Krisis Venezuela Cetus Risiko Geopolitik Baharu Kepada Pelabur

LONDON/NEW YORK: Pelabur global berdepan risiko geopolitik baharu selepas Amerika Syarikat (AS) menangkap Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.

Langkah itu berpotensi membuka semula rizab minyak besar Venezuela dan menyokong aset berisiko dalam jangka panjang, namun pada masa sama terus menekan sentimen pasaran.

Reaksi pasaran secara keseluruhan agak sederhana, dengan pasaran saham hari ini meningkat, harga minyak tidak menentu dan harga emas mendapat sokongan apabila pelabur kebanyakannya tidak mengambil berat impak Venezuela.

Presiden Donald Trump berkata, AS akan mengambil alih kawalan negara pengeluar minyak itu, manakala Maduro, yang berulang kali dituduh AS sebagai mengendalikan sebuah ‘negara narkotik’ dan memanipulasi pilihan raya berada di pusat tahanan New York sementara menunggu pertuduhan.

Washington tidak melakukan campur tangan secara langsung sebegini di Amerika Latin sejak pencerobohan Panama pada 1989.

“Peristiwa ini mengingatkan bahawa ketegangan geopolitik terus mendominasi tajuk berita dan memacu pasaran,” kata pakar ekonomi di Saltmarsh Economics, Marchel Alexandrovich.

“Jelas bahawa pasaran kini perlu berdepan risiko tajuk berita yang jauh lebih besar berbanding yang biasa dialami di bawah pentadbiran AS sebelum ini.”

Niaga hadapan saham AS dan saham Asia meningkat pada awal waktu dagangan Asia hari ini, manakala harga emas melonjak lebih satu peratus selepas bergelut minggu lalu susulan reaksi awal terhadap serangan itu.

Pasaran memulakan hari dagangan pertama tahun ini dengan prestasi kukuh, apabila indeks Wall Street ditutup tinggi dan dolar mengukuh berbanding sekumpulan mata wang utama Jumaat lalu.

Saham AS dan global menamatkan tahun 2025 hampir pada paras tertinggi dalam sejarah, selepas mencatat kenaikan dua angka dalam tahun yang bergelora, didominasi oleh perang tarif, dasar bank pusat dan ketegangan geopolitik yang berlarutan.

Emas mencatat kenaikan terbesar dalam tempoh 46 tahun ke paras tertinggi tahun lalu, didorong oleh gabungan faktor termasuk pemotongan kadar faedah AS dan ketegangan geopolitik.

Trump dalam sidang media pada Sabtu lalu berkata, AS akan ‘mentadbir Venezuela sehingga tiba masanya untuk peralihan yang selamat, wajar dan berhemah’.

Beliau memberikan sedikit butiran mengenai pelaksanaannya, namun tidak gentar menghantar tentera AS.

Langkah itu turut menyorot krisis hutang Venezuela, antara kegagalan pembayaran kedaulatan terbesar di dunia yang masih belum diselesaikan.

Beberapa jam selepas penangkapan pemimpin Venezuela itu, Trump berkata syarikat minyak Amerika bersedia membelanjakan berbilion dolar untuk memulihkan pengeluaran minyak mentah Venezuela, sesuatu yang boleh menyokong pertumbuhan global apabila bekalan yang lebih besar menurunkan harga tenaga.

Harga minyak meningkat sedikit melepasi AS$62 setong pada Disember, apabila AS menghalang kapal tangki yang dikenakan sekatan daripada memasuki atau meninggalkan Venezuela, namun sejak itu agak stabil sekitar AS$60 hingga AS$61.

Niaga hadapan minyak mentah Brent naik 15 sen kepada AS$60.89 setong selepas mengurangkan kerugian awal.

Minyak mentah West Texas Intermediate AS berada pada AS$57.43 setong.

“Dari sudut pelaburan, ini berpotensi membuka sejumlah besar rizab minyak dari semasa ke semasa,” kata Ketua Strategi Ekonomi di Annex Wealth Management, Brian Jacobsen.

“Pasaran kadangkala beralih kepada mod mengelak risiko apabila menjangkakan konflik, tetapi apabila konflik bermula, ia cepat berputar kembali kepada mod mengambil risiko.”

Pengasas bersama Cumberland Advisors yang berpangkalan di Sarasota, Florida, David Kotok, berkata kemungkinan pembukaan rizab, jika ia menyebabkan harga minyak lebih rendah dalam jangka panjang, boleh memberi implikasi positif kepada pasaran saham.

“Sama ada ia berlaku dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang, dan sama ada pasaran mengambil kira perkara itu lebih awal, adalah persoalan yang berasingan,” kata Kotok.

Kebanyakan pasaran saham di rantau Teluk ditutup lebih rendah semalam, susulan kejatuhan harga minyak pada Jumaat lalu apabila pelabur menimbang kebimbangan lebihan bekalan berbanding risiko geopolitik.

Namun begitu, kebanyakan ahli strategi bersetuju bahawa ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk meningkatkan pengeluaran Venezuela secara bermakna, yang telah merosot sejak beberapa dekad lalu akibat salah urus serta kekurangan pelaburan syarikat asing selepas kerajaan menasionalisasikan operasi minyak pada 2000-an, termasuk aset ExxonMobil dan ConocoPhillips.

