari ini, BMI berkata terdapat dua alasan yang menyokong pandangannya bahawa BNM akan mengekalkan kadar pada mesyuarat seterusnya pada 9 Mei 2024.

Pertama, trajektori inflasi semasa tidak memberi ancaman kepada sasaran inflasi bank pusat.

“Pertumbuhan upah dalam sektor perkhidmatan telah berada pada trajektori menurun, mencatat paras tertinggi sebanyak 9.5 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2022 dan terkini merosot kepada sekitar tiga peratus pada suku keempat 2023.

“Data tersebut seterusnya menunjukkan inflasi perkhidmatan, yang menyumbang lebih 50 peratus daripada kumpulannya, akan stabil pada dua peratus pada suku tahun akan datang, sejajar dengan pandangan kami untuk inflasi keseluruhan kepada purata 2.0 peratus pada 2024,” katanya.

Kedua, katanya ringgit menerima tekanan yang tinggi, selepas merosot 5.1 peratus berbanding dolar AS pada tahun lepas.

“Walaupun ia mencatatkan pemulihan secara berperingkat dalam beberapa minggu ini, prestasi ringgit setakat ini masih ketinggalan berbanding ekonomi pasaran sedang pesat membangun yang lain.

“Kami telah menyatakan bahawa BNM akan berhati-hati dalam melonggarkan dasar monetari kerana bimbang akan menjejaskan kestabilan mata wang berikutan keadaan monetari global yang kekal terhad.

“Bank pusat sejajar dengan pandangan ini dan menjangka pendirian dasar monetari global ‘akan kekal terhad’ dalam jangka pendek.

“Bagaimanapun, dengan Rizab Persekutuan AS dijangka melonggarkan dasar pada Jun, perbezaan hasil secara berperingkat akan memberi kelebihan kepada ringgit dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” menurut BMI.

Firma penyelidikan itu berpandangan bahawa bukan sahaja BNM cenderung untuk tempoh yang lama tanpa tindakan tetapi pada tiga peratus, kadar dasar adalah sejajar dengan paras sebelum pandemik, menunjukkan bahawa dasar tidak terhad seperti dalam ekonomi lain.

“Seterusnya, kami mengunjurkan tekanan harga asas akan merosot pada 2024 dan purata dua peratus pada 2024, susut daripada 2.5 peratus pada 2023.

“Pasukan minyak dan gas kami mengunjurkan kenaikan lima peratus untuk purata harga minyak mentah pada 2024, konsisten dengan inflasi keseluruhan yang merosot di bawah dua peratus.

“Ini menunjukkan inflasi tidak akan memberi kebimbangan kepada BNM untuk baki tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, BMI berkata pihaknya menjangka pertumbuhan Malaysia akan kekal kukuh pada 2024.

Katanya data akaun negara yang terkini menunjukkan ekonomi menguncup dengan pelarasan musim 2.1 peratus suku ke suku pada suku keempat 2023, bersamaan dengan kadar pertumbuhan tiga peratus tahun ke tahun.

“Walaupun ini menjadikan pertumbuhan tahun penuh pada 2023 kepada 3.7 peratus, ia berkurangan daripada unjuran kami sebanyak 3.9 peratus.

“Melihat ke hadapan, dengan prospek ekonomi yang bertambah baik, kami menjangka pertumbuhan akan meningkat kepada 4.4 peratus pada 2024 dan berpendapat bank pusat lebih cenderung untuk mengekalkan ruang dasar berbanding bertindak sekiranya terdapat kejutan negatif kepada ekonomi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya risiko terhadap unjuran kadar faedah cenderung kepada positif.

“Prospek inflasi domestik masih bergantung sebahagian besarnya kepada pelan kerajaan mengenai subsidi pada tahun ini.

“Penurunan akan menyebabkan tekanan harga meningkat semula. Sementara itu, jika ringgit menghadapi tekanan penurunan nilai, ini boleh mendorong BNM untuk menaikkan kadar bagi mengekalkan perbezaan kadar faedah sebenar berbanding Amerika Syarikat,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

OPR Dijangka Turun Jika Ekonomi Merosot Ketara – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada paras 2.75 peratus sepanjang tahun ini dan hanya berpotensi diturunkan jika pertumbuhan ekonomi negara merosot secara ketara ke paras 4.0 peratus, menurut penganalisis.

BIMB Securities Research percaya Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus menunggu isyarat yang lebih jelas sebelum membuat sebarang keputusan pelarasan dasar.

Pihaknya menjangkakan sebarang pengurangan kadar hanya berlaku sekiranya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia merosot secara ketara ke paras ambang 4.0 peratus, didorong permintaan domestik yang lebih perlahan atau penurunan dalam ketibaan pelancong.

Katanya, walaupun inflasi meningkat sedikit kepada 1.7 peratus pada Mac 2026, kadar terpantas dalam tempoh lebih setahun, ia kekal jauh dalam julat unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) untuk 2026.

“Setakat ini, kenaikan harga tenaga dunia masih belum memberi kesan besar kepada inflasi domestik. Ini dibantu oleh hasil kerajaan berkaitan minyak yang lebih kukuh, menyediakan ruang fiskal sekurang-kurangnya pada permulaan untuk menampung harga bahan api domestik melalui subsidi.

“Sementara itu, ringgit yang mengukuh kira-kira 2.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dari awal tahun telah membantu meredakan tekanan inflasi import,” katanya dalam nota penyelidikannya.

BIMB Securities Research mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.7 peratus pada 2026, didorong terutamanya oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.

Ia berkata, buat masa ini, inflasi yang rendah memberi ruang kepada bank pusat untuk menangguhkan langkah pengetatan, sementara ketidakpastian luaran tidak mendorong pelonggaran awal.

“Secara keseluruhan, walaupun risiko ekonomi kini semakin pelbagai dan kompleks, keadaan semasa menunjukkan kestabilan dasar yang kukuh.

“Permintaan domestik kekal berdaya tahan sepanjang tahun lalu. Walaupun pertumbuhan semakin perlahan pada marjin, masih tiada bukti penurunan mendadak atau tidak teratur yang akan mewajarkan perubahan dasar,” katanya.

— Berita Harian