Niaga Hadapan MSM Berlegar Antara RM3,600- RM3,900 Untuk Tiga Bulan Akan Datang — IVPA

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) — Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) diunjur berlegar antara RM3,600 dan RM3,900 setiap tan untuk tiga bulan akan datang dan mungkin meningkat kepada RM4,200 menjelang Mac 2024 berikutan situasi stok yang semakin ketat, khususnya di Malaysia.

Presiden Persatuan Pengeluar Minyak Sayur India (IVPA) Sudhakar Desai mengunjurkan pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat kepada 18.85  juta tan daripada 18.61 juta tan tahun lepas, menandakan peningkatan sebanyak 240,000 tan sementara pengeluaran Indonesia dijangka kekal stabil pada 49.26 juta tan.

“Walaupun Malaysia akan menyaksikan peningkatan stok kira-kira 2.7 juta tan, pasaran dijangka beralih kepada stok akhir yang lebih ketat menjelang April atau Mei 2024,” katanya di Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2023 (PIPOC 2023) anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Khamis.

Selain itu, Desai turut menyatakan terdapat lonjakan besar dalam import minyak sayuran India yang telah mencecah jumlah luar biasa sebanyak 16.9 juta tan sepanjang tahun 2022/2023.

“Peningkatan luar biasa ini selepas dua tahun kemerosotan adalah disebabkan oleh harga rendah yang menarik, bukan sahaja mencetuskan peningkatan stok yang besar tetapi turut merangsang lantunan signifikan dalam penggunaan.

“Pertumbuhan penggunaan biasa dijangka berterusan untuk tahun 2023/2024 iaitu kira-kira 2.8 peratus dengan jumlah penggunaan keseluruhan mencapai 25.20 juta tan,” katanya.

Desai menambah import India dijangka kira-kira 16.20 juta untuk tahun 2023/2024 dan daripada jumlah ini, import minyak sawit diunjur mencecah sembilan juta tan, manakala import soft oil (minyak pada umumnya berbentuk cecair pada suhu bilik) adalah sekitar 7.12 juta tan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO ini menurun MYR9 semasa sesi dagangan lalu untuk ditutup pada harga MYR4,597. Pada hari Jumaat, komoditi ini memulakan dagangan pada paras MYR4,604. Pada awalnya, ia jatuh ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,575. Ia kemudiannya melantun ke paras tertinggi sesi tersebut pada MYR4,608 dan menutup dagangan pada MYR4,597. Di samping pergerakan RSI ke bawah, penutupan dagangan terkini yang menurun menunjukkan momentum menurun kembali menguat.

Komoditi ini mungkin akan melanjutkan fasa koreksi harga dan menguji paras sokongan semula pada MYR4,390. Sementara itu, garisan SMA 50 hari masih bergerak ke paras lebih rendah, lantas mengukuhkan keadaan pasaran menurun. Sekiranya komoditi ini mencatat pergerakan menaik, paras MYR4,700 akan menahan harga daripada menembusi paras berkenaan. Selagi FCPO terus berada di bawah paras ambang MYR4,700, kami tetap akan berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,390 dan diikuti oleh paras sokongan lebih rendah pada MYR4,250. Paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 yang diikuti oleh paras MYR4,900.