Chevron merupakan satu-satunya syarikat minyak utama AS yang masih beroperasi di Venezuela ketika ini.

Mana-mana syarikat yang ingin melabur di negara itu perlu berdepan isu keselamatan, infrastruktur yang uzur, persoalan mengenai kesahihan operasi AS menangkap Maduro, serta potensi ketidakstabilan politik jangka panjang, kata penganalisis kepada Reuters.

Ketua Strategi Pasaran dan Ketua Franklin Templeton Institute di Franklin Templeton, Stephen Dover, dalam satu hantaran LinkedIn berkata bahawa pentadbiran AS telah menunjukkan kesediaan untuk bertindak secara unilateral dan menggunakan kekerasan, yang boleh mengukuhkan trend negara-negara meningkatkan perbelanjaan keselamatan nasional masing-masing.

Beliau berkata, langkah itu juga berkemungkinan menambah ketidaktentuan terhadap peranan dolar sebagai aset selamat, di samping menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai kemerosotan tonggak institusi antarabangsa.

Dalam jangka panjang, katanya, Venezuela yang lebih stabil, produktif dan makmur boleh menawarkan bekalan minyak yang besar kepada dunia.

“Itu akan menjadi signifikan untuk pertumbuhan global, tetapi ia memerlukan kestabilan politik dan pelaburan yang besar untuk membuka potensi tersebut.”

-Reuters

Previous ArticleNext Article

Saham Bukan Jalan Singkat Jadi Kaya: Inilah Kuasa Konsistensi

Dalam pelaburan saham, kejayaan jangka panjang biasanya tidak datang daripada keputusan spontan atau cuba ‘timing market’. Apa yang lebih penting ialah konsisten atau istiqamah dengan strategi pelaburan yang kita pilih.

Berikut 5 sebab utama mengapa istiqamah dalam melabur saham itu sangat penting:

1. Memanfaatkan Dollar-Cost Averaging (DCA)

Strategi dollar-cost averaging melibatkan pelaburan jumlah wang tetap secara berkala tanpa mengira harga saham. Ini membolehkan pelabur membeli lebih banyak unit apabila harga rendah dan kurang unit apabila harga tinggi, sekaligus menurunkan kos purata per unit dalam jangka masa panjang .

Katakan kita melabur RM200 setiap bulan dalam satu saham / ETF yang sama.

BulanHargaJumlah dilaburUnit dibeli
JanRM2.00RM200100 unit
FebRM1.60RM200125 unit
MacRM1.80RM200111 unit

➡️ Jumlah pelaburan: RM600
➡️ Jumlah unit terkumpul: 336 unit

Kos purata per unit:

RM600 ÷ 336 ≈ RM1.79 per unit

Walaupun harga pernah setinggi RM2.00, tetapi kos purata jadi lebih rendah sebab:

  • masa harga naik → kita beli kurang unit
  • masa harga turun → kita beli lebih banyak unit

2. Disiplin Dan Kawalan Emosi

Pasaran sering bergegar naik turun, sentimen boleh menuntut tindakan terburu-buru. Konsistensi dalam pelaburan mengajar pelabur untuk mengekalkan strategi walau dalam suasana sukar dan mengelakkan tindakan emosional seperti jualan panik ketika pasaran jatuh atau beli secara membabi buta semasa kenaikan sementara.

Kajian juga menunjukkan, pelabur yang konsisten mampu mengatasi bias emosi dan kekal rasional dalam membuat keputusan.

3. Kuasa Compounding (Pulangan Berganda)

Dengan konsistensi, wang yang dilabur, bersama dividen dan keuntungan semula, maka menghasilkan kesan pulangan berganda yang luas dalam jangka masa panjang.

Seperti yang ditekankan oleh penulis kewangan terkenal,

“Consistency involves regular saving, strategic investing, and disciplined financial behavior over time”.

4. Menghindari Risiko “Timing Error”

Pelabur yang cuba meneka masa terbaik untuk masuk dan keluar pasaran seringkali mengalami kerugian. Data menunjukkan, di antara purata pulangan mutual fund selama 10 tahun (~7.3%), pelabur individu hanya mencapai sekitar 4.8%, disebabkan masa masuk dan keluar yang tidak tepat sehingga menjejaskan sebanyak ~2.5% setahun .

Konsistensi, melalui strategi seperti DCA, mengurangkan tekanan memilih masa terbaik dan membantu pelabur terus melabur secara sistematik .

5. Mencapai Matlamat Kewangan Jangka Panjang

Konsistensi memastikan pelabur terus membina aset untuk matlamat besar seperti persaraan, pendidikan anak, atau kebebasan kewangan. Memberhentikan pelaburan, walaupun sebentar, boleh melemahkan kesan compounding serta mengganggu perancangan kewangan .

Menurut pandangan penasihat kewangan, kejayaan bukan datang daripada strategi terbaik, tetapi dari pelaksanaan konsisten terhadap strategi yang betul .

Kesimpulannya, konsisten atau istiqamah dalam pelaburan saham bukan sekadar disiplin, tetapi merupakan asas kepada kejayaan jangka panjang.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!