KWAP Perkenal Dana Pemacu Dengan Peruntukan RM6 Bilion, Sasar Sektor Utama

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) — Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) hari ini memperkenalkan pelaburan modal swasta dikenali sebagai Dana Pemacu yang membabitkan peruntukan sebanyak RM6 bilion.

Dana itu menyasarkan pelaburan dalam sektor-sektor utama ekonomi termasuk keterjaminan makanan, pendidikan, penjagaan kesihatan, peralihan tenaga, ekonomi digital, keterangkuman kewangan dan aspek lain dengan impak kritikal dalam kerangka ekonomi MADANI.

Dalam kenyataan hari ini, KWAP berkata Dana Pemacu itu akan dilaksanakan menerusi dana Akaun Terurus Berasingan (SMA) dengan kerjasama antara bakat tempatan dan pengurus pelaburan antarabangsa yang merentasi tiga aset berbeza iaitu ekuiti swasta, infrastruktur dan hartanah.

Komitmen sebanyak RM6 bilion itu akan dilabur menerusi SMA konvensional dan patuh Syariah dengan 50 peratus khusus kepada pelaburan fokus Syariah bagi memanfaatkan modal ekuiti Islam untuk impak lebih besar dalam pelaburan patuh Syariah.

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan pasaran swasta secara menyeluruh selain menawarkan peluang unik untuk pelaburan beretika dan bertanggungjawab secara sosial.

Pada Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) di sini, hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rancangan KWAP untuk memperuntukkan pelaburan patuh Syariah yang merupakan separuh daripada komitmen modal Dana Pemacu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Nik Amlizan Mohamed pula menekankan kepentingan Dana Pemacu bagi pertumbuhan dan kemajuan negara.

Beliau berkata rancangan itu merangkumi usaha menggerakkan pelaburan menerusi model kerjasama antara bakat tempatan dan pengurus dana antarabangsa dengan memanfaatkan ekosistem pasaran pelaburan swasta di Malaysia.

“Malah, inisiatif ini akan membawa bersama amalan global terbaik dan kemahiran ke dalam pasaran tempatan, sekali gus memacu pemindahan pengetahuan dan jaringan industri yang dapat memperkasa bakat tempatan.

 “Menerusi pelaburan modal yang baru dilancarkan ini, kami berhasrat untuk menyokong lebih banyak syarikat-syarikat tempatan dalam skala domestik dan antarabangsa melalui saluran konvensional serta patuh Syariah yang seterusnya mengukuhkan pasaran kewangan dan meningkatkan pembangunan bakat tempatan di Malaysia,” katanya.

Bersandarkan Dana Pemacu sebagai strategi pelaburannya, KWAP juga kekal komited untuk mencapai pulangan optimum bagi dana berkenaan dalam usaha membantu Kerajaan Persekutuan membiayai liabiliti pencen.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Momentum Kenaikan Pasaran Diteruskan

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO melanjutkan kenaikannya buat kali kedua dengan mengekalkan lantunannya daripada paras sokongan MYR4,400 untuk ditutup pada harga lebih tinggi sebanyak MYR4,495. Komoditi ini memulakan sesi dagangan pada harga MYR4,491, kemudian ia mereda ke paras terendah intrahari pada MYR4,444 buat seketika, sebelum berterusan menaik ke arah paras tertinggi sesi pada MYR4,517 dan ditutup dengan corak lilin menaik. Pergerakan harga yang kukuh yang dilihat menerusi pergerakan positif kedua ini mengesahkan bahawa sentimen kenaikan sedang menguasai pasaran dengan teguhnya.

Paras rintangan terdekat sekarang ditambat pada MYR4,800, sekali gus memberi ruang untuk pergerakan menaik sekarang diteruskan. Komoditi ini kini didagangkan di atas kedua-dua garisan SMA 50 dan 200 hari, yang menandakan keadaan teknikal menaik masih berlangsung. Walau bagaimanapun, sekiranya kegiatan pengambilan untung berlaku, FCPO mungkin melantun daripada paras sokongan pertama MYR4,400, seiring dengan paras henti rugi kami. Melihat pada struktur kenaikan yang bertahan, kami tetap berpegang pada bias dagangan positif.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac (MYR4,367). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan pertama sekarang berada pada MYR4,400, diikuti oleh paras MYR4,250. Paras rintangan terdekat sekarang pula adalah pada MYR4,800, disusuli oleh paras seterusnya iaitu pada MYR4,925.