LTAT Akan Ambil Alih Baki Saham Dalam Boustead Plantations

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) — Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan mengeluarkan notis berkenaan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat bagi semua baki saham dalam Boustead Plantations Bhd (BPlant) yang belum lagi berada dalam pegangan LTAT pada harga RM1.55.

Dalam satu kenyataan hari ini, LTAT berkata langkah itu dilaksanakan selepas memeterai perjanjian penjualan saham tanpa syarat dengan Boustead Holdings Bhd (BHB) bagi mengambilalih 739,199,966 saham BPlant yang mewakili 33 peratus jumlah saham terbitan BPlant.

“Berikutan pengambilalihan yang dinyatakan di atas, LTAT memegang 976,406,066 saham dalam BPlant, mewakili 43.59 peratus daripada jumlah saham terbitan BPlant,” katanya.

LTAT berkata tawaran itu merupakan satu langkah penting ke hadapan dalam keseluruhan penstrukturan dan pemulihan kumpulan syarikat BHB dan dalam mengimbangi semula portfolio pelaburannya untuk meletakkan dana dengan lebih baik berbanding profil risiko pulangan.

“Tawaran itu juga memberikan LTAT lebih fleksibiliti dalam menetapkan hala tuju strategik BPlant dan mempercepatkan rancangan penciptaan nilai yang memenuhi objektif LTAT.

“Dana itu kekal teguh dalam meningkatkan kualiti asetnya untuk memberikan pulangan yang mampan kepada pencarumnya, selaras dengan Pelan Strategik LTAT 2023-2025,” katanya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, BPlant berkata ia menerima notis tawaran pengambilalihan mandatori tidak bersyarat daripada penasihat utama bersama, UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd, untuk mengambil alih semua baki saham biasa BPlant yang belum lagi dipegang oleh LTAT.

“LTAT sebagai pihak yang membuat tawaran tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian BPlant. Oleh itu, LTAT tidak akan mengambil sebarang langkah berkaitan kekurangan dalam spread pegangan saham awam BPlant sekiranya BPlant tidak memenuhi Keperluan Spread Awam selepas tarikh tutup,” kata notis itu.

Ia berkata tarikh tutup tidak boleh lewat daripada hari ke-60 daripada tarikh penghantaran kerana tawaran itu tidak bersyarat pada mana-mana tahap minimum penerimaan.

LTAT telah mengesahkan bahawa ia mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk memenuhi penerimaan penuh tawaran itu. Setiap pemegang yang menerima akan dibayar sepenuhnya secara tunai, katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.