PKNS Akan Bangunkan 7,500 Unit Kediaman Di Cyberjaya, GDV RM3 Bilion

CYBERJAYA, 14 Julai (Bernama) — Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersedia untuk membangunkan projek kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3 bilion dalam tempoh lapan hingga 10 tahun akan datang, melibatkan 7,500 unit pangsapuri mampu milik, teres dan bertingkat tinggi di Cyberjaya.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Mahmud Abbas berkata sebahagian daripada unit itu merupakan rumah mampu milik yang menyasarkan terutama pembeli generasi muda.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Aludra Residensi, iaitu projek ketiga PKNS di Cyberjaya di sini hari ini, beliau berkata PKNS komited untuk memastikan pembeli rumah generasi muda yang mempunyai tahap pendapatan tertentu berpeluang membeli rumah pertama serta menawarkan rumah mampu milik pada harga lebih rendah berbanding pesaingnya.

Aludra Residensi yang terdiri daripada 218 unit rumah bandar, dibangunkan di kawasan seluas 4.52 hektar dengan GDV RM125 juta.

Setiap unit dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi dengan keluasan antara 1,035 kaki persegi dan 1,055 kaki persegi, dengan harga bermula daripada RM555,000.

Mahmud berkata 60 peratus daripada unit kediaman berkenaan telah terjual.

“Melangkah ke hadapan, kami mempunyai beberapa projek sedang dalam perancangan, dan antara projek utama adalah projek Shah Alam Central,” katanya sambil memaklumkan projek itu melibatkan pembinaan kawasan pusat perniagaan, yang dijangka dilancarkan September ini.

Simpanan tanah PKNS pada masa ini berjumlah 607 hektar.

Aludra Residensi menawarkan kemudahan komuniti berpagar dan berkawal, trek joging, taman permainan kanak-kanak dan kawasan rekreasi berlandskap selain rumah kelab persendirian yang eksklusif serta surau.

Keunikan projek ini terletak pada reka bentuknya serta pemilihan bahan yang menekankan ciri-ciri alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Selain itu, rumah kelab dan rumah pengawal dilengkapi dengan panel solar fotovoltan untuk menghasilkan elektrik rendah karbon.

Terletak di lokasi strategik, Aludra Residensi mudah diakses melalui dua lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).

Selain itu, lokasi projek ini juga berhampiran dengan beberapa bandar utama antaranya Cyberjaya iaitu 4 kilometer (km), Putrajaya (12km), Kuala Lumpur (35km), Shah Alam (28km) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (26km).

Layari laman sesawang www.pkns.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek hartanah PKNS.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Axis REIT: Pengambilalihan Kedua Tahun Ini

Saranan BELI dan harga sasar (TP) MYR2.42 dikekalkan, potensi kenaikan harga saham sekitar 20%, dengan kadar hasil dividen 5.2% untuk FY26F

Axis REIT telah mengumumkan pengambilalihan keduanya untuk tahun 2026, iaitu sebuah perjanjian jualan dan pajakan semula bernilai MYR128j dengan City-Link Express (M) untuk sebuah pusat pengedaran di Bandar Saujana Putra, Selangor. Kami memandang agak positif akan perkara ini kerana ia masih menepati strategi REIT ini untuk memperoleh aset-aset perindustrian yang memberikan kenaikan hasil sambil menyokong sasaran pengambilalihan pihak pengurusan sebanyak kira-kira MYR350j sepanjang FY26-27.

Butiran mengenai pengambilalihan

Axis REIT mengambil alih hartanah ini dengan bayaran tunai sebanyak MYR128j (kira-kira 2% daripada jumlah aset), yang dibiayai menerusi pembiayaan bank sedia ada. Hartanah ini sekarang dihuni 100% oleh pemilik dan akan dipajak semula kepada City-Link Express untuk tempoh tetap selama 15 tahun, dengan kenaikan sewaan yang dipersetujui semasa tempoh pajakan. Pengambilalihan ini menawarkan pendapatan berulang yang stabil, dengan sokongan daripada struktur pajakan semula yang panjang dan kadar hasil kasar awal yang baik sebanyak 6.2%.

