Malaysia Raih Lebih RM230 Juta Dalam Perjanjian Perdagangan Minyak Sawit Dengan China

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Malaysia berjaya meraih lebih RM230 juta dalam perjanjian perdagangan minyak sawit semasa lawatan kerja Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin ke China baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata lawatan Chan dari 8-12 Julai untuk mempromosikan agrikomoditi Malaysia di China telah menghasilkan empat memorandum persefahaman (MoU).

“Empat MoU berkenaan ditandatangani di antara syarikat-syarikat minyak sawit Malaysia dan perniagaan di China pada Sidang Kemuncak Industri Bijirin dan Minyak Antarabangsa China ke-15 di Nanjing pada 11 Julai, 2024,” katanya.

KPK berkata empat MoU yang ditandatangani adalah di antara Kuala Lumpur Kepong Bhd dan BOCE Trade Service Co Ltd untuk eksport tokotrienol; Taobao (China) Software Co Ltd dan Able Perfect Group untuk memperluaskan akses pasaran digital; Taobao (China) Software Co Ltd dan Sawit Kinabalu Group untuk perdagangan minyak sawit mentah; dan JF Nutritech dan Palmort Food Tech (Shanghai) untuk aplikasi minyak sawit merah dalam makanan haiwan.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Chan bersama Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Presiden Dewan Perniagaan China untuk Import/Eksport Bahan Makanan, Hasil Asli, dan Produk Sampingan Haiwan (CFNA) Cao De Rong.

Timbalan menteri tersebut berkata Able Perfect, sebuah kilang penapisan minyak sawit bebas yang berpangkalan di Pelabuhan Klang berhasrat untuk memperluaskan kehadirannya di pasaran China, terutama dalam minyak sawit yang ditapis dan lelemak minyak sawit, dengan nilai perniagaan dianggarkan sekitar RM200 juta melalui perjanjian perdagangan itu.

Beliau menekankan bahawa empat MoU tersebut akan melibatkan pengembangan perdagangan produk-produk minyak sawit ke dalam sektor baharu, termasuk memanfaatkan platform e-dagang terkenal di dunia, Taobao, untuk membangunkan saluran jualan perniagaan ke perniagaan (B2B) dan perniagaan ke pengguna (B2C) dalam talian serta memasuki pasaran produk kesihatan dengan tokotrienol, satu bentuk vitamin E yang kuat diperoleh daripada minyak sawit.

“Syarikat-syarikat Malaysia mesti memberi tumpuan kepada pengeluaran bernilai tambah tinggi dan berkualiti tinggi untuk kekal berdaya saing di pasaran global.

“Dengan pengeluaran minyak sawit Malaysia yang dikekalkan pada sekitar 18 juta tan setahun, adalah penting untuk mematuhi piawaian Peraturan Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dan prinsip pembangunan lestari,” katanya.

Selain itu, Chan berkata pihak berkuasa China telah meluluskan eksport dan penggunaan tokotrienol sawit dalam aplikasi makanan pada Mac tahun ini.

Menurut kenyataan itu, nilai keseluruhan perjanjian perdagangan berkenaan dijangka meningkat dalam tahun-tahun akan datang.

Semasa lawatan kerja tersebut, Chan juga mengadakan sesi padanan perniagaan dengan kira-kira 20 perusahaan Malaysia dan China, menyediakan platform untuk pertukaran dan meneroka peluang kerjasama dalam perdagangan minyak sawit.

Inisiatif yang dilakukan itu akan memperdalam lagi kerjasama dua hala dalam sektor minyak sawit, mempromosikan kemakmuran ekonomi secara bersama dan menghasilkan ‘menang-menang’ untuk Malaysia dan China, tambahnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Lantunan Melawan Arus Namun Trend Menurun Masih Berlangsung

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mencatat lantunan melawan arus trend semalam apabila menaik MYR13 untuk ditutup pada paras MYR4,551. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras lebih rendah iaitu sebanyak MYR4,534. Ia jatuh kepada paras terendah sesi hari itu sebanyak MYR4,528 sebelum minat pembelian yang kuat muncul, lalu membawanya kepada paras tertinggi berjumlah MYR4,580. Akhirnya, ia menutup dagangan berhampiran paras tertinggi berkenaan dan membentuk corak lilin menaik. Pergerakan harga yang positif ini dianggap sebagai lantunan yang melawan arus trend. RSI sekarang semakin meningkat, sekali gus menunjukkan momentum menaik kembali muncul.

Walaupun mengalami kenaikan harga, komoditi ini masih lagi berada di bawah garisan SMA 50 hari, yang mengesahkan bahawa struktur pasaran menurun dalam jangka sederhana masih kuat. Kami ramalkan tekanan jualan akan kembali menghampiri garisan SMA 50 hari sekiranya momentum menaik bertahan. Buat masa sekarang, kami tetap berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO melepasi paras MYR4,700.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kekal kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840.