MPOB Warta TRF Sawit Sebagai Nutrien Tambahan Makanan Yang Dibenarkan

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah mewartakan fraksi kaya tokotrienol (TRF) sawit iaitu vitamin E daripada sumber minyak sawit sebagai nutrien tambahan yang dibenarkan untuk produk makanan.

Pengerusinya Mohamad Helmy Othman Basha berkata Kementerian Kesihatan Malaysia telah meluluskan pensijilan berkenaan susulan reviu teknikal yang terperinci serta bukti terbaharu daripada kajian klinikal dan populasi.

“Dakwaan nutriennya itu boleh digunakan bagi produk makanan yang mengandungi sekurang-kurangnya 10 milligram bagi setiap 100 mililiter TRF bagi makanan cecair atau sekurang-kurangnya 10 milligram bagi setiap 100 gram TRF untuk makanan jenis pepejal,” katanya pada Majlis Penghargaan Media MPOB di sini, hari ini.

Beliau berkata pengeluar makanan yang menggunakan tokotrienol berasaskan sawit kini boleh melabelkan produk masing-masing dengan dakwaan fungsi TRF bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pelbagai manfaat TRF.

Kesemua yang terbabit dalam rantaian pengeluaran itu juga perlu komited dalam meningkatkan kualiti dan menyingkirkan asid lemak trans dalam produk makanan dengan menjadikan minyak sawit sebagai sumber lemak dan minyak, katanya.

Dalam pada itu, majlis yang diadakan hari ini juga bertujuan mengeratkan lagi kerjasama antara MPOB dengan kalangan pengamal media.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO ini menurun MYR9 semasa sesi dagangan lalu untuk ditutup pada harga MYR4,597. Pada hari Jumaat, komoditi ini memulakan dagangan pada paras MYR4,604. Pada awalnya, ia jatuh ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,575. Ia kemudiannya melantun ke paras tertinggi sesi tersebut pada MYR4,608 dan menutup dagangan pada MYR4,597. Di samping pergerakan RSI ke bawah, penutupan dagangan terkini yang menurun menunjukkan momentum menurun kembali menguat.

Komoditi ini mungkin akan melanjutkan fasa koreksi harga dan menguji paras sokongan semula pada MYR4,390. Sementara itu, garisan SMA 50 hari masih bergerak ke paras lebih rendah, lantas mengukuhkan keadaan pasaran menurun. Sekiranya komoditi ini mencatat pergerakan menaik, paras MYR4,700 akan menahan harga daripada menembusi paras berkenaan. Selagi FCPO terus berada di bawah paras ambang MYR4,700, kami tetap akan berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,390 dan diikuti oleh paras sokongan lebih rendah pada MYR4,250. Paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 yang diikuti oleh paras MYR4,900.