Pengambilalihan ini dijangka selesai pada 4Q26. Selepas perjanjian selesai dimeterai, paras hutang Axis REIT dijangka meningkat kepada kira-kira 35.1%, dengan ruang untuk mengambil pinjaman sekitar MYR840j lagi (berdasarkan penyata kewangan 1Q26 yang terkini).

Butiran mengenai hartanah

Aset ini terdiri daripada dua tanah komersial bersambung dengan status pegangan pajakan selama 99 tahun (baki tempoh pajakan lebih kurang 68 tahun), di samping bangunan-bangunan pusat pengedaran, blok pejabat dan fasiliti sokongan. Hartanah ini mempunyai jumlah kawasan boleh disewakan sebanyak kira-kira 355 ribu kps (sekitar 2% daripada jumlah NLA) dan terletak di Bandar Saujana Putra dengan akses kepada Rangkaian Pusat Lebuh Raya Utara Selatan E6 atau ELITE, Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuh Raya Pesisir Barat (WCE), dan Lebuh Raya Shah Alam atau KESAS. Hal ini menyokong kegunaannya sebagai hab logistik dan pengedaran.

Pandangan kami

Kami memandang agak positif akan perjanjian ini, dan setelah ia selesai, kami menjangka ia akan memberikan sumbangan positif mulai FY27, dengan pendapatan sewaan tahunan sekitar MYR7.9j (kira-kira 2% daripada hasil FY27). Perkara ini diterjemahkan kepada kadar hasil kasar sebanyak 6.2% sebelum mengambil kira kos pembiayaan yang berkaitan dengan pinjaman baru. Kami menjangka pengambilalihan ini secara bersihnya akan menaikkan kadar hasil semasa Axis REIT untuk FY27F sebanyak 5.3%.

Sementara itu, tempoh pajakan semula selama 15 tahun kepada pengendali sedia ada, di samping kenaikan sewaan yang termasuk dalam perjanjian, menawarkan prospek jelas untuk pendapatan dalam jangka sederhana. Walaupun ia dibiayai sepenuhnya menggunakan hutang, paras hutang Axis REIT selepas memeterai perjanjian ini masih dalam keadaan terkawal, dengan adanya kapasiti kunci kira-kira yang mencukupi untuk langkah pengambilalihan lain.

Ramalan dan penilaian

Sementara menunggu selesainya pengambilalihan ini dan bayangan lanjut daripada pihak pengurusan, kami kekalkan ramalan perolehan dan TP MYR2.42 yang diperoleh melalui kaedah DDM (dengan kiraan premium ESG 2% kerana markah REIT ini ialah 3.1), iaitu kadar dividen kira-kira 5% untuk FY26F mengikut TP. Risiko negatif: Tiada pembaharuan bagi pajakan-pajakan REIT yang tamat tempoh, kadar turun naik harga sewa yang lebih rendah daripada jangkaan, dan cadangan pengambilalihan aset terbatal.

Asas Penilaian

Model diskaun dividen (DDM)

Faktor Pemacu Utama

Permintaan lebih tinggi untuk hartanah perindustrian yang disokong oleh penembusan pasaran e-dagang yang berterusan, penstrukturan semula rantai bekalan dan kemasukan pelaburan asing langsung yang kukuh dalam segmen pembuatan.

Risiko Utama

i. Pajakan yang tamat tempoh tidak diperbaharui
ii. Kadar turun naik harga sewa yang lebih rendah berbanding jangkaan
iii. Cadangan pengambilalihan aset dibatalkan

Profil Syarikat

Axis REIT sebuah REIT yang mempunyai portfolio perniagaan pelbagai, dan berpengkhususan dalam hartanah komersial dan perindustrian.

Carta Saranan

Penganalisis
Loong Kok Wen CFA +603 2302 8116 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.